Pergolakan yang berlaku di Selatan Thailand atau lebih dikenali sebagai tiga wilayah mengundang konflik berdarah yang masih belum dapat ditamatkan. Ketakutan sebahagian besar masyarakat terhadap pertembungan etnik yang memisahkan kemesraan di antara Melayu muslim dan Thai buddha semakin bertambah apabila di sepanjang jalan dari Hatyai ke Prince of Songkla University terdapat sekatan jalan raya dan tentera bersedia di tepi-tepi jalan.
Keadaan keselamatan di Yala lebih membimbangkan apabila setiap satu kilometer terdapat sekatan jalan raya dan tentera membuat kubu di kiri dan kanan jalan raya. Setiap kereta yang bernombor pendaftaran dari tiga wilayah ini akan diperiksa dan pembonceng motosikal diminta membuka tempat duduk bagi pemeriksaan yang lebih terperinci.
Rondaan berkala oleh tentera yang menaiki "pick up" menggambarkan tahap bahaya yang sedang berlaku. Sami buddha mesti diiring setiap pagi untuk berjalan di sekitar pekan Pattani manakala pegawai kerajaan dan imam diberi kebenaran untuk memiliki sepucuk pistol. Pencelahan yang dilakukan oleh pihak keselamatan hanya memburukkan keadaan dan tidak membantu ke arah membina hubungan yang lebih berkesan di Selatan Thai.
Hubungan masyarakat Melayu muslim dengan kerajaan Thailand menjadi lebuh buruk apabila tentera yang dikerahkan ke wilayah bergolak tidak tahu berbahasa Melayu, mencemarkan masjid seperti masuk ke dalam masjid tanpa membuka kasut tentera, menggertak penduduk kampung dengan pelbagai alasan keselamatan dan mengancam mengganggu ketenteraman masyarakat jika permintaan mereka tidak dipenuhi.
Manakala puak pemisah yang dipercayai didalangi oleh Runda Kumpulan Kecil (RKK) dianggotai oleh sebahagian besar anak-anak muda berusia 18 hingga 25 tahun. Mereka dilatih dan diberi bantuan senjata dengan menjadikan apa sahaja simbol kerajaan Thailand sebagai sasaran seperti guru, pegawai kerajaan, sami, polis dan tentera. Setiap hari terdapat pertempuran kecil yang melibatkan kematian di kedua-dua belah pihak.
Keamanan adalah keperluan dalam kehidupan manusia. Setiap agama juga mempromosi dan mengalakkan usaha ke arah keamanan. Sesebuah tamadun yang memusnahkan keamanan adalah tamadun yang sedang menuju kehancuran. Fenomena ini boleh dielakkan melalui pembinaan keamanan yang mana merupakan sebahagian daripada penyelesaian konflik kerana ia membuang sama sekali akar umbi kepada konflk. Permulaan kepada konflik yang berlaku di Selatan Thai adalah disebabkan rasa tidak puas hati kerana kurangnya pemahaman kepada keperluan asas manusia, identiti masyarakat Melayu, keselamatan dan penghargaan. Semua faktor ini menjurus kepada ketidakadilan sosial dan pengasingan politik yang menyebabkan lebih banyak konflik yang berlaku dan pertempuran dalaman.
Impak konflik yang berlaku di tiga wilayah, Pattani, Yala dan Narathiwat memberi kesan kepada kehidupan masyarakat dan kestabilan politik di Thailand sendiri. Kerajaan negara itu dilihat gagal memahami keperluan dan kehendak masyarakat Melayu muslim yang mendominasi wilayah ini. Penolakan yang berlaku ini adalah kerana kerajaan Thailand tidak mengiktiraf agama Islam sebagai agama penting orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar turun-temurun mereka. Kekeliruan dan bermasalahnya kerajaan Thailand dalam perkara ini jelas dapat diperhalusi dengan melihat usaha yang dilakukan oleh mereka bagi mempromosi tahap toleransi dan pengekalan hubungan etnik di negara itu.
Setelah kematian di Tak Bai dan Masjid Krisek, tidak ada pendekatan yang kukuh oleh bekas perdana menteri yang disingkirkan, Thaksin Sinawatra malah memburukkan keadaan dengan polisi mengasimilasi bahasa Thai dan agama buddha. Pendekatan kerajaan tentera sebelum ini yang berjanji untuk membaiki keadaan dan memulihkan keamanan tidak banyak membantu masyarakat Melayu untuk mempercayai usaha berkenaan kerana telah banyak janji yang ditaburkan tetapi pelaksanaannya sangat lemah.
Struktur masyarakat di tiga wilayah dibezakan dengan agama dan bahasa. Melayu bererti Islam dan menggunakan tulisan jawi manakala Thai ialah buddha dan menggunakan bahasa Thai. Pertembungan yang berlaku sekarang bermula sejak 2004 apabila gerakan pemisah tidak lagi bersabar untuk menuntut kemerdekaan daripada Thailand. Tidak wujud lagi hubungan yang erat di antara Melayu dan Thai dalam erti kata sebenar kerana timbul kesangsian di antara satu sama lain. Contohnya pelajar universiti yang tinggal bersama di dalam asrama lebih suka berada dalam kelompok masing-masing kerana lebih mudah melakukan upacara agama.
Masyarakat di tiga wilayah juga sangat jauh tertinggal dalam pembangunan ekonomi walaupun terdapat ladang getah yang banyak. Jadi, bagi menyara hidup, masyarakat Melayu berdikari sendiri dengan berniaga di tepi jalan dan membuka kedai makan. Di pekan Pattani saja terdapat berpuluh-puluh gerai makan yang diusahakan oleh mereka khususnya sebelah malam. Dari masakan tomyam hinggalah nasi kerabu, semuanya perniagaan yang berskala kecil. Perusahaan industri tidak ketara kerana kerajaan Thailand sendiri yang menidakkan kewujudan wilayah ini sebagai sebahagian negara itu.
Konflik yang berlaku di tiga wilayah ialah konflik identiti. Bagi mengukuhkan dan mempertahankan identiti ini, kumpulan radikal memilih pendekatan konfrantasi untuk menyelesaikan polemik yang berlaku. Elemen agama yang dijadikan percaturan telah menggugat usaha kumpulan intelektual yang lebih praktikal untuk membangunkan masyarakat mereka sendiri.
Umpamanya usaha empat orang sahabat untuk membina sebuah universiti yang dikenali sebagai Yala Islamic University telah membuahkan kejayaan. Empat orang ini telah mengumpulkan wang dan mengenal pasti tapak universiti ketika mereka masih belajar di Timur Tengah dan berusaha membina masyarakat Islam dengan ilmu berbanding senapang. Hari ini sebuah kompleks universiti berdiri megah di Yala. Bantuan untuk pelajar dan infrastruktur datang mencurah-curah dari negara-negara Arab yang membantu mempertahankan agama Islam dan masyarakat Melayu di sana.
Jalan keluar kepada masyarakat Melayu yang ditinggalkan oleh kerajaan siam Thailand ialah pendidikan. Melalui pendidikan yang berkualiti, pemikiran dan cara hidup masyarakat dapat diubah dengan melihat ilmu dan toleransi sebagai kunci kepada kejayaan hubungan etnik. Kesedaran terhadap pendidikan sangat ketara. Sekolah-sekolah agama atau madrasah banyak didirikan di tiga wilayah ini dan diuruskan oleh mereka sendiri. Hampir 80 peratus masyarakat Islam menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini untuk belajar agama dan bahasa Melayu tanpa meninggalkan bahasa Thai. Kegagalan kerajaan Thailand untuk memusnahkan agama Islam dan bahasa Melayu adalah kegagalan proses asimilasi yang dimulakan sejak 1940-an.
Tekanan masyarakat Islam antarabangsa sedikit sebanyak mengundang keresahan kepada kerajaan Thailand untuk memberi layanan yang lebih baik kepada tiga wilayah ini. Menggunakan elemen tentera dan kekerasan untuk mengekang kebangkitan masyarakat Melayu tidak akan memberi apa-apa kebaikan kepada kedua-dua pihak sebaliknya berlaku pertumpahan darah yang lebih banyak.
Kecenderungan kerajaan Thailand untuk mengambil pendekatan mengurus etnik model Malaysia amat membanggakan kerana Malaysia adalah di antara negara yang mempunyai pengalaman luas menguruskan tiga etnik besar di samping kumpulan etnik lain di Sabah dan Sarawak. Justeru pendekatan pendidikan untuk pembangunan harus dijadikan sebagai satu pilihan jika kerajaan Thailand ingin melihat keamanan berkekalan di negara itu. Soal agama dan bahasa mesti diberikan kepada setiap etnik malah diperkuatkan di sekolah. Tidak guna memaksa masyarakat Melayu untuk melupakan terus agama dan bahasa mereka kerana usaha ini hanya akan gagal. Sebaliknya tekanan demi tekanan akan memberi semangat kepada penduduk di tiga wilayah untuk mengdapat kemerdekaan atau wilayah autonomi sendiri.
Model Malaysia tidak sesuai untuk selatan Thai...
ReplyDeleteOrang-orang Melayu Patani mesti berfikir sendiri untuk memajukan masyarakatnya. Banyak model negara yang boleh diguna pakai seperti Kosovo yang baru merdeka. Selatan Thai penuh dengan isu-isu sosial seperti kemiskinan, jenayah, penagihan dadah, kemelaratan ekonomi dan rasuah. Inilah cabaran besar untuk pemikir dan intelektual Melayu Patani berfikir mengenai nasib bangsa sendiri. Malaysia telah jauh kehadapan meninggalkan Melayu Patani yang serba kekurangan. Carilah model yang sesuai untuk Selatan Thai. Selamat berjaya.
ReplyDelete