Dari Kota Bharu ke Tumpat, Pengkalan Kubor, Pantai Cahaya Bulan dan Pengkalan Chepa, bendera bulan purnama mendominasi jalan raya, jambatan dan julai pokok. Bendera dacing begitu kerdil berada di tengah lautan bulan purnama khususnya di kawasan yang dimenangi oleh Parti Islam Semalaysia (PAS). Di kawasan bendang, bendera PAS lebih banyak dan terserlah tetapi di kawasan penduduk Siam, Barisan Nasional lebih gah.
Kesungguhan Barisan Nasional menguasai Kelantan pada kali ini sangat berkobar-kobar. Kempen "Pade doh" yang digerakkan dari Putra World Trade Centre, Kuala Lumpur sudah mula menunjukkan kesannya. Kain rentang, poster dan baju T yang diagihkan kepada petugas pilihan raya di Kelantan sudah mula dipamerkan kepada para pengundi.
Dengan menggunakan dan mempromosi satu mesej yang jelas, bakal pengundi mudah untuk mengingatinya dan tidak teragak-agak untuk membuat pilihan. Kempen Barisan Nasional ini turut dibantu oleh kempen dan promo di televisyen. Manakala pembangkang tidak ada ruang yang besar untuk promo di media, mereka menggunakan sepenuhnya Internet, mesej pesanan ringkas dan kempen bersemuka.
Senario politik Kelantan jauh berbeza daripada negeri-negeri lain. Penguasaan PAS selama 18 tahun bersama dasar "Membangun Bersama Islam" amat memberi pengaruh yang kuat kepada sebilangan besar penduduk negeri itu. Dengan 89.3 peratus masyarakat Kelantan memahami dasar ini, penerimaan mereka kepada pelaksanaan program dan rancangan oleh kerajaan PAS adalah tanda jelas kepada keberkesanan dasar berkenaan selama ini.
Begitu juga dengan penguatkuasaan undang-undang karaoke, judi, kawalan arak, kaunter berasingan, menutup aurat, kawalan hiburan dan kawalan pergaulan remaja yang semuanya menerima sokongan di antara 80 hingga 90 peratus. Hasil dapatan kajian ini juga bertentangan dengan kajian yang dilakukan oleh Merdeka Centre yang melihat sokongan umum lebih memihak kepada Barisan Nasional.
Oleh kerana kekentalan masyarakat Kelantan dengan ajaran Islam melalui institusi pendidikan agama yang sentiasa mendapat sambutan, pengaruh PAS sangat kuat dan sukar untuk dipecahkan oleh kempen dan promo biasa Barisan Nasional yang menggunakan umpan pembangunan. Rakyat Kelantan tidak bimbang jika pembangunan tidak rancak asalkan agama dapat dipertahankan.
Konsep ini yang menjadi kukuh dan mantap di dalam fikiran masyarakat Kelantan sangat sukar digugat oleh Barisan Nasional kerana budaya beragama sangat ketara khususnya melalui ceramah dan kuliah di masjid, kuliah umum di kawasan terbuka dan suasana persekitaran sendiri yang memberi ruang kepada kefahaman agama yang sama sekali berbeza dengan pelaksanaan oleh kerajaan Barisan Nasional.
Selain kefahaman dan kemantapan terhadap agama, budaya masyarakat Kelantan yang sangat istimewa ialah mereka suka berkumpul di kedai-kedai makan khususnya pada waktu malam. Anak-anak muda yang mewarisi budaya ini sejak turun-temurun daripada masyarakat Melayu Pattani menjadikan maklumat setempat dan isu-isu semasa dapat dibincangkan dengan pantas di kedai dan warung kopi ini. Justeru, di Kelantan, banyak gerai makan yang dididirikan di tepi-tepi jalan, simpang tiga atau di hadapan rumah kerana masyarakat kelantan sememangnya suka berniaga dan berdikari.
Oleh kerana mentaliti mereka begitu, pendirian rakyat Kelantan jauh berbeza apatah lagi nilai-nilai Melayu begitu tebal. Melayu melihat kepada pemimpin dan jika pemimpin tersebut kuat beragama, dia dianggap sebagai pelindung dan membawa rahmat kepada mereka. Ketika nilai ini sangat utuh di Kelantan, ia tidak begitu dominan di negeri-negeri Melayu yang lainnya.
Kejayaan PAS di Kelantan adalah kerana masyarakatnya memahami aspirasi kepimpinan yang dibawa oleh Tok Guru. Walaupun media massa memberikan mesej dan kenyataan yang memburukkan beliau seperti mana dalam kes "orang utan" atau "Tuhan mencarut," maksud sebenar kenyataan seperti itu difahamai dengan jelas dan diterima dengan baik oleh masyarakat Kelantan.
Dalam isu "orang UMNO seperti orang utan," mesej Tok Guru lebih kepada kelakuan dan bukannya menuduh orang UMNO sebagai orang utan seperti yang difahami ramai. Kebanyakan penduduk Kelantan yang memahami keistimewaan Tok Guru langsung tidak akan melenting dengan permainan media kerana bahasa Melayu dialek Kelantan penuh dengan kiasan.
Berbeza dengan kenyataan Naib Pemuda UMNO yang menyifatkan mereka yang terlibat dengan demonstrasi jalanan sebagai "beruk-beruk," kata-kata beliau sangat jelas dan mudah difahami.
Untuk mengetahui sendiri sejauh mana masyarakat Kelantan membezakan di antara "orang utan" oleh Tok Guru dan "beruk-beruk" oleh Naib Pemuda UMNO, penyelidik bertemu, berbincang dan bertukar-tukar pandangan dengan mereka sama ada di gerai makan tepi jalan atau mendengar perbualan di tempat-tempat umum.
Ada di antara mereka yang mengiyakan apa yang dinyatakan oleh Tok Guru kerana tidak ada salahnya dengan kenyataan tersebut tetapi kecewa dengan kenyataan "beruk-beruk di jalanan" dan tidak ada media massa kerajaan yang mengulas isu ini. Sebaliknya apabila PAS berazam membenarkan demonstrasi jalanan jika menang pilihan raya, media massa mula mengeksploitasi isu berkenaan sehingga menerima bantahan daripada sesetengah pihak.
Inilah pemikiran masyarakat Kelantan yang masih kental dengan Tok Guru yang mengerahkan seluruh tenaga dan sumber kekuatan untuk mengekang setiap kemaraan jentera kempen Barisan Nasional kali ini. Di samping perbelanjaan yang besar, strategi kempen yang terancang melalui Unit Peti Undi (UPU) dan pondok panas yang didirikan bagi setiap satu kilometer dapat mematahkan kempen Barisan Nasional yang turut menggunakan peruntukan yang besar untuk menawan Kelantan.
Tempoh kempen yang diberikan selama 13 hari sehingga 8 Mac kelak adalah tempoh genting bagi kedua-dua parti. Selain menggerakkan kempen rumah ke rumah dengan membawa pelbagai tawaran dan janji, konsep "bagi wang ambil, bagi beras ambil" sudah menjadi biasa dalam suasana pilihan raya ini dan tidak ramai yang terhutang budi untuk mengundi mana-mana parti.
Selain barang-barang keperluan seperti beras, sabun basuh turut diedarkan kepada bakal pengundi untuk menarik perhatian mereka. Pendek kata, setiap kali petugas parti politik datang menjenguk keadaan rumah dan bertanya khabar, akan ada buah tangan sebagai pembuka kata. Amalan ini sangat baik kerana menjadi budaya masyarakat Melayu untuk mengambil tahu keadaan saudara mereka, apakah sakit atau sihat, sudah makan atau belum dan sebagainya. Justeru, kempen rumah ke rumah selain daripada bertanya khabar ia juga turut menjadi statistik asas kepada congakan bilangan undian yang akan diperolehi kelak oleh setiap calon yang bertanding.
Ketika proses kempen juga, petugas akan mengiringi calon kawasan masing-masing dari rumah ke rumah untuk memperkenalkan calon yang bertanding dan mengukuhkan keyakinan mereka terhadap kebolehan calon memimpin jika dipilih kelak.
Jika kemenangan PAS dalam pilihan raya berlalu bersama majoriti yang kecil di sebahagian besar kawasan yang ditandingi, strategi Barisan Nasional dalam pilihan raya kali ini besar kemungkinan mengulangi strategi lepas iaitu menubuhkan petugas kempen yang akan mengawal sepuluh rumah dengan seorang pemantau. Mereka inilah yang akan mempastikan rumah bakal pengundi diperhati dan dijaga dengan sebaik-baiknya sehingga ke hari keluar mengundi supaya maklumat yang diberi dapat disimpan baik-baik oleh pengundi. Jadi, jika petugas PAS cuba mengintai untuk menjenguk bakal pengundi Barisan Nasional yang telah dikenal pasti, agak sukarlah bagi mereka kerana sebaik sahaja petugas PAS turun dari rumah, sepantas kilat petugas Barisan Nasional akan naik dan membuat serangan balas supaya undi hanya diberi kepada mereka.
Justeru, strategi kejayaan barisan Nasional telah dikenal pasti, PAS juga merangka strategi yang lebih praktikal kali ini bagi mempastikan mereka terus memimpin Kelantan. Jika bakal pengundi diminta berjanji untuk memangkah Barisan Nasional dalam pilihan raya, sesetengah pengundi memang rasa bersalah kerana telah berjanji. Jadi, Tok Guru datang dengan petua mudah untuk melunaskan janji tersebut dengan katanya: bangun pagi-pagi pada hari mengundi nanti, cari lambang dacing yang ada di batang pokok atau tiang elektrik, bolehlah tunai janji dengan memangkah batang pokok atau tiang elektrik tersebut, selepas itu pergilah mengundi.
Walaupun lucu, itulah penyelesaian yang mudah dan praktikal. Semakin sukar juga Barisan Nasional hendak mempengaruhi bakal pengundi yang berjanji itu kerana setiap permasalahan ada jalan keluarnya.
Ketika Barisan Nasional mendapat bantuan daripada MCA, MIC dan parti komponen yang lain di samping media massa, PAS juga mendapat bantuan dari PKR dan mereka yang bersimpati dengan perjuangannya. Banyak pihak yang bersimpati dengan perjuangan PAS kerana berbeza prinsip perjuangan yang dibawa oleh Barisan Nasional. Jadi, isu-isu seperti Islam Hadhari, kelayakan pemimpin dan peribadi pemimpin menjadi debat yang hangat.
Isu-isu semasa yang sedang bercempera ketika ini ialah harga barang naik, jenayah menjadi-jadi, Dr Mahathir gambarkan BN penuh dengan tunggul mati yang korup, kerajaan Barisan Nasional jadikan Malaysia lembik dan bacul (half-past-six country with no guts), PM tidur, peranan Khairy, ECER akan kurangkan tanah rezab Melayu, WPI untuk Singapura, gugat Islam dan Malaysia tercorot dalam senarai demokrasi.
Walaupun banyak isu yang ditimbulkan di peringkat nasional, isu tempatan di Kelantan dilihat lebih memihak kepada siapa calon yang akan bertanding. Gesaan timbalan presiden UMNO supaya memilih parti, pengundi Kelantan melihatnya berbeza. Barangkali di peringkat parlimen mereka memberi ruang kepada Barisan Nasional tetapi di peringkat dewan undangan negeri, mereka memberi peluang kepada PAS. Agak sukar juga membuat ramalan berkenaan selera pengundi pada kali ini kerana tawaran Barisan Nasional yang sangat menarik ketika PAS berpadu tenaga berentap bagi mempastikan Kelantan tidak jatuh ke tangan Barisan Nasional.
Kemenangan awal PAS di DUN Kijang adalah petanda awal mereka akan kembali menguasai Kelantan. Begitu juga dengan penarikan diri dua calon Barisan Nasional di parlimen Pengkalan Chepa dan Pasir Mas. Pencalonan di Pengkalan Chepa ternyata merupakan tindakan silap Barisan Nasional kerana calon berkenaan tidak berminat dan tidak memberi persetujuan untuk bertanding dalam pilihan raya. Tindakan berkenaan ternyata merosakkan kredibilitinya sebagai tokoh yang sangat serius membangunkan anak bangsa melalui pendidikan, pemimpin organisasi yang besar dan sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan rakan-rakannya yang lain. Tetapi dalam jangka masa panjang, menolak pencalonan berkenaan adalah pancaran prinsip dan pendirian yang sangat tegas serta memberi mesej bahawa perjuangan membangunkan anak-anak bangsa melalui institusi pendidikan adalah fokus yang diutamakan. Penyelidik menjangkakan beliau akan terus dihormati dan disegani kerana prinsip yang dipegangnya itu.
Kesimpulan awal berdasarkan pemerhatian pelaksanaan kempen Barisan Nasional ketika ini sama ada yang dilakukan di Kelantan sendiri ataupun promo di media massa tentang kelemahan kerajaan PAS mentadbir Kelantan, sebilangan pengundi di Kelantan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerajaan Barisan Nasional. Penyelidik merumuskan yang PAS lebih mendominasi suasana kempen dan perang saraf dan Barisan Nasional perlu bekerja kuat jika ingin menarik hati bakal pengundi untuk memilih mereka.
No comments:
Post a Comment