Wednesday, February 06, 2008

Kolej Teknologi Darulnaim: Kolej masa depan, mendidik anak bangsa

Persaingan dalam pendidikan membuka ruang kepada semua orang untuk belajar. Yang miskin diberi bantuan dan yang kaya dapat memilih institusi pengajian tinggi yang mereka ingini. Dasar liberal dalam pendidikan Malaysia telah membuka peluang kepada semua pihak yang berminat menubuhkan institusi pengajian tinggi dalam pelbagai bidang.

Satu daripadanya ialah Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) yang ditubuhkan pada 1997 dengan nama Institut Teknologi Darulnaim merupakan kolej di bawah naungan EQ Resources Sdn Bhd yang telah ditubuhkan pada awal 1997 oleh Permodalan Kelantan Berhad (PKB), sebuah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).


Sebagai langkah permulaan, KTD pada 6hb. Mac 1997 telah menandatangani MoU dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi mengendalikan Program Pengajian Diploma di bawah Sistem Kolej Kerjasama.

Hasil dari persetujuan ini KTD telah dilantik sebagai Pusat Program Kerjasama Pengajian Diploma UTM bagi negeri Kelantan. KTD-UTM telah memulakan sesi ulung pengajiannya pada semester Julai 1997/1998.

Bermula pada 15 Mei 2004, secara sahnya pengurusan EQ Resources Sdn Bhd telah diambil alih oleh Akar Ikhlas Sdn Bhd.

Visi KTD ialah menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang unggul, berdaya saing dan bertaraf dunia yang berlandaskan pengabdian kepada Pencipta. Manakala misinya pula ialah menyediakan peluang pendidikan tinggi bersepadu dan terancang melalui perkhidmatan warga kerja berkualiti bagi melahirkan individu yang berilmu, berketerampilan dan berakhlak untuk memenuhi keperluan tenaga mahir dan profesional negara.

Falsafah pendidikan KTD adalah berpandukan ayat al-quran yang bermaksud, “….Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan di kalangan kamu dengan beberapa darjat.” Surah al-Mujadalah (58:11)

Pengurusan kolej yakin dan percaya bahawa pendidikan bersepadu adalah proses berterusan yang berteraskan tauhid bagi menghasilkan insan kamil yang dilengkapi dengan kepakaran dan kemahiran terkini, mampu menangani cabaran, memberi sumbangan serta membina ummah yang cemerlang.

Visi, misi dan falsafah KTD ditunjangi oleh nilai-nilai teras yang merangkumi keimanan dan ketakwaan sebagai tunjang, akauntabiliti dan integriti dalam menjalankan tugas, sentiasa proaktif, kreatif dan inovatif dalam menangani cabaran dan peluang, kebersamaan, kemesraan dan kesanggupan berkorban dalam mewujudkan persekitaran yang harmonis dan keprihatinan dan keutamaan kepada pelanggan.

Kolej Teknologi Darulnaim menawarkan 5 kursus peringkat Diploma dengan Kerjasama Universiti Teknologi Malaysia di bawah Unit Pengurusan Program Kerjasama (UPPK UTM). Kursus-kursus tersebut ialah Diploma Kejuruteraan Elektronik, Diploma Sains Komputer (Teknologi Maklumat), Diploma Sains Komputer (Multimedia), Diploma Pengurusan Teknologi (Perakaunan) dan Diploma Pengurusan Teknologi.

Selain daripada kursus-kursus ini, Kolej Teknologi Darulnaim juga menawarkan kursus-kursusnya sendiri seperti Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Multimedia dan Diploma Perakaunan.

Sejarah kecemerlangan KTD penuh dengan cabaran. Pada 2004, bilangan pelajar adalah 193 orang, menjadikannya berada pada kedudukan yang tidak stabil kerana kos operasi yang tinggi. Kerja kuat pihak pensyarah dan pengurusan, KTD dapat meningkatkan jumlah kemasukan pelajar kepada sekitar 450 orang pada 2007.

Ketika memberi perutusan tahun baru 2008 masihi dan 1429 hijrah di sebuah hotel di Kota Bharu baru-baru ini, ketua eksekutif, Dr. Abdullah Sudin mendedahkan resepi kejayaan Kolej Teknologi Darulnaim yang bangkit daripada peratusan tahap kegagalan pelajar yang tinggi iaitu 20.89 peratus empat tahun lalu kepada 0 peratus pada 2006. Seterusnya bagi tahun 2007, bidang pengajian akaun dan multimedia mencatat 100 peratus kelulusan. Di kalangan kolej pengajian yang mengadakan kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia, KTD berada pada kedudukan ke-5 daripada lebih 20 buah institusi pengajian tinggi swasta dari segi kedudukan CPA.

Kejayaan ini merupakan petanda jelas kepada kesungguhan pelaksanaan konsep pendidikan bersepadu iaitu kecemerlangan akademik dan pembinaan sahsiah terpuji. Pencapaian yang memberangsangkan ini adalah kesan daripada program pembangunan akademik dan pelajar seperti Pembangunan Sahsiah Terpuji (Pesat) yang menyediakan modul lengkap pembangunan pelajar supaya lebih berdisiplin, rajin belajar dan pada masa yagn sama membina soft skills sebagai persediaan menjadi pemimpin pada masa depan.

Pencapaian akademik sebelum ini banyak digugat oleh masalah disiplin, cenderung mengabaikan pelajaran dan tidak menghargai peluang yang diberikan untuk belajar di KTD.

Dr. Abdullah Sudin dalam ucapannya melahirkan rasa sukacita ke atas pencapaian besar KTD sehingga kini. Keputusan peperiksaan semester yang sentiasa ada peningkatan adalah petanda jelas komitmen pihak pensyarah dan semua kakitangan untuk melihat KTD sebagai sebuah institusi pengajian tinggi swasta yang unggul di Kelantan.

Di samping itu, enam program pengajian dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Selangor akan dilaksanakan di samping menghantar pelajar cemerlang ke United Kingdom dalam bidang yang terpilih. KTD juga menjadi pusat pendidikan wilayah bagi Universiti islam Antarabangsa dan Unisel.

Rancangan KTD dalam masa lima tahun yang akan datang bermatlamatkan menambah bilangan pelajar dan memberi imbuhan yang lebih baik kepada pensyarah dan kakitangan kolej agar setanding dengan institusi pengajian tinggi yang lain.

Kebajikan pelajar di KTD terus dipelihara, justeru bantuan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) sangat penting. Kenaikan bantuan kewangan pelajar dari RM350 ke RM550 seorang setiap bulan turut membantu pencapaian akademik yang lebih baik.

Hala tuju KTD tidak berdasarkan bisnes semata-mata tetapi lebih kepada memberikan pendidikan kepada semua golongan masyarakat termasuk pelajar-pelajar miskin. Bagi merealisasikan hala tuju, Pengerusi KTD, Prof. Datuk Dr. Abu Azam bin Md Yassin meminta pensyarah dan kakitangan kolej untuk memikirkan "niche" tertentu yang boleh diguna pakai oleh KTD dengan menggunakan pendekatan ABC.

A adalah "associate staffs" iaitu menggunakan potensi kakitangan yang ada untuk menggembleng sumber manusia secara optimum; B adalah "business model" yang mengaplikasi keuntungan dan tanggungjawab sosial, dan C ialah "customers" iaitu pelanggan kolej yang terdiri daripada ibu bapa dan masyarakat.

Pencapaian yang dapat diukur daripada ketiga-tiga elemen ini ialah KTD dapat melahirkan seorang pelajar yang akhlaknya dipuji dan akademiknya cemerlang. KTD boleh berbangga dengan keputusan peperiksaan semester lepas yang mana 44 orang telah mendapat anugerah dekan dan 127 orang mendapat kepujian kelas dua atas.

Pembentukan akhlak terpuji harus melalui proses atau kurikulum yang terancang. Di dalamnya ada diterangkan cara pelaksanaan, proses menilai dan hasil akhirnya. Membina akhlak bukannya seperti mengambil makanan untuk keperluan fizikal sebaliknya berkembang dengan ilmu. Kurikulum yang dibangunkan di KTD adalah untuk pembinaan akhlak pelajar yang lebih baik.

Resepi kejayaan KTD ialah pencapaian akademik dan sahsiah diri yang terpuji. Dengan dua pendekatan ini, pelajar mampu menghadapi cabaran-cabaran perkembangan semasa yang boleh menggugat pembentukan sahsiah pelajar.

Pelajar yang lengkap dengan profesionalisme yang disempurnakan dengan kekuatan iman adalah idaman pensyarah dan kakitangan Kolej Teknologi Darulnaim. Pembinaan peribadi pelajar yang beginilah akan dilahirkan oleh KTD. Untuk mengharapkan orang lain menjaga nasib bangsa sendiri tentulah sukar.


No comments:

Post a Comment