Gendang pilihan raya semakin kuat dipalu. Media massa khususnya televisyen sentiasa mendendangkan kejayaan kerajaan Barisan Nasional sebagai pelaksana pembangunan negara melalui pelbagai dasar yang menjanjikan kesenangan dan kemakmuran. Pelancaran koridor pembangunan ekonomi dari Perlis hingga ke Sabah adalah menifestasi usaha berterusan kerajaan untuk menuju kecemerlangan Wawasan 2020.
Sehingga kini ada lima koridor pembangunan ekonomi yang dilancarkan sejak tahun lepas yang merangkumi:
1. Pembangunan Wilayah Iskandar
2. Pembangunan Koridor Utara
3. Pembangunan Koridor Pantai Timur
4. Pembangunan Koridor Sabah
5. Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak
Selain itu terdapat satu projek mega di Pulau Pinang iaitu Pembangunan PGCC yang berjumlah RM24 bilion.
Projek pembangunan ini mempunyai matlamat jangka panjang untuk membangunkan semua kawasan di Malaysia seiring dengan komitmen kerajaan Barisan Nasional bagi mencapai status negara maju.
Ketika rancak dengan projek, terselit kisah seorang abang kepada aktivis parti politik pembangkang yang menyertai UMNO. Media melaporkan Zakaria bin Ali menyerahkan borang permohonannya untuk menjadi ahli UMNO kepada Datuk Idris Jusoh baru-baru ini.
Berita ini pantas dijadikan bahan kempen pilihan raya di media massa. Pada masa yang sama juga, ruang e-groups dipenuhi dengan maklumat bahawa Zakaria bin Ali pernah mengisytiharkan dirinya menjadi ahli UMNO di hadapan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Wan Mokhtar dulu. Ini adalah kali kedua beliau melakukan perkara yang sama tetapi pada masa yang berbeza. Nombor ahlinya ialah 02812128.
Adik beliau, Datuk Musfa Ali dalam kenyataannya meminta semua pihak tidak menyakiti hati abangnya dengan perkataan atau perbuatan yang boleh menjejaskan kesihatan dan meminta pemimpin UMNO menjaganya dengan baik.
Di sebalik serangan maklumat yang berubi-tubi di media, pembangkang juga melakukan serangan yang serupa. Mereka juga mempunyai strategi untuk menyerang balik pelbagai maklumat yang memburukkan mereka. Walaupun tidak ada media yang berpengaruh, mereka menggunakan sepenuhnya teknologi maklumat khususnya laman web melalui ruang sembang maya yang banyak mendedahkan maklumat yang tidak ada di media arus perdana.
Maklumat yang didedahkankan ada kalanya sangat terperinci. Jadi, pemilih mempunyai pilihan untuk mempercayai atau tidak maklumat yang mereka dapat melalui media perdana tersebut.
Dalam pada itu, kempen pilihan raya di Kelantan sangat sengit dengan beberapa orang besar dari UMNO terus menerus datang ke negeri ini. Keyakinan Barisan Nasional untuk merampas Kelantan sangat membara setelah 18 tahun menjadi pembangkang di sini. Kerajaan negeri pimpinan PAS juga merangka strategi tersendiri. Antaranya ialah mengadakan penerangan gerak gempur pilihan raya di PUTIK, Pengkalan Chepa baru-baru ini kepada semua peringkat pimpinan parti bagi memastikan PAS kekal di Kelantan dalam pilihanraya ke-12 nanti.
Senario politik di Kelantan sangat berbeza daripada lain-lain negeri kerana tokoh agama diberi keutamaan. Selepas Kota Bharu diisytiharkan sebagai Bandaraya Islam tiga tahun yang lalu, dasar Membangun Bersama Islam diterima baik oleh majoriti rakyat negeri. Penguatkuasaan karaoke, judi dan tindakan yang menyalahi syariat turut disambut baik oleh masyarakat yang mahukan pelaksanaan penghayatan Islam diamalkan dalam kehidupan seharian.
Barisan Nasional akan terus berusaha bagi mempastikan mereka dapat menawan Kelantan pada kali ini dan PAS akan berjuang mempertahankan kerajaan yang ada. Pertarungan dijangka sengit. Sekarang pun pemandangan rakyat juga dikaburi bendera hijau dan biru yang dipasang di merata tempat: atas julai pokok, tepi getak (jambatan) dan persimpangan jalan. Dari Pasir Puteh hingga Gua Musang, bendera parti politik ada di mana-mana.
Seorang rakan dari Kelantan yang telah lama bekerja di Petaling Jaya berkata, beliau akan memilih Barisan Nasional pada pilihan raya kali ini kerana tidak banyak pembangunan di bawah kerajaan PAS.
Seorang lagi rakan juga dari Kelantan berkata, beliau akan mengundi Tok Guru kali ini kerana di bawah kerajaan PAS, jalan raya di kampungnya diturap hingga ke depan rumah. Di bawah kerajaan Barisan Nasional dahulu, dia tidak merasa nikmat pembangunan berkenaan.
Politik pembangunan adalah harapan kepada semua pengundi. Mereka akan mengundi calon yang layak dan boleh melaksanakan kerja. Pada pandangan mereka, setiap parti politik ada peranan masing-masing. Terpulang kepada kebijaksanaan masing-masing untuk memilih calon dan parti. Konsep "bagi duit ambil, bagi kain pelekat ambil" menjadi sebati dengan masyarakat Kelantan. Justeru, lebih banyak program dan majlis ketika hampir pilihan raya ini, hati mereka sangat girang tetapi belum tentu akan mengundi mana-mana parti yang ingin mampir.
No comments:
Post a Comment