Barisan Nasional baru saja melancarkan manifesto untuk Pilihan Raya Umum ke 12 dengan tema Selamat, Aman dan Makmur. PAS, PKR dan DAP juga telah melancarkan manifesto parti masing-masing.
Manifesto PAS yang bertunjangkan "Negara Kebajikan" memberi peluang yang cukup banyak kepada pemimpin dan rakyat Malaysia untuk mendapat perkhidmatan dan berasa lebih dekat dengan Tuhan. Kritikan banyak diberikan kepada kaedah parti itu hendak melaksanakan janji-janji yang terkandung di dalam manifesto berkenaan. Naib Canselor UKM ketika diwawancara secara langsung selepas manifesto Barisan Nasional dilancarkan berkata manifesto PAS hanyalah gula-gula, manakala manifesto Barisan Nasional dibuat alam bentuk pakej.
Rakan penyelidik menyifatkan manifesto Barisan Nasional adalah holistik.
Bagi mengetahui sejauh mana bakal pengundi dan masyarakat memahami benar manifesto parti-parti politik, penyelidik berjumpa beberapa orang daripada mereka. Jawapan yang diterima adalah pelbagai.
Ada di kalangan mereka berpendapat manifesto PAS mengembalikan banyak aspek yang telah hilang di dalam peranan dan fungsi kerajaan Barisan Nasional khususnya menjaga isu yang sangat penting bagi kemajuan bangsa dan negara iaitu pendidikan percuma. Kerajaan seharusnya menyediakan bantuan dan apa saja yang perlu untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat tanpa ada soal jawab lagi.
Galakan untuk belajar mesti sentiasa diutamakan supaya rakyat Malaysia lebih cepat maju kehadapan dan tidak menjadikan alasan kemiskinan dan beban kewangan sebagai penghalang.
Apabila ditanya dari mana PAS hendak mengambil peruntukan yang banyak untuk menyediakan pendidikan percuma itu, mereka merujuk kepada pendapatan negara yang mana sering diulang-ulang oleh kerajaan Barisan Nasional iaitu keadaan ekonomi yang bertambah baik, keluaran dalam negara kasar meningkat kepada enam peratus, Petronas untung berbilion ringgit dan mengurangkan pembaziran serta memerangi rasuah.
Rumusannya, PAS ada sumber peruntukan untuk membiayai pendidikan percuma rakyat Malaysia.
Manifesto ini sangat menarik kerana pada hari ini rata-ratanya pelajar dibebankan dengan yuran pengajian yang masih tinggi walaupun telah diberi diskaun. Agensi yang berkaitan dengan pinjaman pendidikan pengajian ijazah pertama, PTPTN contohnya, di dalam media dilaporkan lebih banyak pelajar dan lepasan pelajar yang merungut tentang pinjaman pelajaran yang tidak dapat dilunaskan seperti yang dipersetujui dalam perjanjian kerana sebaik sahaja tamat belajar, peminjam masih belum mendapat kerja tetapi tuntutan pembayaran sudah diterima. Ada-ada saja isu ini terkeluar di dalam akhbar arus perdana.
Alangkah baiknya jika pendidikan diberi secara percuma kepada setiap rakyat Malaysia supaya pendidikan tidak dijadikan sebagai satu bisnes yang menguntungkan satu pihak tetapi membebankan rakyat yang bilangannya sangat ramai dan berhak mendapatkannya.
Bagi yang lebih mendalam analisisnya, mereka menyifatkan pelajar yang dilahirkan oleh sistem pendidikan sekarang hanya seperti robot, tidak mampu berfikir tentang perjuangan umat Islam, tidak banyak berfikir tentang hala tuju bangsa Melayu dan tidak berupaya memberikan tenaga dan buah fikiran untuk menjadikan bangsa Melayu dan umat Islam sebagai masyarakat yang kuat dan disegani dalam ekonomi, politik dan sosial di negara sendiri.
Semenjak 50 tahun yang lalu, UMNO tidak mampu untuk merancang usaha dan gerak kerja yang sistematik bagi mencapai 30 peratus sasaran bumiputera dalam aktiviti ekonomi negara. Jadi terbukti UMNO gagal membela martabat bangsa Melayu. Tanah Melayu banyak yang dijual atas nama pembangunan sehingga tidak banyak perkampungan Melayu yang masih ada di bandar-bandar utama.
Hujah demi hujah yang diberikan sememangnya mencari kegagalan UMNO dan Barisan Nasional khususnya dalam pendidikan dan masa depan Islam dan Melayu.
Manakala bagi mereka yang positif kepada manifesto Barisan Nasional, anggapannya ialah manifesto berkenaan sangat sesuai, merangkumi kehendak masyarakat majmuk rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan pembangunan ekonomi yang lebih terjamin.
Barisan Nasional juga menunjukkan rekod perkhidmatan yang memberangsangkan sejak dari pilihan raya ke 11 yang lalu khususnya di Terengganu dan membangunkan koridor ekonomi supaya semua negeri dapat membangun bersama. Malahan perdana menteri juga berazam untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010.
Penyelidik melihat kedua-dua pihak mempamerkan manifesto yang mantap dengan impian masing-masing. Perbezaan yang sangat ketara pada kedua-dua manifesto berkenaan ialah PAS meletakkan ketaatan kepada Tuhan sebagai perkara yang sangat penting dan diutamakan, barulah akan datang keberkatan dan kemakmuran kepada rakyat dan negara. Manakala Barisan Nasional lebih kepada pembangunan ekonomi, perpaduan kaum dan jaminan masa depan. Insya Allah, jika rakyat meletakkan Tuhan sebagai keutamaan, bagi orang yang beragama, pembangunan ekonomi, keharmonian masyarakat dan masa depan pasti akan dijamin oleh Tuhan sendiri.
No comments:
Post a Comment