Wednesday, February 13, 2008

‘Jambatan’ kaum India

Perasaan tidak puas hati terhadap pencapaian sosio ekonomi kaum India di negara ini yang menjadi-jadi sejak kebelakangan ini bukan kerana kerajaan meminggirkan kaum berkenaan, sebaliknya berpunca daripada kegagalan para pemimpin MIC memberi penjelasan yang konkrit kepada komuniti tersebut.

Kejayaan 100 peratus yang dicapai pada setiap pilihan raya menjadikan para pemimpin parti itu selesa dengan andaian para pengundi mereka berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi selama ini, walaupun hakikat sebaliknya.

Suara-suara lantang dan tegas pada ketika ini telah membangkitkan para pemimpin MIC daripada tidur dan membuatkan mereka menyedari apa yang dilakukan selama ini rupa-rupanya belum lagi cukup dan masyarakat mengharapkan sesuatu yang lebih meyakinkan atau harapan masyarakat kini lebih tinggi.

Ketika parti komponen Barisan Nasional (BN) lain seperti UMNO, MCA dan Parti Gerakan telah lama melakukan lonjakan paradigma sejajar dengan kemajuan negara dan peningkatan tahap pendidikan rakyat, MIC kini mula mencari kaedah yang relevan untuk memenangi kembali hati ahli dan pengundinya keseluruhannya.

Sebenarnya bukan kerajaan atau MIC meminggirkan kaum India, tetapi kerana kurang penjelasan menyebabkan kaum berkenaan tidak menyedari hakikat yang telah dilakukan oleh kerajaan selama ini.

Berdasarkan statistik jelas menunjukkan 26.6 peratus doktor di negara ini terdiri daripada kaum India. Tidak keterlaluan juga jika dikatakan bahawa peguam terbaik di negara ini terdiri daripada peguam kaum India.

Dalam erti kata lain walaupun kaum berkenaan hanya lapan peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara ini, tetapi mereka berjaya melahirkan jumlah profesional yang begitu tinggi.

Dari segi kadar kemiskinan pula hanya 2.9 peratus kaum itu berada dalam lingkaran kemiskinan, berbanding kaum bumiputera 8.3 peratus, manakala kaum Cina 0.6 peratus.

Indikator itu menunjukkan memang terdapat perubahan ketara di kalangan penduduk kaum India di negara ini, walaupun kerajaan sendiri mengakui masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki.

Pelbagai program telah dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan 1.8 juta kaum India atau lapan peratus daripada jumlah penduduk negara itu tidak ketinggalan, tetapi kerana faktor penyampaian yang tidak lancar menyebabkan hanya segelintir daripada kaum itu mendapat manfaat.

Hasilnya jumlah mereka yang berjaya terlalu sedikit berbanding mereka yang masih lagi berjuang untuk hidup kerana berada di bawah paras kemiskinan.

Kini MIC mengambil langkah yang proaktif sejak beberapa bulan lalu apabila para pemimpin MIC yang diterajui oleh Presiden, Datuk Seri S. Samy Vellu bekerja siang dan malam menjelajah ke seluruh pelosok negara berjumpa dengan para pemimpin cawangan bagi menekankan pentingnya mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

Program-program khas juga diadakan bagi menonjolkan kewibawaan para pemimpin peringkat cawangan di kalangan masyarakat India terutama 610,000 ahli MIC di samping memastikan setiap program pembangunan memberi manfaat sehingga ke akar umbi.

Para pemimpin parti itu perlu menjadi juara memperjuangkan nasib kaum mereka bagi mengelakkan daripada diperlekeh oleh pihak lain yang hanya pandai bercakap dan menafikan segala yang telah dilakukan oleh MIC.

Oleh itu para pemimpin MIC di peringkat cawangan perlu memiliki keupayaan untuk mengekalkan hubungan rapat dengan akar umbi.

Mereka perlu turun padang memenangi dan memahami fikiran pengundi melalui penerangan khidmat yang telah diberi di dalam bidang pendidikan, sosial, ekonomi dan agama.

Cawangan merupakan jentera yang paling dekat dengan masyarakat dan mereka perlu meyakinkan kaum India bahawa masa depan mereka adalah di dalam BN dan bukan berada di luar lingkungan BN.

Parti utama mewakili kaum India di dalam BN adalah MIC dan ia perlu diperkukuhkan kedudukannya sebagai pelindung dan penjaga masyarakat India di Malaysia.

Keutuhan MIC adalah penting kerana ia bukan sahaja demi memastikan kemenangan 100 peratus seperti yang dicapai pada pilihan raya lalu di sembilan kawasan Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri, tetapi ia juga penting dalam memastikan kemenangan lebih besar BN.

Ini adalah kerana 85 peratus daripada ahli MIC atau 518,500 orang ialah pengundi berdaftar, manakala di 62 kawasan Parlimen dan 130 kawasan Dewan Undangan Negeri kaum India mewakili 10 peratus atau lebih pengundi berdaftar.

Sebenarnya masalah yang dihadapi oleh masyarakat India tidak mempunyai kaitan dengan politik, tetapi ia berpunca daripada proses perubahan daripada masyarakat luar bandar kepada masyarakat bandar yang turut dialami oleh kaum Melayu.

Ekoran anggaran kira-kira 80 peratus masyarakat India kini berhijrah ke bandar berikutan penutupan ladang-ladang bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Penghijrahan tidak terkawal tanpa sistem sokongan yang formal telah mewujudkan masalah sosioekonomi yang turut mengheret para pemimpin politik ke dalamnya.

Isu-isu sosioekonomi yang wujud ekoran penghijrahan itu termasuklah kekurangan kemahiran teknikal, kekurangan perumahan, kekurangan peluang pendidikan dan kadar literasi yang rendah, kebergantungan kepada kerja makan gaji, bekerja dengan gaji yang rendah, peningkatan masalah sosial dan kadar jenayah yang tinggi.

Keadaan itu menyebabkan kaum India yang belum cukup bersedia untuk menjadi masyarakat bandar terus ketinggalan daripada kemajuan dan proses pembangunan negara.

Kegagalan proses dan prosedur pelaksanaan serta mekanisme penyampaian yang tidak berkesan menjadikan keadaan semakin meruncing.

Sedangkan jika dilihat dalam tempoh 20 tahun dalam usaha memastikan kaum berkenaan mendapat pendidikan secukupnya telah memperuntukkan RM30 juta untuk pembangunan sekolah Tamil dan MIC sendiri telah mengutip RM7 juta untuk membina semula 76 buah sekolah Tamil.

Sebenarnya terlalu banyak program yang dianjurkan secara khusus untuk kaum India atau untuk keseluruhan rakyat Malaysia, tetapi ia gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh kaum India kerana kurangnya mobiliti kaum berkenaan.

Kini segalanya terletak di tangan kaum India sendiri untuk merebut peluang yang ada dan para pemimpin MIC pula selaku jambatan antara rakyat dengan kerajaan perlu bekerja keras dan gigih seperti yang ditunjukkan oleh Samy Vellu.


[Utusan Online]

No comments:

Post a Comment