Friday, February 22, 2008

Kosovo merdeka: Inspirasi untuk selatan Thai (2)

Perbandingan status autonomi

Hong Kong

Wilayah ini dipulangkan kepada China pada 1997 selepas 155 tahun berada di bawah jajahan British. Etnik Cina membentuk 95 peratus daripada jumlah penduduk kepulauan ini dan urusan perundangan berdasarkan Hong Kong Basic Law.

China membentuk pentadbiran khas yang memberi kuasa autonomi meluas dalam semua bidang kecuali hal ehwal luar negara dan pentadbiran. Warganegara Hong Kong juga boleh mengambil bahagian dalam pemilihan di parlimen China.

Bagi dasar luar, undang-undang China diguna pakai namun dalam bidang kepakaran Hong Kong, ia boleh berunding dengan mana-mana negara dan pertubuhan antarabangsa. Hong Kong juga menguasai ekonomi antarabangsa, perdagangan, kewangan dan tukaran wang asing, perkapalan, komunikasi, pelancongan, kebudayaan dan sukan. Bagaimanapun urusan ketenteraan dan perlindungan wilayah terletak di bawah tanggungjawab China.

Pulau Aland

Selepas peperangan Russia-Swedish (1808-1809), Russia menawan Finland dan Pulau Aland. Penduduk Pulau Aland adalah 95 peratus berketurunan Swedish. Bagaimanapun ketika petisyen umum pada 1917, sebanyak 96.2 peratus penduduknya memilih untuk bersatu dengan Sweden.

Dalam keputusan Liga Bangsa-Bangsa tahun 1921, mereka memutuskan bahawa Pulau Aland kekal di bawah Finland.

Dari segi perkongsian kuasa, Finland mempunyai hak ke atas dasar luar, pertahanan, imigresen, fiskal dan perundangan manakala perdagangan luar, undang-undang jenayah dan buruh serta kesihatan dikongsi bersama.

Pulau Aland mempunyai gabenor sendiri yang dilantik oleh Presiden Finland. Semua warganegara boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya parlimen. Pulau Aland perlu memaklumkan sebarang rundingan dengan negara-negara luar atau pertubuhan antarabangsa dan boleh diserapkan sebagai sebahagian daripada delegasi Finland.

Dasar ketenteraan menetapkan bahawa tanggungjawab tersebut berada di bawah kerajaan Finland. Pulau Aland diberi peluang yang luas untuk memberi pendapat dan mengambil bahagian dalam proses integrasi bersama Kesatuan Eropah dengan syarat mendapat persetujuan Finland dan negara-negara Kesatuan Eropah yang lain.

Kosovo

Sejak 1999, Kosovo berada di bawah pentadbiran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan sebahagian besar (91 peratus) adalah etnik Albania. Tanggungjawab ketenteraan ketika ini berada di bawah Nato dan PBB.

Menggunakan kerangka perlembagaan yang diadunkan antara Resolusi 1244 PBB, perlembagaan Serbia dan perlembagaan yang dikhaskan kepada kerajaan Kosovo.

Sebelum itu Serbia memberi autonomi kepada Kosovo dan berada di bawah kedaulatannya. Dari segi kaedah pelaksanaan autonomi Kosovo, Serbia menentukan dasar luar, mengawal sempadan, menjaga hal ehwal agama dan sejarah Serbs. Manakala bidang yang dikongsi bersama ialah dasar tukaran wang asing dan kastam.

Bagi dasar luar, ia berada di bawah tanggungjawab Serbia tetapi Kosovo boleh membuat perundingan dengan negara-negara luar dan pertubuhan antarabangsa. Penyediaan perjanjian mesti dirunding bersama dengan Serbia dan Kosovo boleh menyertai Serbia sebagai sebahagian daripada delegasi.

Seorang penganalisis politik, Lulzim Peci berkata Kosovo merdeka sama seperti merdekanya Jerman dan Jepun selepas Perang Dunia Kedua dahulu. Ia mengambil masa lima hingga lapan tahun untuk mewujudkan kestabilan politik.

Bantuan ekonomi untuk pembangunan Kosovo masih di bawah tanggungan Kesatuan Eropah iaitu lebih €1.6 bilion. Kadar pengangguran juga tinggi iaitu 44 peratus dan keperluan asas seperti tenaga elektrik dan air panas agak sukar diperoleh biar pun di Pristina.

Sebagai sebuah negara yang baru merdeka dan merasai sendiri nikmat negara yang bebas, tanpa kemudahan asas untuk hidup ia tidak memberi kesusahan yang besar kerana apa yang lebih penting ialah sebuah negara.

Seorang guru, Morina berkata, "Jika kami mendapat sokongan Amerika Syarikat dan kesatuan Eropah, keadaan akan menjadi lebih baik." Beliau merupakan penyokong kemerdekaan Kosovo. Ketika peperangan 1999, rumahnya menjadi markas tentera Serbia. Kereta kebal yang masih berada di halaman rumahnya kini menjadi sarang lebah dan ayam peliharaannya.

Jaringan jenayah

Kesatuan Eropah menghantar pegawai polis untuk mengawal komuniti Serbs dan juga pegawai perundangan untuk membaik pulih sistem kehakiman yang telah musnah kerana rasuah dan gangguan ke atas saksi.

Laporan Kesatuan Eropah mengenai Kosovo menyifatkan "jaringan jenayah telah menjalar ke pelbagai sektor sosioekonomi dan politik."

Walau bagaimanapun terdapat bibit-bibit kesungguhan daripada perdana menteri, Hashim Thaci untuk mengubah keadaan ini. Kerajaan beliau berjanji untuk memerangi rasuah dan mengisytiharkan Kosovo sebagai "kebebasan di bawah pemantauan" supaya pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dengan rasuah dapat disingkir dan diganti dengan yang lain.

Pengaruh Eropah

Misi Kesatuan Eropah adalah membuat pemantauan dan pengaruhnya telah pun dirasai. Ketika Hashim Thaci merancang untuk membentuk kabinet, beliau dipetik sebagai berkata "masyarakat antarabangsa di Kosovo memohon untuk tidak melantik bekas-bekas menteri yang terlibat dengan skaldal rasuah."

Namun begitu ketua misi Kesatuan Eropah di Pristina, Renzo Daviddi berkata tidak ada penglibatan sedemikian.

Dengan kehadiran 16,000 tentera dan 2,000 anggota polis, hakim dan pendakwaraya dari Kesatuan Eropah, adalah sukar bagi kerajaan Hashim Thaci untuk mengelak daripada menerima pandangan Kesatuan Eropah bagi membuat keputusan. Malahan mata wang rasmi Kosovo ialah euro.

Sejarah mendapati Kesatuan Eropah cenderung mengeksport dan mempromosi demokrasi seperti yang dilakukan di Sepanyol, Portugal dan Greece yang menyah keluar kepimpinan diktator pada 1980-an. Manakala pada 1990-an, ia membantu pengkayaan demokrasi di Eropah Timur.

Kosovo masa depan

Pengiktirafan yang diperlukan oleh Kosovo untuk menyertai masyarakat antarabangsa mula menampakkan keceriaan kerana banyak negara telah mengiktiraf kehadirannya. Cabaran besar sedang menanti Kosovo yang berhadapan dengan penentangan Serbia dan sekutu rapatnya Rusia.

Etnik Serbs yang menolak untuk menerima pengisytiharan berkenaan dan menunjukkan tindakan agresif dengan membakar pondok kawalan K-For di utara Kosovo. Belgrade juga berada dalam keadaan kecoh kerana perusuh terus mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan Amerika Syarikat.

Sokongan kuat Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) banyak membantu moral pemimpin Kosovo untuk berdikari dan memajukan negara mereka. Inspirasi kemerdekaan Kosovo bakal menjadi ikutan wilayah-wilayah bergolak khususnya yang mempunyai majoriti penduduk Islam seperti selatan Filipina dan selatan Thai.

No comments:

Post a Comment