Monday, January 28, 2008

"Anak jalanan" banyak kes babit anak pendatang

Kaji selidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Mac 2004 berhubung senario kanak-kanak jalanan di Sabah mendapati semua 21 kanak-kanak yang ditemui berkeliaran di Kota Kinabalu adalah anak pendatang tanpa izin.

Kajian Dzurizah Ibrahim dan Jalihah Md Shah di Kota Kinabalu, Tawau, Semporna, Lahad Datu, Telupid dan Kudat mengesan 21 kanak-kanak jalanan iaitu 18 orang warga Filipina dan seorang (Indonesia). Jalihah yang juga Pensyarah Sosiologi dan Antropologi Sekolah Sains Sosial UMS berkata, kerja yang dilakukan kanak-kanak jalanan itu bergantung kepada umur dan jantina.

Katanya, kanak-kanak perempuan berusia di bawah enam tahun biasanya menjual beg plastik dan rokok, selain menawarkan perkhidmatan mengangkut barangan pelanggan.


"Daripada 21 kanak-kanak jalanan yang ditemui, hanya dua bersekolah dan menjadikan kerja menjual beg plastik sebagai kegiatan sampingan ketika hujung minggu dan cuti sekolah. Ketika ditanya kenapa bekerja, mereka menjawab memerlukan wang untuk perbelanjaan sekolah dan membayar yuran.

"Tiga responden pernah mengikuti pendidikan formal hingga Tahun Empat manakala dua lagi hingga Tahun Enam," katanya kepada Berita Harian di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Sebahagian besar kanak-kanak itu dilahirkan di Kota Kinabalu iaitu seramai 13 orang, diikuti Semporna (dua) dan masing-masing seorang di Lahad Datu, Telupid dan Kudat, selain Labuan dan Filipina.


Sementara itu, ketiadaan kerjasama di kalangan masyarakat menyukarkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah mengesan kanak-kanak jalanan tempatan yang dijadikan buruh.

Pengarahnya, Siti Aishah Mohd Asri, berkata sikap negatif itu banyak mengekang usaha pihaknya menyelamatkan kanak-kanak terbabit dan seterusnya mengambil tindakan ke atas majikan mereka.

"Ada pihak menghubungi JTK dan memberi maklumat berhubung kanak-kanak jalanan dijadikan buruh dan bekerja di sektor pembinaan, tetapi mereka enggan memaklumkan lokasi khusus.

"Kami tidak boleh bertindak tanpa maklumat lengkap. Masyarakat sekarang lebih peka terhadap persekitaran mereka, maka kami harap keprihatinan itu akan dijadikan pendorong dalam membantu JTK menyelesaikan isu penggunaan buruh kanak-kanak, terutama dalam sektor pembinaan dan pembuatan.


"Segala biodata pemberi maklumat akan dirahsiakan kerana keutamaan kita ialah menyelamatkan anak-anak ini," katanya.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan keselamatan dalam usaha mengesan serta menahan kanak-kanak jalanan untuk dihantar ke pusat kebajikan. Ia merangkumi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), majlis perbandaran dan majlis daerah, selain polis dan Pasukan Petugas Khas Persekutuan.

Pengarah JPKAS, Datuk Mastor Samin, berkata operasi menahan kanak-kanak itu tertumpu di pusat bandar terutama kawasan pasar, pusat beli-belah dan taman permainan kanak-kanak.

"Selepas disiasat, mereka ditempatkan buat sementara di dewan masyarakat manakala keluarga atau penjaga yang dapat dikesan akan dimaklumkan mengenai penahanan kanak-kanak itu.

"Lazimnya, kanak-kanak tempatan akan dituntut ibu bapa mereka manakala anak pendatang tanpa izin dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Menggatal di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

"Operasi menahan kanak-kanak jalanan diadakan sepanjang masa untuk memastikan mereka tidak terabai dan menjadi bebanan Kerajaan Pusat dan negeri serta masyarakat," katanya. Mastor berkata, pusat tahanan sementara kanak-kanak jalanan warga tempatan di Inanam, Kota Kinabalu akan dibina tahun ini untuk memastikan nasib golongan itu terbela dan menerima pendidikan sempurna.

"Saya harap ibu bapa tidak membiarkan anak mereka berkeliaran kerana dikhuatiri mereka terjebak dengan kegiatan jenayah seperti mencuri dan menceroboh kawasan pembinaan," katanya.

Ibu bapa wajar pastikan kanak-kanak berusia 7 tahun dapat pendidikan formal

Setelah 50 tahun merdeka, masih ada kanak-kanak di Sabah yang tidak bersekolah dan sebahagiannya dihambat faktor kemiskinan, sekali gus menjadikan mereka sebagai 'anak jalanan' - senario sama seperti anak pendatang tanpa izin.

Masalah ini begitu ketara di Sabah terutama di sekitar bandar besar. Kemiskinan terutama kemiskinan tegar, seharusnya tidak menjadi masalah untuk ibu bapa gagal menghantar anak mereka ke sekolah setelah kerajaan memberikan pelbagai bantuan.

Misalnya, mulai tahun ini, Kerajaan Pusat memansuhkan yuran Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setarafnya dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Malah, golongan miskin sebelum ini turut diberi bantuan di sekolah. Persoalannya, di mana silapnya sehingga 'anak jalanan' itu dipaksa menjadi pekerja buruh pada usia kanak-kanak lagi. Apakah gejala itu berikutan sikap ibu bapa sendiri yang mengabaikan tanggungjawab mereka, membiarkan anak berpelesiran, tidak bersekolah?

Kerana masalah ini mula kelihatan berleluasa, Jabatan Pelajaran Sabah mahu bertindak terhadap ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan pendidikan anak berusia tujuh tahun, mulai tahun ini. Tindakan akan diambil sejajar dengan keperluan Dasar Pendidikan Wajib mengikut Seksyen 29A Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Pada masa sama, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi kepercayaan kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuat kajian mengenai kanak-kanak jalanan tempatan bagi mengenal pasti apa masalah sebenar.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata pihaknya berharap kajian yang dimulakan awal tahun ini akan merungkai permasalahan itu dan mencari kaedah terbaik penempatan kanak-kanak di rumah perlindungan di Rumah Perlindungan di kawasan Sekolah Tunas Bakti (STB) Lama, Inanam, dekat Kota Kinabalu.

"Kehidupan kanak-kanak mesti dikembalikan seperti sewajarnya. Pada usia tujuh atau lapan tahun, tempat mereka adalah di sekolah, menimba ilmu bersama rakan sebaya dan bukannya berkeliaran di jalanan atau melakukan kerja di tapak pembinaan," katanya.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Dr Muhiddin Yusin, pula berkata mulai sesi persekolahan tahun ini, Jabatan Pelajaran Sabah memberi penelitian lebih menyeluruh terhadap kes ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan pendidikan anak berusia tujuh tahun.

"Pada peringkat awal kita akan memanggil mereka ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau sekolah berhampiran dan memberi nasihat supaya menyekolahkan anak dan jika ingkar, kita ambil tindakan undang-undang, seiring keperluan Dasar Pendidikan Wajib mengikut Seksyen 29A Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

"Memang ada yang menganggap kemiskinan sebagai penghalang, tetapi kita akan jelaskan mengenai pelbagai kemudahan yang ada. Jika mereka enggan juga menghantar anak ke sekolah, tindakan undang-undang akan dikuatkuasakan," katanya.

Muhiddin berkata, kepincangan dari segi pendidikan akan menimbulkan pelbagai kesan sosial termasuk senario buruh kanak-kanak yang secara umumnya akan menjejaskan keseluruhan struktur pembangunan negara.

Selain itu, katanya, ia juga akan mengundang masalah buta huruf yang tidak sepatutnya berlaku di negara yang mempunyai sistem pendidikan komprehensif seperti Malaysia.

"Kita tidak boleh biarkan perkara itu berlaku, jadi kita mesti memastikan akar umbi masalah berkenaan ditangani sejak awal sebelum keadaan berlarutan," katanya.

[Berita Harian Online]

No comments:

Post a Comment