Wednesday, February 20, 2008

Program kesihatan masyarakat adalah kunci menurunkan kadar kematian kanak-kanak

Fatma, 2 tahun, merupakan salah seorang dari beribu-ribu orang kanak-kanak di Kenya yang berjaya diselamatkan dengan menggunakan langkah-langkah pencegahan yang mudah dan murah.

Pengedaran kelambu-kelambu yang telah dirawat dengan racun serangga di Kenya telah menurunkan kadar kematian yang disebabkan oleh malaria kepada separuh dalam masa lima tahun yang lepas. Kejayaan ini merupakan salah satu daripada pelbagai program-program kesihatan berdasarkan masyarakat, di mana UNICEF percaya, ianya merupakan kunci utama untuk mencapai Matlamat Pembangunan Millenium
(MDG) iaitu menurunkan kadar kematian kanak-kanak sebanyak dua pertiga – serta mencapai lain-lain MDG – menjelang tahun 2015.

Program ini diperluaskan ke seluruh dunia – daripada iodisasi garam di Turkmenistan, yang telah membantu menghapuskan kekurangan penyakit iodine, kepada pusat masyarakat di Argentina yang memberi sokongan kepada kanak-kanak kurang upaya yang mempunyai keperluan-keperluan khas. Inisiatif ini mempunyai pelbagai tujuan tetapi ianya adalah untuk mencapai tujuan yang sama iaitu menangani masalah-masalah kesihatan kanak-kanak dengan menggunakan kos yang rendah dan efektif.

Kesihatan ibu dan kanak-kanak

Laporan utama Keadaan Kanak-kanak Sedunia 2008 UNICEF, yang telah dilancarkan pada hari ini di Geneva, mengatakan bahawa keperluan kesihatan wanita, para ibu dan bayi-bayi yang baru dilahirkan mestilah diberi keutamaan sekiranya MDG ingin dicapai. Maklumat terbaru ini yang didapati di dalam laporan Keadaan Kanak-kanak Sedunia 2008 adalah hasil data kaji selidik rumah tangga berserta bahan-bahan dari rakan-rakan kerjasama yang utama termasuklah Badan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia.

Antara para pembentang dan para hadirin yang berada di upacara pelancaran pada hari ini adalah Pengarah Eksekutif UNICEF, Ann M. Veneman; Ketua Pengarah Badan Kesihatan Sedunia, Dr. Margaret Chan; Timbalan Presiden Jaringan Perkembangan Sumber Manusia Bank Dunia, Joy Phumaphi; dan Pesuruhjaya bagi Hubungan Sosial bagi Kesatuan Afrika, Bience P. Gawanas.

“Dunia telah menyaksikan pelbagai kemajuan telah dicapai di dalam kesihatan dan kesinambungan kehidupan kanak-kanak dan dengan perkongsian dan kerjasama yang bersesuaian, dasar-dasar dan program-program, lebih banyak lagi yang boleh dicapai,” kata Cik. Veneman ketika berlangsungnya siding akhbar di Geneva.

“Cabaran kita adalah bagaimana untuk mencapai berjuta-juta orang kanak-kanak dan keluarga yang masih terus hidup tanpa penjagaan rawatan dan pencegahan yang mencukupi.”


Keutamaan di dalam perkembangan

UNICEF percaya bahawa para pemimpin politik dari negara-negara berindustri G8 harus mengetengahkan isu tentang kesihatan kanak-kanak sebagai lebih daripada kepentingan moral malahan juga sebagai satu keutamaan di dalam perkembangan. Pengalaman lepas menunjukkan bahawa manfaat yang didapati daripada kesihatan masyarakat tersebar luas menjangkaui lebih dari kanak-kanak.

Sebagai contohnya, kempen kelambu yang dilaksanakan di Kenya, telah membawa kesan yang mendadak di dalam memperbaiki produktiviti negara tersebut, ini kerana malaria adalah merupakan punca utama pekerja tidak hadir untuk bekerja. Di Turkmenistan, kanak-kanak seperti Atabay Uzbayev, 13 tahun, tidak perlu bimbang tentang kesan-kesan yang disebabkan oleh kekurangan iodin, dan kini mereka bebas untuk merancang masa hadapan mereka.

“Saya ingin mencapai pengajian di tahap yang tertinggi apabila saya besar kelak. Saya ingin memasuki universiti dan belajar matematik,” kata Atabay.

‘Manfaat segera’

“Pelaburan di dalam kesihatan kanak-kanak dan ibu mereka merupakan satu keputusan ekonomi yang munasabah dan merupakan salah satu cara bagi sesebuah negara itu untuk menuju ke arah masa hadapan yang lebih baik,” kata Timbalan Presiden Jaringan Perkembangan Sumber Manusia Bank Dunia, Joy Phumaphi.

Ketua Pengarah Badan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Margaret Chan pula menambah: “Program inovatif di dalam kebanyakan negara telah menunjukkan bahawa pendekatan yang berdasarkan integrasi, di mana setiap kanak-kanak dapat dicapai dengan satu pakej intervensi pada sesuatu masa, boleh memberi manfaat segera."

Oleh Chris Niles, NEW YORK, 22 Januari 2008
Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.
(http://www.unicef.org/malaysia/msl/media_7820.html)

No comments:

Post a Comment