Sunday, February 17, 2008

Perayu undi mesti mahir berkomunikasi

Satu taktik meraih undi yang diiktiraf banyak pihak sebagai sangat berkesan ialah kempen dari rumah ke rumah. Kesannya dikatakan berlipat ganda berbanding mengadakan ceramah atau majlis kenduri.

Namun keberkesanan taktik berkempen dari rumah ke rumah juga bergantung kepada sejauh mana pembawaan diri perayu undi berkenaan sama ada mampu mempengaruhi atau sebaliknya.

Perunding komunikasi, Ishak Abdul Hamid berkata, seorang petugas parti yang menjadi perayu undi harus memiliki kemahiran berkomunikasi yang tinggi. Kemahiran itu meliputi cara bertutur, bahasa badan, bersalam dan berjalan di hadapan tuan rumah.

‘‘Jika berjaya memenangi hati tuan rumah, ganjaran besarnya ialah seluruh isi rumah akan turut sama memberi sokongan,” kata beliau yang juga pensyarah komunikasi di Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia.

Perkara pertama yang harus diingat oleh petugas apabila pergi dari rumah ke rumah ialah mereka akan ‘bekerja’ di rumah orang, bermakna kena jaga adat dan tertib kesopanan.

Adat orang Melayu bila berkunjung ke rumah orang, lazimnya membawa buah tangan terutamanya bahan makanan seperti buah-buahan atau kuih-muih ala kadar. Perkara ini turut ditegaskan dalam sebuah hadis yang menegaskan, ‘‘berilah salam dan makan kepada orang yang tidak dikenali’.

‘‘Masalahnya, ada yang berkempen dari rumah ke rumah membawa lebih daripada sekadar makanan. Ada yang membawa hamper, basikal, beras dan duit. Ini sudah termasuk dalam kategori memberi rasuah,” kata Ishak.

Dalam proses berkempen dari rumah ke rumah – tidak mengira di bandar atau kampung, hendaklah memberi salam kepada tuan rumah dan nyatakan tujuan sebenar datang ke rumah itu. Jika tuan rumah sudi, maka masuklah. Jika tidak, jangan sesekali memaksa atau mengugut dibuka pintu atau pagar rumah.

Bila memasuki rumah, hendaklah beradab. Kasut dibuka dan bila sampai ke sofa, jangan terus duduk sebelum tuan rumah duduk. Minta kebenaran hendak duduk di atas kerusi.

‘‘Kita mungkin tidak tahu sesuatu kerusi itu adalah kerusi kegemaran tuan rumah. Jika terus duduk di atas kerusi tersebut, markah berkempen akan mula merudum dari saat itu di mata tuan rumah,” kata Ishak lagi.

Aspek-aspek membuka kasut bila memasuki rumah dan meminta kebenaran untuk duduk mungkin dianggap perkara kecil dan remeh tetapi sebagai orang asing (yang tidak dijemput pula!), ia adalah detik-detik awal mendatangkan perasaan suka atau menyampah pada tuan rumah.

Bila sudah duduk, perkenalkan diri dan nyatakan tujuan serta inti pati kempen. Luangkan masa yang seringkas mungkin, jangan minta tuan rumah menyediakan minuman teh atau kopi pula. Melainkan jika tuan rumah menunjukkan minat dan bertanya lanjut mengenai sesuatu isu serta menawarkan air.

Ishak berkata, seeloknya semasa memulakan perbualan, tuan rumah hendaklah sama-sama duduk iaitu paras pandangan mata adalah sama. Gunakan perkataan yang mudah difahami dan tidak berbunga-bunga seperti orang hendak merisik tunang pula.

‘‘Semasa bercakap, hindarkan daripada menyentuh hal-hal keburukan orang lain. Tuan rumah itu sendiri tidak mengumpat orang, mengapa pula orang luar ada lesen berbuat demikian di rumahnya.

‘‘Seeloknya, nyatakan matlamat calon atau parti bila terpilih nanti akan boleh bawa apa manfaat kepada pengundi. Terus ke isu sebenar. Usah meleret-leret dengan menceritakan keburukan pihak lain,” kata beliau.

Jika semasa berkempen telefon bimbit berdering, minta kebenaran daripada tuan rumah untuk menjawabnya. Jawab sekadar untuk meminta dipanggil semula kemudian. Seboleh-bolehnya usah dijawab telefon kerana ia mengganggu momentum antara perayu undi dengan tuan rumah.


Mesej kempen

Ishak berkata, perayu undi hendaklah menetapkan masa maksimum untuk menyampaikan mesej kempen, misalnya 10 minit. Ia mungkin lebih lama jika tuan rumah bertanya soalan. Tapi jika asyik perayu bermonolog, akan berlaku situasi sama ada tuan rumah khusyuk mendengar atau sudah memekakkan telinga. Jadi hadkan masa bercakap.

‘‘Apabila selesai, jika hendak membaca doa pun boleh. Tengok keadaan. Bacakan doa yang standard, termasuk kesejahteraan tuan rumah. Jangan mencipta bait-bait doa yang menjurus kepada calon atau parti semata-mata,” katanya.

Ishak berkata, terdapat tiga kelompok audiens dalam kempen pilihan raya iaitu mereka yang menyokong parti, yang melawan parti dan di atas pagar.

‘‘Bagi mendapatkan hasil yang terbaik, tumpukan kempen rumah ke rumah kepada kelompok penyokong parti dan di atas pagar. Tiada erti pergi ke rumah mereka yang diketahui penyokong parti lawan. Khuatir ia akan berkesudahan dengan pergaduhan pula.

‘‘Tetapi tumpukan kepada mereka yang di atas pagar. Di sini skil berkomunikasi akan benar-benar teruji kerana mereka yang di atas pagar tidak mudah termakan dengan kempen puji-pujian, apalagi keji-kejian.

‘‘Mereka yang di atas pagar akan bertanya soalan sahih mengenai isu-isu semasa. Mereka tidak berminat untuk mendalami isu skandal atau tuduhan tertentu calon tertentu. Mereka mungkin mahu mengetahui apa rancangan membanteras kes jenayah yang semakin tinggi, harga barangan melonjak dan isu-isu semasa,” kata Ishak.

Dalam konteks ini, perayu undi juga perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan am tetapi jawapan yang diberi hendaklah selari dengan pendirian parti. Kalau jawab ikut sedap mulut dan didapati temberang, kesannya akan dirasai semasa pengiraan undi.

‘‘Sebenarnya, perayu-perayu undi ini adalah cermin kepada calon dan parti. Jika mereka bersopan dan berhemah semasa berkempen, maka itulah cermin kewibawaan calon dan parti yang didukung. Ini satu unsur yang boleh membawa banyak markah daripada tuan rumah,” kata Ishak.

[Utusan Online, 17/2/2008]

No comments:

Post a Comment