Seperti yang dinyatakan secara terus-terang di dalam buku Dilema Melayu, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih meneruskan pemikiran gaya militan apabila menyatakan masyarakat Islam sepatutnya menyalahkan diri sendiri terhadap apa yang berlaku ke atas mereka ketika ini.
Beliau berpandangan demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk "Keamanan Global: Krisis di Dunia Islam" yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa. Baginya, masalah dan krisis yang dialami oleh masyarakat Islam berpunca daripada dua sebab iaitu: tafsiran al-quran yang berbeza-beza dan tumpuan kepada pengajian Islam (mengabaikan sains dan teknologi).
Pendirian Tun Dr. Mahathir Mohamad sentiasa seiring dengan kenyataannya sebelum ini yang menggunakan pendekatan "mencabar" untuk membuat perubahan. Berpuluh-puluh ucapan dan buku yang dihasilkan semasa 22 tahun sebagai perdana menteri adalah konsisten dengan usaha beliau untuk mengajak masyarakat Islam keluar daripada kepompong sikap yang melemahkan diri sendiri.
Salah satu keputusan paling tidak tidak popular dan telah menjadi dasar kerajaan ialah pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Bagi beliau, kelemahan masyarakat Islam menguasai bahasa Inggeris tidak boleh diatasi dengan galakan, sebaliknya paksaan. Ini kerana mereka lebih mudah belajar dalam keadaan terpaksa berbanding galakan.
Beliau juga yakin, kejayaan orang-orang Eropah keluar dari era kegelapan dan mencipta "Renaissance" adalah kerana keupayaan mereka mempelajari bahasa Arab untuk meneroka semua bidang yang mana ketika itu masyarakat Islam menguasai sains, matematik, kaji bintang, seni bina, kejuteraan dan perubatan.
Setelah dilaksanakan beberapa tahun, idea ini terumbang-ambing di antara patut diteruskan atau kembali kepada Bahasa Malaysia. Hari ini media melaporkan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris akan ditimbang semula di peringkat sekolah rendah.
Sampai bila Tun Dr. Mahathir Mohamad akan bersuara untuk menarik simpati masyarakat Islam bagi mengubah sikap mereka? Semakin lantang beliau membawa isu ini, penyelidik merasakan ia tidak menjadi isu yang relevan kerana pendekatan yang diguna pakai sangat tidak berkesan untuk melonjakkan semangat "Malaysia Boleh" sebagai gerakan mengubah masyarakat. Beliau tidak gagal untuk membina infrastruktur yang teguh berdiri di Kuala Lumpur, jambatan yang kukuh merentangi Pulau Pinang, menghubungkan utara dan selatan Semenanjung Malaysia atau menyiapkan litar Sepang bagi tontonan berjuta-juta manusia setiap tahun.
Pendek kata, Dr. Mahathir sangat berjaya mengubah lanskap bumi Malaysia daripada menghasilkan getah dan padi kepada mengeksport tayar dan cip komputer. Semua orang berbangga dengan usaha cemerlang ini. Tetapi beliau gagal untuk mengubah sikap masyarakat Islam kerana pendekatannya salah.
Memberi galakan dan semangat untuk rakyat Malaysia mendaki gunung tertinggi di dunia, merentasi laut mengelilingi dunia dan membina bangunan tertinggi bagi merealisasikan kebolehan diri tidak selamanya bertahan lama. Justeru, menyatakan masyarakat Islam patut menyalahkan diri sendiri adalah sangat tidak tepat kerana ada faktor lain yang lebih dominan. Faktor paling penting ialah pemimpin.
Siapa yang memimpin umat Islam untuk maju dalam pelbagai bidang dan menguasai sebahagian besar dunia selama 700 tahun? Beliau adalah Muhammad bin Abdullah saw. Dalam tepoh 23 tahun sahaja, masyarakat Arab yang hidup dengan pergaduhan, gejala sosial dan menyembah berhala, pendekatan yang diguna pakai adalah sangat praktikal sebagai pemimpin yang dapat mengubah masyarakat.
Baginda saw tidak menggunakan wang yang banyak untuk memancing hati masyarakat walaupun isterinya seorang hartawan. Baginda saw juga tidak menggunakan pengaruh kaumnya walaupun Bani Quraisy dipandang mulia. Malah baginda saw juga tidak mengumpan masyarakat Arab dengan pangkat dan gelaran untuk menarik simpati golongan atasan.
Sebaliknya menggunakan pendekatan yang sangat mudah. Tidak ada cara berfikir militan atau mencetuskan provokasi. Istilah yang lebih tepat ialah pendidikan hati, sesuai dengan hadis, "Ketahuilah bahwasanya di dalam jasad itu ada segumpal daging, apabila ia baik maka baik pulalah seluruh tubuh. Dan apabila ia rusak maka rusak pulalah seluruh tubuh. Ketahuilah (segumpal daging) itu adalah al-qolbu (hati)." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Inilah rahsia paling besar untuk mengubah masyarakat. Perubahan yang diiringi dengan semangat kental dan berterusan selama 700 tahun. Tidak ada alat bantu perubahan yang canggih, tidak ada dasar yang hebat, tidak ada polis dan tentera yang memantau perubahan. Sebaliknya hanya senaskah al-quran sebagai pembimbing.
Contoh paling nyata ialah perubahan yang berlaku ke atas khalifah Umar Al-Khattab. Beliau seorang yang ada kesedaran kepada agama. Suatu hari ketika dalam perjalanan ke suatu tempat, hatinya resah kerana belum menyembah Tuhannya. Biasanya ada patung yang dibawa sekali, tetapi hari tersebut beliau tertinggal. Lalu difikirkan apa yang patut dia lakukan untuk menyembah Tuhan.
Diambilnya biji kurma dan dibentukkan menjadi patung dan disembah. Kemudian beliau menyambung perjalanan.
Sepanjang perjalanan tersebut, perutnya terasa lapar tetapi tidak ada makanan. Yang ada hanyalah kurma yang telah dijadikan Tuhan. Oleh kerana lapar, difikirkan lebih baik baginya untuk makan Tuhan tersebut. Tapi bahagian mana yang hendak diambil dulu? Setelah berfikir panjang, dia mengambil bahagian tangan. Tapi tidak dapat menghilangkan laparnya sehinggalah semua buah kurma berkenaan habis.
Apabila menjadi khalifah, Umar ada ketikanya ketawa dan menangis mengenangkan kejahilannya sebelum menjadi umat Islam. Dia berubah kerana hidayah dan bimbingan Muhamad saw.
Dr. Mahathir sudah tidak ada kuasa politik untuk membuat perubahan kerana kuasa berkenaan telah diserahkan kepada orang lain. Beliau boleh terus bercakap selama mana dia mahu dan masyarakat juga mempunyai pilihan untuk tidak mendengar.
Jadi, apabila beliau menyalahkan masyarakat Islam di atas apa yang berlaku, ia hanyalah pandangan peribadi yang cuba lari daripada tanggungjawab sebagai pemimpin. Kegagalan beliau mengubah masyarakat Islam adalah kerana kepimpinan yang kurang berkesan disebabkan salah memilih pendekatan bagi membuat perubahan ke atas masyarakat yang dipimpinnya sebelum ini.
No comments:
Post a Comment