Selepas rampasan kuasa tentera pada 19 September 2006, banyak pihak membayangkan landskap politik Thailand akan berubah. Ia berubah daripada politik rasuah dan kroni kepada yang lebih demokratik. Ini lanjutan daripada kejatuhan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dalam rampasan kuasa. Bagi yang mengikuti turun naik politik Thailand, Thaksin bukan saja membunuh demokrasi malah membunuh orang Islam di selatan Thailand.
Serangan tentera pada suatu subuh di Tak Bai cukup melukakan hati rakyatnya yang beragama Islam. Ketika itu tahanan yang masih hidup disusun bertindih antara satu dengan lain tanpa berbaju seperti haiwan di atas lori. Pemandangan begini sama seperti lori-lori yang membawa babi dan persepsi masyarakat Islam, Thaksin menghina rakyatnya sendiri.
Serangan itu dipercayai mendapat restu, malah barangkali arahan daripada Thaksin sendiri. Tragedi pembunuhan beramai-ramai penunjuk perasaan Islam di selatan Thailand adalah kemuncak kebencian rakyat selatan Thailand kepada Thaksin. Ini ditambah pula dengan tuduhan rasuah, kroni dan campur tangan dalam angkatan tentera.
Maka kejatuhan bekas perdana menteri itu dilihat satu titik perubahan di selatan Thailand yang terpinggir daripada arus pembangunan. Ketiadaan Thaksin menjanjikan cahaya keamanan di beberapa wilayah yang didiami oleh masyarakat Islam. Walaupun tragedi pembunuhan terus berlaku tetapi kalangan masyarakat Islam menaruh harapan pemimpin baru Thailand yang melepasi proses demokrasi akan lebih berperikemanusiaan.
Tentu tidak ada yang percaya bahawa suatu hari Thaksin akan berpatah balik, terus berkuasa dengan pengaruhnya cukup besar daripada yang sedia ada. Tetapi akhirnya kita terpaksa akur bahawa tidak semua demokrasi itu adil, dan memberikan hasil yang menepati kehendak semua orang. Inilah yang berlaku dalam pilihan raya akhir tahun lepas iaitu setahun selepas rampasan kuasa. Pilihan raya yang diharap menjadi satu anjakan ke arah kerajaan yang berintegriti telah berlaku sebaliknya. Semua ini mengembalikan Thailand dalam landskap politik yang asal; kotor, penuh muslihat dan lebih kepada kepentingan peribadi. Kalau sebelum ini rakyat menolak Thaksin, tetapi kini Thaksin wujud dalam politik Thailand.
Lalu, apa lagi yang boleh dilakukan untuk membersihkan saki-baki pengaruh Thaksin selepas pilihanraya membuktikan kemenangan kepada sekutunya? Pilihan raya pada 23 Disember lalu dimenangi oleh Parti Kuasa Rakyat (PPP). Parti ini ditubuhkan oleh penyokong-penyokong Thaksin dalam parti Thai Rak Thai (TRT) yang diharamkan oleh kerajaan tentera.
Saki-baki penyokong Thaksin menubuhkan PPP pimpinan Samak Sundaravej, kini pemimpin yang berusia 72 tahun itu dengan rasminya telah menjadi Perdana Menteri. Kemenangan PPP dan Samak membuktikan Thaksin masih "hidup" dan terus berpengaruh memberi warna dalam politik Thailand.
Ternyata usaha menyingkir Thaksin gagal sama sekali dan bekas perdana menteri itu pasti akan kembali dengan kuasa yang lebih besar daripada sebelumnya. Dengan aset peribadi yang bernilai berbilion ringgit, sudah pasti kerajaan pimpinan Samak akan dibayangi bekas perdana menteri itu. Thaksin semasa dalam buangan, secara bergurau pernah berkata, "Kalau saya masuk politik sekali lagi, isteri akan meninggalkan saya." Mungkin benar dia tidak menyertai politik tetapi menjadi pemain di belakang tabir politik Thailand.
DakwaanBayangan landskap politik yang penuh rasuah dan kroni akan kembali seperti asal. Salah satu sebabnya Samak yang masih berdepan dakwaan rasuah di mahkamah tetapi kini menjadi Perdana Menteri. Takhsin pula tentu tidak membiarkan Samak mencorakkan Thailand sesuka hatinya kerana dalam PPP dan kabinet adalah mata dan kepala Thaksin.
Salah satu tujuan rampasan kuasa oleh tentera ke atas kerajaan Thaksin adalah untuk menyelamatkan negara itu daripada terus dibayangi gejala rasuah. Thaksin terbukti mempunyai pengaruh yang sangat kuat kalangan rakyat dan sekiranya pilihan raya diadakan tanpa menyingkirkan Thaksin, proses itu dengan sendirinya akan hilang demokrasi. Maka satu-satunya cara untuk menyingkirkan Thaksin adalah rampasan kuasa yang diadakan secara aman semasa Thaksin berada di New York kerana menghadiri mesyuarat agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Thaksin, perdana menteri bilionair tidak akan kalah dalam pilihan raya. Dengan kekayaan yang luar biasa itu, dia pasti akan menggunakan untuk tujuan politik dan terus memimpin Thailand. Lalu rampasan kuasa yang ketuai oleh Jeneral Sonthi Boonyaratglin adalah cara terakhir mengembalikan kesucian demokrasi kepada rakyat.
Tetapi rampasan kuasa ini kurang disenangi oleh Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) yang menjadi sekutu Thailand. Banyak media Barat menganggap tindakan Sonthi membelakangi demokrasi. Bagaimanapun rampasan kuasa ini mendapat sokongan rakyat dan mereka yang dahagakan demokrasi mengalu-alukan tindakan tentera itu.
Saat-saat akhir sebelum berlepas ke New York, Thaksin berdepan dengan tekanan pihak pembangkang. Mereka mendesak Thaksin berundur untuk membolehkan pilihan raya yang bersih dan adil. Pembangkang juga mendesak Thaksin membatalkan urus niaga penjualan Shin Corp kepada Temasek milik Singapura yang didakwa untuk kepentingan peribadinya. Desakan ini membuatkan hubungan dua hala antara Thailand dan Singapura terjejas.
Demikiahlah buruknya apabila pemimpin negara terlibat dalam perniagaan dan keuntungan bukan mengalir kepada rakyat tetapi kepada ahli keluarga untuk hidup mewah. Bagaimanapun apabila sekutu Thaksin dipilih menjadi perdana menteri, semua ini membayangkan politik Thailand akan lebih teruk lagi selepas ini. Bayangkan apabila peguam Thaksin, Noppadon dilantik menjadi Menteri luar dan beberapa menteri kabinet Thaksin turut dilantik menerajui beberapa kementerian.
Ternyata impian rakyat untuk melihat perubahan dalam sosiopolitik dan ekonomi tidak akan terlaksana. Pilihan raya yang diimpikan mengubah suasana politik telah menjadi laluan Thaksin kembali dan terus berkuasa. Malah Jeneral Sonthi mengakui rampasan kuasanya gagal untuk menukar corak politik Thailand. Kejayaan PPP yang secara terang-terang memberikan tamparan kepada pemimpin tentera yang sangat dihormati ini.
Mungkin ada tertanya-tanya kenapa nyawa politik Thaksin begitu liat di negara gajah putih itu? Hampir tidak ada pemimpin yang dirampas kuasa masih boleh kembali dengan pengaruh yang seperti dulu. Shah Iran hingga ke akhir hayat berada dalam buangan, sementara Zulfikar Ali Bhutto pula rampasan kuasa membawa hukuman gantung sampai mati. Sukarno terus hilang selepas jeneral kepercayaannya Suharto menduduki takhta presiden Indonesia. Tetapi Thaksin tidak malang seperti mereka.
Politik kroni akan mengisi segenap laluan dalam kerajaan Samak. Tambahan pula dia sendiri mempunyai rekod rasuah yang belum selesai. Sementara itu suasana politik di selatan Thailand akan terus bergolak apabila kerajaan yang ada sekarang melangsungkan kerangka yang diguna pakai semasa era Thaksin. Bila- bila masa saja Thaksin yang disangka akan mati dalam buangan akan kembali dan Jeneral Sonthi tentu akan berdepan dengan kesukaran walaupun Samak diberi amaran supaya tidak campur tangan dalam ketenteraan.
[Utusan Online]
Ulasan Penyelidik:
Jika anda menggunakan pas sempadan untuk memasuki Thailand, sediakan satu ringgit kerana pengawal imigresen di kaunter masuk akan meminta wang. Inilah nilai yang ada pada pegawai kerajaan Thailand yang tidak segan silu meminta wang. Rasuah yang berleluasa di negara penjajah wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat hanya menunggu masa untuk ditentang oleh umat Islam di tiga wilayah itu.
Kekejaman Thaksin akan dibalas dengan kejayaan yan berpihak kepada umat Islam yang ditindas. Politik Thailand adalah politik bangsa yang memaksa bukan Thai untuk mengikut bahasa dan budaya Thai.
No comments:
Post a Comment