Thursday, February 07, 2008

Remaja dan tabiat berbincang

Berbincang adalah interaksi dua hala atau lebih dalam memperkatakan sesuatu hal secara mendalam. Amalan ini sangat aktif di dalam kelompok remaja kerana kebanjiran maklumat daripada media elektronik atau cetak serta remaja seringkali menghabiskan masa dengan rakan-rakan sebaya.

Berbincang adalah berbeza dengan berbual kosong dengan tiada arah tujuan. Melalui perbincangan, sesuatu isu dapat diterangkan, dikupas kebaikan dan keburukannya serta suatu rumusan dapat dibuat sama ada untuk tindakan diri sendiri atau orang lain.

Berbincang Dapat Mengembangkan Fikiran

Islam amat menggalakkan umatnya berbincang kerana ia mengembangkan buah fikiran dan idea serta mendapat rumusan tentang hal yang dibincangkan. Akal yang Allah s.w.t kurniakan kepada manusia tidak mengetahui segala-galanya dan ada kepakaran yang dimiliki oleh orang lain perlu dipelajari.

Justeru melalui perbincangan idea dapat dikembangkan, pertukaran ilmu dapat berlaku serta rumusan yang dicapai barangkali dapat membawa kepada penyelesaian sesuatu masalah.

Jalan berfikir yang berkesan selalunya adalah bersifat dua hala; tidak sehala. Oleh itu berfikir seorang diri kadang-kadang tidak menjadikan minda remaja tangkas dan perkasa. Tetapi bila berlaku perbincangan dua hala minda remaja akan dilatih dengan amalan berfikir, memberi buah fikiran yang bernas dan akhirnya bersedia untuk memberi dan menerima kritik dan pandangan yang membina terhadap sesuatu perkara.

Tradisi Islam terdahulu yang menyukai umatnya berbincang telah menghasilkan umat yang kreatif, inovatif serta mempunyai daya penaakulan yang tinggi. Dalam Islam, tradisi berfikir bukan sahaja dari sudut luaran, tetapi juga dikaitkan dengan kerohanian serta pembangunan akhlak di dalam diri setiap manusia.

Hasilnya, lahirlah tamadun yang mewarnai dunia Islam dengan pelbagai penemuan, formula, kajian-kajian yang berguna kepada manusia sejagat.

Perbincangan Sihat, Pandangan Bermanfaat

Untuk membentuk tabiat berbincang yang sihat dan berkesan, antara langkah-langkah yang boleh diikuti oleh remaja adalah:

1) Mempunyai minat membaca dan mendengar, Dengan potensi akal yang tinggi dan segar, otak memerlukan latihan. Apa yang remaja baca, bincang, renung dan fikir memberi sumbangan yang amat berguna untuk mempertajam dan memperkasa minda.

Orang yang tajam mindanya adalah hasil latihan otak yang berterusan. Mindanya menjadi kreatif, pandangannya menjadi kritis dan analisisnya menjadi sistematik. Ia mampu menilai sesuatu data, fakta dan menyebabkan maklumat berkembang.

Selain itu remaja perlu bersikap kritis dan tidak menerima bulat-bulat apa sahaja yang didengarnya, sebaliknya bersikap teliti akan maklumat yang disampaikan.

2) Mempunyai teman yang baik untuk berbincang. Teman yang mempunyai latar belakang yang baik untuk berbincang boleh membawa kepada perbincangan yang lebih terarah dan tersusun. Teman berbincang yang baik juga boleh membawa kepada asas hujah yang lebih baik, bernas dan berwibawa.

3) Mempunyai etika yang tinggi dalam berbincang. Remaja harus ada sikap bersedia mendengar serta menghormati pandangan orang lain. Perbincangan bukanlah medan untuk bertelagah dan untuk menegakkan ego masing-masing. Penggunaan bahasa dan gerak badan yang sesuai amatlah penting bagi mengelakkan salah faham timbul.

Selain itu, pendapat yang dikemukakan haruslah berpegang kepada kebenaran dan tidak berat sebelah kepada satu pihak, sebaliknya sentiasa berfikiran terbuka dan bersedia menerima kritikan. Amat menyedihkan sekiranya perbincangan dicalari dengan idea tidak baik dan lari daripada kebenaran.

Kadangkala ia membawa kepada pertengkaran serta penggunaan kata-kata yang kesat dan tidak sopan.


Terdapat juga forum-forum di Internet kini yang bukan sahaja tidak menggunakan bahasa yang baik, malah menyentuh sensitiviti seseorang atau kaum secara melampau. Oleh itu, remaja harus mempunyai pertimbangan yang tinggi dalam mengimbangkan maklumat yang diperolehi dan tidak mengeluarkan pendapat mengikut perasaan sahaja.

4) Mengetahui tajuk, isi dan masalah perbincangan. Menyertai kumpulan perbincangan haruslah dimulakan dengan mengetahui tajuk, idea-idea dan masalah yang menjadi asas kepada perbincangan tersebut. Idea-idea dan masalah haruslah dikemukakan supaya terarah dan tidak ‘hentam kromo’ sahaja tanpa hala tuju yang betul.

Rumusan hendaklah dicapai supaya sesuatu perbincangan berakhir dengan suatu hasil atau buah fikiran yang menjurus kepada penyelesaian kepada sesuatu perkara. Maklumat yang benar dan sahih juga sangat penting dalam mengeluarkan pendapat dan isu supaya tidak wujud persepsi yang salah dan kekeliruan.

Kesimpulan

Tabiat berbincang yang baik membawa kepada suatu pengembangan idea dan buah buah fikiran secara sihat dan terarah. Kumpulan perbincangan, sama ada besar atau kecil haruslah berasakan kepada prinsip yang benar dan tidak lari daripada batas-batas yang dibenarkan.

Dalam aspek pendidikan remaja, perbincangan adalah wadah yang tidak harus diabaikan oleh golongan ibu bapa serta pendidik. Desakan remaja agar suara mereka didengari boleh disalurkan melalui kumpulan perbincangan.

Perbincangan yang baik antara ibu bapa dan remaja dapat menyampaikan hasrat remaja dengan lebih berkesan dan pada masa yang sama ibu bapa dapat menyampaikan pesanan dan harapan mereka secara jelas dan berhemah.

Justeru, tabiat berbincang yang sihat melalui apa-apa medium sekalipun, dapat dijadikan asas kepada pembentukan masyarakat yang lebih berilmu, berfikiran kreatif dan bersedia menerima pandangan orang lain.

Sikap ini adalah penting untuk mempersiapkan diri remaja menempuh cabaran globalisasi kini yang diasak dengan pelbagai maklumat, berita serta informasi yang tidak tentu akan kebenaran dan kesahihannya.

[Utusan Online]

No comments:

Post a Comment