Bunga api menghiasi ruang udara Pristina, ibu negara Kosovo, selepas parlimen negara itu mengesahkan pengisytiharan kemerdekaan dari Serbia dan menjadi sebuah negara berdaulat dengan gelaran Republik Kosovo.
Merdeka pada 18 Februari 2008 adalah rentetan perjalanan yang sangat panjang bagi sebuah negara bangsa yang dijajah. Negara pertama yang mengiktiraf Kosovo sebagai merdeka ialah Afghanistan dengan harapan kemerdekaan itu akan membawa kemakmuran. Kebanyakan negara Kesatuan Eropah mengiktiraf Kosovo yang merdeka dan sehingga kini lebih 100 buah negara telah mengesahkan kemerdekaan tersebut termasuk Malaysia.
Amerika Syarikat, Britain, Jerman dan Perancis telah mengiktiraf Kosovo sebaik sahaja perdana menteri, Hashim Thaci mengisytiharkan kemerdekaan berkenaan.
Setelah 100 tahun berada di bawah Serbia, Kosovo telah menjadi sebuah negara berdaulat apabila berkerajaan sendiri, ada tanah air dan rakyat.
Semasa mengusulkan pengisytiharan kemerdekaan, Hashim Tachi berkata negara itu akan menjadi sebuah negara "untuk semua rakyat" iaitu merujuk kepada 2 juta etnik Albania dan 120,000 etnik Serbs. Beliau juga menegaskan Kosovo adalah tempat selamat untuk semua warganegara. Kerajaannya beriltizam untuk menghadapi masa depan dan meninggalkan kisah sedih masa silam.
Kegembiraan yang sama tidak kelihatan di Belgrade, Serbia. Menteri yang bertanggungjawab ke atas Kosovo, Slobodan Samardzic menyifatkan tindakan Kesatuan Eropah menghantar pesuruhjaya ke Kosovo adalah memalukan dan hanya menurut kehendak dasar luar Amerika Syarikat. Dengan alasan ini, Serbia perlu mengkaji semula hubungannya dengan Kesatuan Eropah dan mana-mana negara yang mengiktiraf kemerdekaan Kosovo.
Pertubuhan Negara-Negara Islam turut berminat dan menimbang untuk mengiktiraf Kosovo bagi menguatkan perjuangan masyarakat Islam yang masih tertindas, miskin dan hidup dhaif di seluruh dunia.
Perjalanan kemerdekaan
Kosovo yang merdeka bermula dengan kisah Balkan yang berakar umbi apabila Yugoslavia mula berpecah 19 tahun lalu. Pemimpin Serbia, Slobodan Milosevic menggerakkan perhimpunan rakyat untuk berhadapan dengan musuh dari segenap penjuru. Beliau memimpin peperangan ke atas Slovenia, Crotia, Bosnia dan Kosovo.
Dengan berpakaian seragam tentera, Milosevic membangkitkan semangat nasionalisme dan menggerakkan beratus-ratus ribu rakyat Serbia untuk berperang.
Tetapi dalam semua peperangan yang dilalui, Serbia telah tewas. Wilayah Serbia yang luas sebelum berperang, kini mengecil. Dan minggu ini Serbia terus mengecil.
Kosovo sangat bermakna kepada Serbia kerana menjadi sebahagian daripada identiti budaya, agama dan negara Serbs.
Pada 1974, perlembagaan Yugoslavia menarik balik keistimewaan Kosovo sebagai kawasan autonomi Serbia. Bagaimanapun kecenderungan untuk merdeka mula digerakkan selepas kematian presiden Josip Broz Tito.
Pada 1987, Milosevic dihantar ke Kosovo dan merebut peluang ini. Dalam masa singkat, reputasi beliau sebagai penyelamat Serbia di Kosovo melonjak naik. Ucapan bersemangat "tidak ada siapa lagi yang berani memukul anda lagi" disiarkan ke seluruh negara sebagai permulaan untuk berperang dengan Kosovo.
Perang dengan Kosovo tercetus pada 1989 apabila Milosevic menarik balik hak kuasa autonomi ke atas Kosovo. Seterusnya Julai 1990, pemimpin-pemimpin Albania mengisytiharkan kemerdekaan Kosovo dan keluar dari Serbia. Tindakan ini disokong oleh Albania yang mengiktiraf Kosovo.
Dekad seterusnya, ketika Milosevic menjadi orang nombor dua dalam Parti Komunis Serbia, beliau mula mencongak peluang untuk menjadi popular dengan menggunakan kuasa dan pengaruhnya. Pada masa yang sama etnik Serbs merungut tentang ancaman etnik Albania di Kosovo. Milosevic, dipacu oleh agenda politik peribadi, tiba-tiba menjadi terkenal sekelip mata dan dilihat sebagai nasionalis Serbia.
Milosevic yang marah dengan pengisytiharan itu bertindak menyerang Kosovo. Beribu-ribu orang awam mati dan hampir sejuta lari meninggalkan negara itu. Seorang etnik Albania, Fikter Ibrahimi berkata, ketika peperangan tersebut rakyat berketurunan Albania melalui detik yang sukar di mana askar-askar Serbia dan polis yang berdiri di luar pintu sekolah sentiasa mengintai pelajar kerana tidak membenarkan etnik Albania mempelajari bahasa mereka sendiri.
Pada 24 September 1998, ketika peperangan berada di kemuncak mala petaka, Nato memberi amaran kepada Milosevic untuk berhenti daripada menyerang Kosovo atau menghadapi serangan udara.
Bagi menghalang gerakan tentera Serbia, kumpulan pemisah etnik Albania menubuhkan Kosovo Liberation Army (KLA) untuk menyerang sasaran Serbia.
Sebaik sahaja kegagalan rundingan di antara Serbia dan Kosovo pada Mac 1999 diumumkan, Nato menyerang sasaran tentera Serbia. Pada masa yang sama juga gerakan pembersihan etnik digerakkan oleh askar-askar Serbia menyebabkan ratusan ribu pelarian lari ke Albania, Macedonia dan Montenegro. Tribunal antarabangsa di The Hague menganggarkan sekurang-kurangnya 2,000 mayat telah ditemui.
Selepas 11 minggu mengebom sasaran penting, Milosevic dipaksa mengundurkan tentera dan polis Serbia. Seramai 750,000 penduduk etnik Albania kembali ke Kosovo tetapi separuh daripada 100,000 etnik Serbs lari bertempiaran meninggalkan Kosovo. Dengan serta-merta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil alih operasi pentadbiran dari Serbia.
Mei 1999, pengeboman masih diteruskan manakala Milosevic ditangkap dan menjadi ketua negara pertama yang disabitkan dengan jenayah kemanusiaan oleh tribunal antarabangsa jenayah perang di The Hague, Belanda.
Menurut pertuduhan yang dibacakan, Milosevic dan beberapa orang kawan rapatnya terbabit secara langsung dalam jenayah yang menyebabkan 750,000 etnik Albania Kosovo menjadi pelarian dan membunuh 600 orang yang dikenal pasti sebagai etnik Albania. Pembunuhan telah berlaku di bandar Srbica, Dakova dan Velika Krusa di mana semua lelaki dipisahkan daripada wanita, seterusnya ditembak sehingga mati.
Siasatan oleh Pertubuhan dan Keselamatan Eropah merumuskan tragedi yang sangat dahsyat iaitu melibatkan pembunuhan, penderitaan dan perogolan. Mereka juga mendapati Serbia bersikap ganas terhadap kemanusiaan dalam skala yang besar – tetapi turut mengalami jumlah kematian yang besar kerana diserang balas.
Perbicaraan ke atas Milosevic diteruskan sehingga kematiannya pada Mac 2006. Etnik Albania yang marah kepada Milosevic menuntut perbicaraan ke atas pegawai-pegawai kanan Serbia yang terlibat bersama-sama Milosevic diadili dengan segera.
No comments:
Post a Comment