Thursday, February 14, 2008

Pilih calon atau parti?

Pilihan raya umum ke-12 telah pun diketahui. Penamaan calon ditetapkan pada 24 Februari manakala hari membuang undi ialah pada 8 Mac. Jumlah pengundi dijangka lebih daripada 10 juta orang dan kesempatan awal cuti persekolahan akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk setiap pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Sebanyak 222 kerusi parlimen dipertandingkan pada kali ini yang akan menyaksikan 30 parti berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan berlawan sesama sendiri.

Sehari dua ini seluruh perhatian rakyat Malaysia juga terarah kepada pembubaran parlimen bagi memberi ruang dan laluan kepada pilihan raya ini. Tanggungjawab melaksanakan proses pilihan raya yang lancar terletak pada SPR. Sebaik sahaja perdana menteri mengumumkan pembubaran parlimen, pukul 9 malam jentera parti sudah mula bergerak dengan mengadakan taklimat di bilik gerakan masing-masing dan mula memasang bendera. Sasaran kali ini ialah di tiang elektrik, tepi jambatan, atas pokok, pintu pagar dan tiang lampu isyarat.

Bagi meninjau "mood" pilihan raya ini, penyelidik menemui beberapa orang awam untuk mendengar pendapat dan mencari isu yang sedang bermain di fikiran mereka. Penyelidik juga menerima mesej pesanan ringkas mengenai isu-isu yang sedang berlegar-legar di dalam masyarakat ketika ini.

Antara isu yang menjadi perhatian mereka ialah:

1. Barang naik

Harga minyak yang tinggi menyebabkan harga barang-barang keperluan juga naik. Ada pendapat yang menyatakan harga minyak boleh diturunkan jika keuntungan Petronas digunakan sebahagian kecil. Pertanyaan yang timbul ialah ke mana perginya sebahagian besar keuntungan Petronas itu?

Harga minyak yang tinggi pasti menarik sekali harga barang-barang untuk naik walaupun dalam jumlah yang kecil.

2. Boros dan membazir

Pembangunan koridor ekonomi yang melibatkan jumlah RM1 ,074 bilion adalah jumlah yang besar. Siapa yang mendapat manfaat? Ketika masih ada yang tidak dapat makan nasi setiap hari, ada pemimpin yang boros berbelanja. Orang miskin hanya makan nasi dengan kicap, pemimpin bersuka ria dengan projek mega.

3. Rasuah dan komisyen

Isu pembelian kapal selam yang mendedahkan komisyen berjuta ringgit. Ketelusan yang diharap dapat dijelmakan dalam urusan ini menjadi buah mulut rakyat jelata.

4. Keutuhan institusi kehakiman

Video Lingam mendedahkan kejelekan institusi kehakiman Malaysia. Dari sehari ke sehari ada kejutan besar yang memalukan orang Melayu. Keyakinan orang ramai terhadap institusi kehakiman yang luhur mula luntur. Ada yang berkata, "Apalah yang hendak jadi pada Melayu, hakim pun boleh dibuat catur."

Keluhan ini adalah manifestasi kekecewaan mereka terhadap institusi yang dipandang mulia dan tinggi sebelum itu.

5. Moral pemimpin

Pemimpin menjadi model kepada rakyat. Baik pemimpin baiklah rakyat. Jasanya pemimpin akan dikenang sepanjang hayat. Pemimpin yang tidak bermoral juga akan dikenang sebagai tidak bermoral selama-lamanya. Moral masyarakat adalah lambang moral pemimpin. Masyarakat yang menyanjung tinggi peribadi pemimpin yang berwibawa.

Pemimpin yang bermoral akan mempastikan dirinya jauh daripada perbuatan maksiat, berzina, rasuah dan boros. Tetapi apakah masih dikatakan pemimpin bermoral dan berwibawa jika ketika pilihan raya barulah nampak muka yang terhegeh-hegeh mengadakan majlis sumbangan kebajikan sedangkan tiga atau empat tahun sebelum itu tidak pernah menjenguk rakyat yang diwakilinya?

6. Pemimpin bercakap benar.

Isu ini muncul secara mendadak. Pantas tersebar di dalam Internet dan dijadikan bahan perbincangan. Antara tajuk yang diketengahkan ialah "Munafik besar" dan termasuk sekali dalil dan hujah yang rasional.

7. Menyekat kebebasan berhimpun dan menyuarakan pendapat

Ia berkaitan perhimpunan BERSIH yang menghimpunkan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik. Malangnya program ini tidak diberi permit kerana dikhuatiri mengganggu ketenteraman dan kemudaratan orang ramai.

8. Semua saluran media kerajaan berat sebelah.

Setiap hari televisyen menyiarkan maklumat tentang Barisan Nasional sahaja dan tidak banyak memberi ruang kepada semua parti yang bertanding khususnya parti pembangkang. Pembangkang hanya menggunakan Internet, ceramah dan kempen mulut ke mulut untuk meraih undi. Ternyata wujud keadaan tidak adil di sini. Walau bagaimanapun maklumat yang disampaikan dari mulut ke mulut jauh lebih berkesan.

9. Saham naik, tapi ramai graduan menganggur

Graduan yang ramai adalah baik untuk negara. Tetapi apabila graduan tidak ada kerja, negara rugi kerana tidak menggunakan kepakaran tersebut. Pengangguran hanyalah pembaziran ke atas sumber tenaga manusia dan menghalang kemajuan negara. Apa yang masyarakat nampak ialah kerajaan tidak bersungguh-sungguh menyediakan kerja setelah graduan penat belajar di institusi pengajian tinggi.

Ada graduan menganggur berbisik kepada penyeldik yang beliau sangat kecewa dengan usaha kerajaan dalam hal ini. Sehingga sekarang beliau masih menganggur dan belum mendapat kerja yang sesuai dengan tahap akademik yang diperolehi.

10. Cakap tak serupa bikin

Isu ini berkaitan dengan pelaksanaan Islam Hadhari yang nampak seolah-olah tidak ada arah tuju. Sambutan di kalangan sebahagian besar masyarakat tidak nampak dengan jelas kerana usaha-usaha ke arah pelaksanaannya tidak sampai ke akar umbi masyarakat. Istilah yang biasa didengar ialah "Imam Hadhari" "Ummu Hadhari" "Islam Hari-hari" dan "Ultraman Hadhari."

Ruangan ulasan untuk Islam Hadhari ini sangat menyesakkan fikiran dan dilihat sebagai ketidakfahaman sebahagian besar masyarakat Islam Malaysia. Justeru kata mesti dikota.

11. Masa berkempen yang lebih panjang

Ini juga menjadi isu. Jika pendek pun isu, panjang pun jadi isu.

Isu-isu di atas adalah isu tempatan yang sedang hangat di pasaran ketika ini. Dalam ceramah-ceramah politik, mahu atau tidak, pasti ada disentuh.

Di samping pihak Barisan Nasional, pembangkang juga dinilai kelancangan mereka berceramah. Ada yang memang sangat sesuai tetapi ada yang tidak boleh diterima langsung kerana menyerang peribadi.

Isu-isu luar tidak begitu menarik perhatian responden yang ditemui seperti isu pengaruh global, cara kepimpinan perdana menteri dan sebagainya.

Rumusan bagi kajian yang ringkas ini ialah ada kemungkinan terdapat undi protes kerana pengundi inginkan perubahan yang lebih baik. Ada yang berpendapat setelah 50 tahun Barisan Nasional mentadbir negara, hasilnya kita dapat lihat seperti isu-isu di atas, barangkali telah tiba masanya untuk membuat perubahan. Tetapi belum tentu perubahan berkenaan akan menjadi lebih baik seperti hari ini.

Justeru, apakah pilihan kita? Calon atau parti?

1 comment:

  1. Anonymous12:59 AM

    Assalamualaikum..
    pada pendapat saya undilah individu yang dapat membawa isu-isu rakyat terutama halatuju bangsa melayu dinegara sendiri. Biar dewan rakyat 50/50 dengan pembangkang dan kerajaan. so, kerajaan tak bleh buat sesuka hati. Pada saya teruk la pimpinan sekarang ni..tak seperti zaman tun mahathir..HIDUP TUN!!!!!!

    ReplyDelete