Friday, February 15, 2008

107 balai, pusat komuniti polis dibuka

Matlamat pasukan polis meningkatkan kehadiran anggota dan pegawainya dalam masyarakat direalisasikan dengan pembukaan serentak 60 balai polis baru dan 55 pusat komuniti polis di empat negeri yang mempunyai indeks jenayah tinggi.

Pelancaran balai polis dan pusat komuniti polis itu dilancarkan serentak hari ini dan esok.

Berbeza dengan balai sedia ada, balai baru dan pusat komuniti itu beroperasi di premis perniagaan dan rumah-rumah yang disewa di taman perumahan terutama kawasan yang berpenduduk padat.

Strategi pasukan polis itu diperkenalkan berikutan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bulan lalu yang mahu usaha membanteras jenayah diberi nafas baru.

Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri turut meluluskan peruntukan segera pembukaan 107 buah balai baru dan 55 pusat komuniti polis. Hasil keprihatinan Perdana Menteri itu, hari ini sebanyak 20 balai baru dan 15 pusat komuniti dibuka serentak di Selangor.

Sebanyak 16 balai dan 20 pusat komuniti lagi dibuka di Kuala Lumpur selain pembukaan sembilan balai dan 10 pusat komuniti yang sama di Johor. Esok, 15 balai baru dan 10 pusat komuniti polis juga akan dibuka di Pulau Pinang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang merasmikan pembukaan balai-balai baru itu pada satu majlis simbolik di sini menyifatkan strategi baru polis membanteras jenayah itu sebagai idea Perdana Menteri.

“Ia merupakan agenda nasional Perdana Menteri bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendekatkan diri dan mempercepatkan lagi perkhidmatan polis dengan masyarakat,” katanya.

Balai Polis Bandar Baru Klang yang Musa rasmikan itu terletak di bangunan komersial No. 32, Jalan Tiara 2A/KU1, Pusat Perniagaan Bandar Baru Klang.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin; Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar; Ketua

Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusuf dan pegawai-pegawai kanan PDRM.

Musa berkata, setiap balai polis baru di bangunan disewakan di premis-premis perniagaan akan berfungsi seperti balai-balai lain yang berperanan menerima dan menyiasat laporan daripada orang awam.

Pada masa yang sama, tambahnya, sesuai dengan kedudukan balai itu di tengah-tengah komuniti, pegawai dan anggota polis terlibat juga akan memberi fokus kepada usaha mengumpul risikan.

“Maklumat risikan ini penting bagi membolehkan program-program pencegahan jenayah dan operasi diadakan dari semasa ke semasa untuk mengurangkan kadar jenayah di kawasan terbabit.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri yang keluarkan peruntukan khas sehingga tertubuhnya balai-balai baru dan pusat komuniti polis ini,” katanya.

Balai Polis Bandar Baru Klang itu diketuai Sarjan Raja Ami Raja Saleh. Laporan pertama daripada orang ramai diterima oleh Musa sendiri di balai itu pada pukul 11.05 pagi ini.

Balai itu boleh dihubungi menerusi talian 03-33412222 atau telefon bimbit Raja Ami sendiri, 012-6727405.

Projek membina balai polis di kawasan komersial dipercayai dapat memberi perkhidmatan kepolisan lebih efisien dan menyeluruh kepada 101,920 penduduk di sekitar Klang yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Dalam pada itu, Musa memberitahu, baki 47 balai lagi iaitu 10 buah di Kuala Lumpur dan 37 di Selangor akan dibuka serentak pada 15 Mac dan 15 April ini.

Beliau memberitahu, sepanjang tahun 2008, PDRM akan membuka 160 balai polis baru di samping tambahan pusat komuniti polis dengan konsep yang sama iaitu menyewa premis perniagaan dan rumah-rumah di kawasan strategik.

Sehubungan itu, katanya, semua ketua polis negeri dan ketua polis daerah telah diarah supaya mengenal pasti premis dan rumah baru untuk disewa bagi tujuan tersebut.

“Apabila semua balai baru itu beroperasi sepenuhnya, kita yakin orang ramai akan lebih selesa berurusan dengan polis dan pada masa yang sama hubungan polis dengan masyarakat dalam dimantapkan.

“Kita juga berharap masyarakat akan memberi kerjasama menyalurkan maklumat atau menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pegawai dan anggota di balai dan pusat terbabit supaya matlamat mengurangkan jenayah tercapai,” ujarnya.

Tambah Musa, ketua polis balai dan anggota di balai-balai baru juga berperanan memberi kesedaran kepada penduduk setempat mengenai tanggungjawab bersama mencegah jenayah di samping turut serta dalam program komuniti.

“Saya juga mengingatkan ketua polis balai dan anggota bertugas supaya menjalankan tugas dengan jujur, bersih, cekap dan amanah serta menjalin perkongsian pintar dengan komuniti,” ujar beliau.

Mengenai pembukaan Balai Polis Bandar Baru Klang, Musa memberitahu, selain diketuai seorang pegawai berpangkat sarjan, ia diperkuat dengan seorang lans koperal dan enam anggota berpangkat koperal dan konstabel.

“Kedudukan Balai Polis Bandar Baru Klang sangat strategik iaitu berdekatan pusat perkilangan, perdagangan dan perindustrian ringan serta tiga pusat beli-belah,” tambahnya.

Beliau berkata, penubuhan balai tersebut sangat kena pada masanya kerana peningkatan kadar jenayah di kawasan berkenaan iaitu daripada 285 kes pada 2005 kepada 349 kes (2006) dan 497 kes (2007).


[Utusan Online, 15/2/2008]

No comments:

Post a Comment