Monday, February 04, 2008

Dr Mahathir’s Selected Letters to World Leaders

“Suara Malaysia moden, buku yang dipenuhi komentar-komentar dalaman dan tersirat... satu pandangan yang menarik, menerusi kata-kata antara pemimpin terkemuka dunia yang telah berjaya mengubah sejarah, sebuah buku yang patut diraikan,” - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Demikian ulasan yang tertera pada kulit buku bertajuk Mahathir’s Selected Letters to World Leaders yang baru dilancarkan minggu lalu.

Buku tersebut menghimpunkan 71 pucuk surat dan surat balasan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada pemimpin dan bekas pemimpin terkemuka dunia.

Pemimpin terkemuka yang amat dikenali dengan sikap suka berterus terang dan kritis itu telah dilancarkan di Yayasan Kepimpinan Perdana dengan dihadiri ratusan tetamu termasuk para diplomat asing.

Surat-surat itu belum pernah didedahkan kepada umum dan mendapat kelulusan kerajaan Malaysia untuk disiarkan.

Antara pemimpin dunia yang menerima dan membalas surat Dr. Mahathir ialah Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush; bekas Presiden AS, Bill Clinton; bekas Presiden Perancis Jaques Chiraq; bekas Perdana Menteri Britain – Margaret Thatcher serta Tony Blair dan Putera Charles.

Buku setebal 239 muka surat berharga RM49.90 tersebut disusun dan disunting oleh bekas Duta Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tan Sri Abdullah Ahmad.

Abdullah merupakan penulis dan lulusan Cambridge dan Harvard serta pengasas Institut Kajian Politik dan Ekonomi.


Uniknya, surat tersebut ditulis oleh Dr. Mahathir mengikut stailnya tersendiri, amat berterus terang dan sarat dengan mesej - bertepatan dengan sikapnya sebagai seorang tokoh yang dikagumi di persada antarabangsa.

Walaupun ditulis dalam bahasa Inggeris biasa, Dr. Mahathir menggunakan perkataan-perkataan yang mudah difahami dalam suratnya untuk menjelaskan isu-isu yang rumit demi kesejahteraan sejagat.

Mereka yang memiliki pengertian yang cukup mendalam seperti Dr. Mahathir layak untuk berkata-kata dengan pemimpin seperti Bush bagi menyatakan sesuatu yang tepat dan benar.

Surat-surat balasan yang dimuatkan di dalam buku ini juga mengandungi tafsiran dan hujahan masing-masing mengenai keganasan globalisasi, ekonomi, hubungan diplomatik, perang dan konflik.


Pembaca juga boleh menilai dan melihat sendiri pendirian dan pandangan para pemimpin dunia dalam surat-surat balasan mereka kepada Dr. Mahathir.

Tulisan Dr. Mahathir telus, padu, informatif dan mudah diterjemahkan. Dr. Mahathir menulis tanpa berselindung kerana beliau mahu pemimpin dunia membaca dan melakukan sesuatu terhadap surat yang ditulis.

Kompilasi surat tersebut sesuai dibaca oleh semua peringkat usia termasuk mereka yang meminati politik, diplomasi dan hubungan antarabangsa.

Buku tersebut diterbitkan oleh Marshall Cavendish, penerbit antarabangsa buku direktori, majalah dan pembelajaran secara dalam talian.

[Utusan Online]

No comments:

Post a Comment