Penerbit: Penguin Books Ltd
Tahun: 2006
Pengulas: Khairusy Syakirin Has-Yun Hashim
Dengan wujudnya Internet, dunia tidak lagi kesepian. Dunia tidak lagi bulat, seperti yang ditulis oleh Thomas L. Friedman menerusi bukunya The World is Flat.
Menerusi teknologi perkomputeran, pelbagai lagi bidang ilmu yang tidak terfikir manusia 50 tahun yang lepas telah dapat direalisasikan. Siapa pernah terfikir bahawa manusia boleh berkomunikasi menerusi komputer, sedangkan Alexander Graham Bell hanya mencipta telefon?
Begitu juga dengan dunia buku. Kalau dulunya buku ditulis di atas helaian-helaian kertas yang kemudiannya digulung menjadi skrol, ia berevolusi kemudiannya menjadi buku. Kalau dulunya buku-buku disalin semula dengan tangan, kemudiannya berevolusi pantas dengan menggunakan teknologi salin semula yang hampir keseluruhan umat manusia kini pernah menggunakannya.
Kalau dulunya buku perlu dipegang, kini ia hanya perlu dilihat tanpa merasai beratnya. Kalau dulunya buku hanya dibaca oleh seseorang, atau dibincang dengan sahabat-sahabat setempat, kini ia boleh dikongsi dengan pelbagai jenis manusia di semua penjuru alam.
Dunia buku seharusnya tidak perlu kesepian. Ia perlulah diuar-uarkan sebagai satu dunia yang penuh warna-warni. Buku, sebagai satu wadah utama ilmu seharusnya diceritakan sebagai sesuatu yang ceria.
Teknologi telah membantu. Dunia buku kini bukanlah sekadar sebuah dunia yang sepi.
Pembacanya sudah boleh menjadikan subjek buku sebagai satu subjek yang universal.
Pelbagai portal mengenai buku dan sahabat boleh dilayari menerusi Internet. Ia memungkinkan seseorang yang sedang membaca buku The World is Flat, misalnya, berkongsi pendapat dengan pembaca-pembaca lain yang tidak pernah dikenalinya, jauh beribu batu di kawasan lain dunia.
Malah, dengan menggunakan aplikasi yang mudah yang disediakan bersama portal-portal tersebut, seperti portal-portal Shelfari dan Library Thing, penggunanya dapat menyimpan maklumat-maklumat buku yang dimilikinya untuk dikongsi dengan pembaca-pembaca lain.
Dunia tentunya telah menjadi lebih mendatar. Lebih banyak teknologi mendatang yang boleh difikirkan. Tetapi sejauh manakah kesediaan kita pula di Malaysia? Dengan wujudnya Koridor Multimedia dan Cyberjaya beberapa tahun yang lalu, setidak-tidaknya buat masa ini telah berjaya menghasilkan beberapa aplikasi teknologi terkini.
Perpustakaan-perpustakaan pula seharusnya melipatgandakan usaha mereka dengan bekerjasama dengan mereka yang pakar teknologi maklumat (IT) di Cyberjaya untuk bergerak lebih aktif mempromosikan budaya membaca di kalangan remaja Malaysia.
Sekiranya para remaja kini menggunakan IT dan segala bentuk teknologi, ia sebenarnya satu khabar gembira kepada para pemaju industri IT. Seharusnya ia bukanlah satu berita yang duka pula kepada para pejuang buku. Sebaliknya, ia seharusnya dijadikan satu peluang yang amat besar.
Tentunya bentuk buku tidak boleh ditukar ganti. Internet dan segala bentuk teknologi yang ada tidak akan mampu mematikan buku sebagai medium utama pembacaan. Sebaliknya, Internet dan teknologi-teknologi tersebut seharusnya bergerak sama paras dengan buku untuk menyempurnakan matlamat asal mereka sebagai medium pengetahuan dan ilmu.
[Utusan Online]
No comments:
Post a Comment