Pengumpulan data dan analisis data adalah aktiviti spontan dalam kajian kualitatif. Analisis bermula dengan temuduga pertama, pemerhatian awal dan kali pertama dokumen dilihat.
Bogdan dan Biklen menyifatkan analisis data sebagai proses yang sistematik untuk mencari dan menguruskan teknik pengumpulan data. Proses-proses analisis data ialah dapatkan data, uruskan data tersebut, pecahkan data kepada unit kecil, sintesiskan, kenal pasti bahagian yang penting dan persembahkan kepada orang lain yang menjadi sasaran.
Terdapat berbagai-bagai cara untuk menganalisis data, bagaimanapun dua bentuk sahaja yang jelas iaitu, pertama; analisis seiring dengan pengumpulan data. Kaedah ini kerap digunakan oleh penyelidik yang berpengalaman. Kedua, mengumpulkan data sebelum memulakan analisis.
Secara umum terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan oleh penyelidik untuk menganalisis data seperti:
1. Mengecilkan skop kajian supaya lebih jelas untuk membuat analisis akhir.
2. Menentukan bentuk kajian seperti kajian kes, sejarah hidup dan sebagainya.
3. Sentiasa bertanya soalan dan dapatkan maklumat atau maklum balas daripada pemerhatian yang dibuat.
4. Dapatkan maklum balas tentang idea sedia ada bagi membentuk toeri yang formal.
5. Ingatkan diri tentang apa yang telah dilakukan bagi mendapatkan maklumat baru untuk menghubungkan dapatan sedia ada dengan maklum balas pemerhatian.
6. Sentiasa mencari maklumat ketika di lapangan bagi meningkatkan kualiti analisis.
Sebagai penyelidik, membuat analisis memerlukan beberapa kekuatan. Yang penting ialah tidak takut membuat spekulasi kerana spekulasi memberi idea dan menjadikan kajian lebih produktif. Tetapi spekulasi harus dikawal oleh data yang sedia ada. Maklumat yang ada harus sentiasa dipantau supaya ianya selari dengan objektif kajian dan sentiasa dalam keadaan terkini.
No comments:
Post a Comment