Saya sedang memikirkan matlamat untuk tahun 2008 pada hari ini dan teringat kembali keadaan yang berlaku setiap kali tiba tahun baru. Apabila di penghujung Disember, sibuklah saya memikirkan beberapa matlamat baru (seperti membaca al-quran setiap hari atau membaca sebuah buku setiap bulan) yang boleh dilakukan. Ada di antara matlamat ini yang langsung tidak tercapai dan amat merimaskan apabila dikenang kembali.
Adakah anda juga mengalami keadaan yang sama seperti saya?
Jadi, saya mula memikirkan kenapa tidak mampu menyempurnakan matlamat-matlamat ini. Adakah kerana tahap disiplin yang rendah? Ataupun sangat sukar dicapai? Ataupun tidak mengambil berat tentang keperluan mencapai matlamat-matlamat tersebut?
Makin lama berfikir, ia semakin menyesakkan.
Satu-satunya sebab yang kukuh ialah saya tidak cukup keinginan untuk merealisasikan matlamat-matlamat ini.
Keinginan adalah pembakar kepada penetapan matlamat. Mencuba untuk mencapai matlamat tanpa keinginan yang membuak-buak adalah umpama memandu kereta tanpa minyak petrol. Barangkali juga ia tidak akan jadi kerja langsung.
Ada seseorang yang hebat pernah berkata begini:
"The first step to getting the things you want out of life is this: Decide what you want."
Jadi, jika kita ingin menjadikan tahun baru 2008 ini sebagai tahun yang berbeza dan dapat merealisasikan matlamat, kita mesti berusaha menguatkan keinginan sedia ada.
Ya, bagi setiap permulaan yang besar, pastikan diri kita dalam keadaan bersemangat tinggi, yakin melihat masa depan biar pun matlamat tahun 2008 nanti sangat sukar.
Walau apa pun matlamat pencapaian – naik pangkat, menambah pelanggan, terbitkan artikel, kurangkan berat badan; matlamat mestilah menjadi hak peribadi dan diri sendiri. Keyakinan untuk mempercayai bahawa matlamat berkenaan dapat dicapai umpama membakar arang untuk menjadi api yang menyala-nyala.
Saya ingin berkongsi dengan anda tiga tips untuk membakar semangat kejayaan kita semua.
Yang pertama, ada baiknya kita mengetahui bahawa matlamat bergantung kepada nilai-nilai yang ada pada diri kita. Jangka pendek, sederhana atau panjang bergantung sepenuhnya kepada nilai yang ada di dalam diri kita. Apakah nilai-nilai ini kukuh, teguh ataupun cepat luntur? Jika matlamat ini selari dan seiring dengan nilai-nilai penting di dalam diri kita, ianya hanya berada beberapa langkah bagi mencapai matlamat tadi.
Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia, maju dan berkembang pesat seiring dengan moto "Now everyone can fly" kerana falsafah dan nilai yang dipegang oleh ketua atau pemimpin syarikat ini selari dengan usaha mereka. Menukar sebuah syarikat penerbangan yang sentiasa rugi kepada sentiasa untung adalah suatu cabaran yang sangat sukar. Nilai-nilai kepimpinan, pengurusan dan pengalaman yang ada pada pasukan AirAsia menjadikan syarikat ini terkenal di Asia.
Begitu juga syarikat-syarikat lain yang berjaya, biasanya tidak ada perbezaan laluan kejayaan yang besar.
Kedua, percaya matlamat boleh dicapai. Setiap daripada kita ada suara hati yang menilai apa yang berlaku di sekeliling, menilai diri sendiri, memuji kejayaan dan mengkritik kegagalan.
Kata-kata suara hati yang positif mengukuhkan apa yang kita rasa dan fikir betul. Yang negatif meruntuhkan keyakinan dan semangat untuk berusaha, yang mana kesan akhirnya membantutkan keupayaan untuk mencapai matlamat.
Dengar suara hati kita. Ianya boleh menukar kelemahan menjadi kekuatan, menukar kegagalan menjadi kejayaan. Sebuah sekolah agama yang terkenal di utara pernah mengambil pelajar yang tidak ada "A" dalam semua mata pelajaran, dididik dan diberi perhatian dan ditunjukkan cara untuk mencapai matlamat, akhirnya pelajar ini mendapat 11A dalam peperiksaan utama.
Dalam mana-mana acara sukan yang besar, sesebuah kontinjen bukan sahaja disertai oleh atlet dan jurulatih atau pegawai pengiring, malah ahli psikologi dan pakar motivasi yang sentiasa membisikkan semangat dan memberi kekuatan positif kepada suara hati atlet yang mengambil bahagian. Sebab itu ada atlet yang tidak hebat semasa latihan tiba-tiba memecahkan rekod kejohanan dalam acara sebenar.
Diri kita adalah pengurus, salah satu peranan penting kita ialah membantu perkembangan harga diri sendiri. Penampilan yang positif, hebat dan bersemangat turut meningkatkan harga diri dan keyakinan diri.
Yang terakhir, tulis matlamat. Menulis matlamat tahun 2008 adalah komitmen pertama untuk mencapai matlamat kita. Menulis apa juga matlamat adalah kenyataan yang sangat kukuh dan bertenaga kerana ia memberi mesej jelas kepada minda separuh sedar. Ia umpama akujanji pada diri sepanjang tempoh setahun yang akan datang.
Menulis dan merangka pelan tindakan termasuk tarikh akhir pencapaian menjadikan matlamat kita lebih bertenaga dan berkuasa. Kerap terjadi setiap awal tahun, semangat membuak-buak untuk mencuba matlamat bertukar angin apabila masuk bulan ketiga dan seterusnya. Di mana silapnya?
Jika kita tidak seronok dengan kemajuan usaha kita, cepat-cepat ambil langkah pembetulan bagi mengenal pasti halangan. Mungkin boleh jadi masalah peribadi, kewangan, kawan-kawan atau persekitaran. Biasanya masalah yang ada adalah dari diri kita sendiri yang cuba kita selindungkan.
Sekali lagi ia berpunca daripada nilai-nilai yang berkubu di dalam diri sendiri. Jika kita gagal mencapai matlamat, ia bukannya salah orang lain sebaliknya masalah nilai yang ada pada diri sendiri.
Jadi, jika kita ingin menjadi tahun 2008 sebagai tahun yang membawa tuah, tiga teknik di atas berupaya membantu kita untuk membakar semangat dan daya juang.
Ambil sehelai kertas, tuliskan matlamat kita untuk tahun 2008 nanti. Kemudian mula berfikir dan menulis KENAPA kita mahu mencapai matlamat tersebut.
Senaraikan 20 alasan. Lebih banyak lebih baik kerana ia akan menjadikan diri kita sibuk untuk mengejar cita-cita dan matlamat. Baca setiap hari dan jadikan sebagai rutin harian kita. Jadikan diri kita sentiasa bermotivasi sebagai kerja harian yang mesti dilakukan.
Jutawan Internet, Irfan Khairi, sentiasa menulis matlamatnya untuk menjadi jutawan yang diletakkan di dalam dompet duitnya. Setiap hari beliau akan membaca kenyataan bertulis ini dan berasa sangat yakin untuk menjadi jutawan dalam tempoh kurang daripada setahun. Sekarang, untuk mendapatkan khidmat rundingan jutawan ini, kita perlu membayar RM500 sejam.
Samsung menjadi sebuah syarikat yang terkenal kerana ia memberi RM10 kepada setiap idea yang ditulis dan dikemukakan pekerjanya. Jika ada sepuluh idea, seseorang pekerja yang rajin ini akan mendapat RM100 tanpa mengira sama ada idea tersebut diterima atau tidak. Mungkin Samsung terpaksa membelanjakan RM10,000 untuk idea-idea pekerjanya, tetapi jika ada satu idea yang hebat dan dapat menjana RM100 juta untuk perniagaannya, apalah sangat nilai RM10,000 itu?
Inilah kehebatan idea dan berusaha menjadikan idea yang berakhir dengan keputusan, kejayaan dan keuntungan.
Jika kita ingin menjadikan tahun 2008 sebagai tahun yang sangat bermakna dan menggembirakan, mulailah untuk menulis matlamat dan berusaha untuk merealisasikannya walau apa pun rintangan dan cabaran yang dihadapi.
No comments:
Post a Comment