Thursday, December 27, 2007

Ketekunan

Tekun adalah kuat bekerja. Menjadi tekun tidak bermakna melakukan kerja-kerja yang mencabar atau sukar. Ia bererti meletakkan sasaran berdasarkan tempoh tertentu. Kita boleh menjadi tekun dengan melakukan kerja-kerja yang mudah atau yang susah.

Bayangkan kita mempunyai anak kecil. Berapa lama kita perlukan untuk menukar lampinnya. Kerja ini bukannya susah – ia cuma kerja yang berulang-ulang setiap hari.

Dalam hidup kita, banyak kerja yang tidak memerlukan susah-payah untuk melakukannya tetapi memerlukan pengorbanan masa yang sangat bererti. Jika kita tidak mendisiplinkan diri sendiri, kerja yang mudah menjadi payah dan membebankan. Cuba fikirkan kerja-kerja kecil yang perlu kita lakukan – pagi membeli barang keperluan, membersih rumah, bayar bil, hantar anak ke sekolah dan sebagainya. Cuma kerja-kerja yang berkaitan dengan rumah tangga, bagaimana pula dengan kerja-kerja di pejabat? Nampaknya ia semakin panjang berjela.

Disiplin diri memerlukan kita membangunkan keupayaan diri pada masa yang tepat. Sebahagian besar hal yang remeh-temah dicetuskan apabila kita enggan melakukan sesuatu kerja bukan pada masanya. Keadaan ini berlaku kepada semua orang, dari individu hingga ke syarikat-syarikat besar. Isu remeh yang kecil atau besar – kita sendiri yang tentukan.

Kadangkala sangat jelas kita perlu lakukan, kadangkala kabur. Tetapi tidak mempedulikan hal remeh-temeh tidak membantu menyelesaikan masalah. Jika kita tidak dapat mengenal pasti dengan tepat apa yang patut dibuat, langkah pertama ialah sediakan kerangka rancangan. Cara ini memerlukan maklumat dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan kita. Tetapi tidak mengapa kerana ia akan menyelesaikan kerumitan yang kita hadapi.

Umpamanya seorang rakan saya yang baru kali pertama hendak membuka laman blog. Jadi, dia perlu bertanya seseorang untuk membantunya mendaftarkan nama, memilih reka bentuk blog dan meletakkan artikel yang terbaik di dalam blognya. Beliau mengambil masa untuk melakukan perkara yang mudah kerana latar belakangnya bukan dari bidang teknologi maklumat.

Saya menasihatkannya untuk belajar tutorial bagi "upload" artikel melalui e-mail. Saya fikir tidak susah bagi beliau untuk belajar membuat blog sendiri tetapi beliau perlukan sedikit pelaburan dari segi masa bagi membiasakan dirinya dengan beberapa alat bantu, simbol dan arahan yang disediakan.

Tidak Berlengah

Banyak masalah yang bakal dihadapi jika mengabaikan masa senggang yang ada. Jika kotak e-mail kita telah penuh, ia bukannya cabaran yang besar sangat. Lebih banyak masalah dan cabaran hidup yang bakal kita hadapi, mengosongkan kotak e-mail hanyalah berkaitan dengan masa. Barangkali ia mengambil beberapa minit untuk memadam semua e-mail yang ada. Jika kita tidak melakukannya hari ini, bila lagi akan dibuat? Kalau kita malas, klik pada kotak "delete" dan semua e-mail sama ada berguna atau tidak, akan hilang serta-merta.

Rakan saya, seorang eksekutif di syarikat kereta nasional menerima lebih 80 e-mail setiap hari. Semuanya berkaitan hal penting dari dalam dan luar negara. Beliau tidak boleh menekan butang "delete" kerana ia melibatkan bisnes syarikat. Ketekunanlah yang menjadikan dirinya tetap sabar memberi maklum balas kepada setiap e-mail yang diterima.

Berapa banyak masalah yang kita hadapi dapat diselesaikan dalam masa yang singkat dan mudah? Kadang-kadang kita tidak perlukan kaedah yang kreatif atau pintar untuk menyelesaikan masalah – satu cadangan yang bersungguh-sungguh sudah memadai. Tetapi ianya lebih mudah untuk tersekat dalam pola-pola yang memberi harapan kepada sesuatu penyelesaian. Keadaan inilah yang membosankan tetapi perlu dibuat.

Tipsnya mudah. Apabila ada jalan penyelesaian, jangan merungut. Buat saja, "just do it," atau kata orang Brunei: buat tia.

Bina Produktiviti dan Kualiti

Mendisiplinkan diri dengan menerapkan nilai tekun membantu kita menghargai masa. Masa adalah tetap, tetapi produktiviti tidak tetap. Sesetengah orang akan menggunakan masa mereka dengan secukupnya dan lebih cekap berbanding sesetengah yang lain.

Agak aneh apabila melihat orang lebih suka membelanjakan wang untuk membeli komputer atau telefon bimbit yang canggih, ataupun kereta yang hebat tetapi amat susah untuk membelanjakan sedikit wang bagi pembangunan diri.

Keupayaan diri yang terjulang boleh melakukan lebih daripada komputer, telefon bimbit atau kereta dalam jangka masa panjang. Beri tanggungjawab kepada seorang juruanalisis program yang tekun dan mahu belajar, dia akan melakukan kerja jauh lebih baik daripada rakannya yang malas walaupun pandai.

Di sebalik teknologi dan gajet yang kita ada dan menjadi lebih berkesan, produktiviti diri tetap menjadi kayu pengukur kejayaan. Jangan terlalu bangga melihat teknologi untuk menjadikan diri kita lebih produktif. Jika kita tidak menimbangkan hasil kerja tanpa teknologi, kita tidak dapat menjadi lebih baik – sebaliknya hanya menjadi topeng kepada sikap buruk kita. Tetapi jika kita memang seorang yang tekun berusaha, tanpa teknologi pun, ia dapat membantu kita menjadi lebih baik.

Jadikan teknologi sebagai daya penggerak – ia akan mengembangkan apa yang ada di dalam diri kita.

Apabila kita berusaha bagi membangunkan potensi dan produktiviti diri, ia menjadikan hidup kita penuh dengan susah-payah tetapi berbaloi. Saya yakin ramai orang yang tertarik dengan idea menjadi lebih produktif kerana kita membentuk lebih banyak ruang untuk melakukan banyak perkara dalam hidup: makanan yang lazat, latihan, kuat bekerja, mengukuhkan perhubungan, keadaan sosial hidup lebih menarik dan berbeza daripada orang lain.

Jika tidak, kita perlu berikan sesuatu. Tanpa ada potensi dan produktiviti yang tinggi, kita menyerah kalah kepada cabaran yang mudah. Kita akan berkonflik di antara kesihatan dan kerja, keluarga dan kerja, keluarga dan rakan-rakan.

Ketekunan adalah satu alat untuk meningkatkan produktiviti diri. Kuat bekerja tidak bererti pintar dalam pekerjaan. Apabila kita telah membuat keputusan dan merancang strategi, tidak ada yang dapat menggerakkan perancangan tersebut kecuali keinginan yang membuak-buak untuk berjaya. Ketekunan akan melonjakkan semangat dan usaha. Dalam jangka masa panjang, hasilnya ditentukan oleh tindakan kita sendiri, dan ketekunan adalah jawapannya.

Daya Tahan

Daya tahan ialah keupayaan untuk bertindak tanpa mengira apa juga keadaannya. Biar berat macam mana sekalipun, kita tetap dengan keputusan dan rancangan asal yang telah diambil.

Apabila kita bekerja dengan sebuah matlamat yang besar, motivasi diri mudah menjadi cair seperti ribut menghempas pesisir pantai – memusnahkan semua halangan yang merentangi laluannya.

Kadangkala kita berasa sangat bermotivasi, kadangkala tidak ada semangat langsung. Tetapi bukannya motivasi yang membuahkan kejayaan – sebaliknya tindakan. Daya tahan mengekalkan tindakan ketika kita tidak rasa bermotivasi.

Daya tahan akan memberi motivasi dalaman dan luaran. Jika kita sentiasa membuat tindakan, insya Allah kita akan mendapat hasil dan hasil tersebut akan memberi lagi semangat dan dorongan untuk mencapai kejayaan.

Contohnya, susah untuk menyuruh orang lain hormat kepada kita. Tetapi jika kita berusaha untuk mendapatkan hormat orang lain, kita akan dapat. Umpama kejayaan membiakkan kejayaan, usaha yang berterusan akan menjanjikan kejayaan.

Apakah yang kita harus lakukan jika kecewa?

Adakah kita mesti sentiasa ada daya tahan dan tidak mudah kecewa? Tentu tidak. Kadangkala menyerah kalah boleh menjadi pilihan terbaik.

Dua buah syarikat, Traf-O-Data dan Microsoft pernah melalui liku-liku berjaya dan gagal. Kedua-dua syarikat ini dimulakan oleh Bill Gates dan Paul Allen. Traf-O-Data adalah syarikat awal mereka berdua, diasaskan pada 1972. Gates dan Allen berusaha gigih menguruskan perniagaan selama beberapa tahun sebelum membuat keputusan untuk menutup Traf-O-Data.

Mereka sangat kecewa.

Tentunya Microsoft lebih berjaya. Jika mereka berdua tidak kecewa dengan Traf-O-Data, kita tidak dapat mengenal Microsoft pada hari ini.

Kesedaran dan keazaman mengejar pembangunan diri adalah satu-satunya misi yang sangat berguna untuk kita. Jika kita berhasrat menguasai industri hartanah, sebagai contoh, kita akan berasa jemu setelah beberapa tahun.

Justeru, jika kita mahu terus berkembang tanpa ada had, kita wajar mempertahankan arus cabaran itu dan terus bergerak kehadapan.

No comments:

Post a Comment