Friday, December 28, 2007

Pak Pandir Moden drama komedi bersiri kritikan sosial

Pak Pandir merupakan salah sebuah cerita rakyat masyarakat Melayu yang mengisahkan tentang seorang lelaki yang digambarkan sebagai ‘bodoh-bodoh alang’ tetapi banyak mencetuskan senyum dan tawa orang kerana karakternya itu.

Bagi meneruskan lagi kesinambungan watak itu, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., telah menerbitkan drama bersiri Pak Pandir Moden sebanyak 13 episod yang akan disiarkan di TV9 setiap Jumaat pukul 10 malam, mulai hari ini.

Menurut Pengarah Urusan Suhan Movies, Rosyam Nor, Pak Pandir Moden tidak setakat menggambarkan karakter Pak Pandir yang ‘bodoh-bodoh alang’ tetapi ia juga sarat dengan mesej kritikan sosial terhadap isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

“Meskipun perlakuan Pak Pandir seperti orang yang ‘lurus bendul’, tetapi di sebalik kisah-kisahnya yang dipaparkan menerusi drama bersiri ini terdapat banyak perkara yang boleh direnung dan dijadikan teladan oleh para penonton.

“Misalnya, tentang isu tanda harga barang, keselamatan jalan raya, tempat meletak kenderaan, salah guna SMS (khidmat pesanan ringkas) dan sebagainya.

“Mesej-mesej itu disampaikan secara halus melalui perlakuan-perlakuan Pak Pandir yang mana ia mampu membuat orang tersenyum sambil bermuhasabah diri sendiri,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar drama komedi bersiri itu di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, kelmarin.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Pengurus Besar Kumpulan Penjenamaan & Projek Khas TV9, Farah Ezrin Mohd. Rashidi.

Jelas Rosyam, dia berasa agak sukar untuk mengetengahkan drama genre komedi bersiri yang menyelitkan unsur-unsur kritikan sosial dalam suasana persekitaran kehidupan masa kini.

Sungguhpun begitu, beliau menganggap Pak Pandir Moden merupakan cabaran baru buat Suhan Movies dalam mempelbagaikan lagi genre-genre drama terbitannya.

“Sebelum ini ada orang kata Suhan Movies lebih banyak terbitkan drama berat dan aksi sahaja. Jadi, sekarang sudah sampai masanya kami pikul tanggungjawab ini supaya kami juga dapat menghasilkan drama komedi bersiri kami sendiri.

“Tetapi saya sedar, tidak mudah membuatkan orang ketawa berbanding menangis, apalagi untuk menggambarkan watak Pak Pandir dalam suasana dan kehidupan moden.

“Bagi saya, para penonton dewasa mungkin setakat tersenyum sahaja menonton drama komedi ini tetapi golongan kanak-kanak mudah untuk ketawa besar melihat gelagat Pak Pandir,” ujar Rosyam yang juga merupakan pelakon yang meminjamkan suaranya untuk drama komedi bersiri tersebut.

Selain mengharapkan sambutan para penonton, Rosyam juga berharap agar kata-kata spontan yang sering diucapkan oleh Pak Pandir seperti ‘tak apa... terima kasih’ dalam drama komedi itu akan menjadi ikutan ramai.

“Saya harap ayat-ayat watak Pak Pandir akan menjadi trademark bagi drama komedi ini. Contohnya, kalau orang marah pada kita, kemudian kita cakap ‘tak apa... terima kasih’, mungkin orang itu pun tidak jadi hendak marah.

“Malah, saya juga anggap Pak Pandir Moden ini sebagai Mr. Bean Malaysia. Ini kerana, boleh dikatakan setiap negara ada karakter lucu masing-masing. Di harap usaha kami ini dapat mempopularkan lagi watak daripada cerita-cerita rakyat supaya ia juga terus diminati oleh generasi muda hari ini,” katanya.

Biarpun berjaya menerbitkan drama komedi bersiri itu, tetapi Rosyam masih belum berpuas hati dengan Pak Pandir Moden kerana katanya banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Selepas ini, saya akan panggil semua team yang terbabit dalam pembikinan drama komedi ini termasuklah para pelakonnya untuk memperbaiki kelemahan termasuklah daripada segi visualnya.


“Kita tidak mahu drama komedi bersiri ini nampak seperti lawak slapstik kerana penonton mungkin sudah muak dengan lawak sebegitu. Kalau boleh kita mahu drama komedi bersiri ini akan menjadi suatu program bersiri TV yang panjang,” ujarnya lagi.

Drama komedi bersiri arahan Amie Maziah dan skrip tulisan Shafiuddin Shariff itu antaranya dilakonkan oleh Munir Phyne Ballerz (sebagai Pak Pandir) dan Didie Alias (Mak Andir).

Sementara itu, Munir yang melakonkan watak Pak Pandir tidak menafikan berasa cabaran yang besar untuk melakonkan watak tersebut.

“Watak Pak Pandir lain daripada lain. Sebab itu saya terasa sedikit cabarannya. Ini kerana, sebelum ini watak komedi yang saya lakonkan lebih berbentuk lawak slapstik.

“Tetapi kali ini, watak Pak Pandir lebih menekankan dialog dan pergerakan. Ini merupakan watak komedi utama yang pernah saya lakonkan dalam sebuah drama komedi bersiri.

“Saya berasa berdebar-debar untuk menunggu reaksi daripada para penonton. Saya tidak kisah kalau selepas ini orang panggil saya dengan gelaran Pak Pandir kerana itu bermakna lakonan saya dalam drama ini berjaya meninggalkan kesan,” katanya.


[Utusan Online]

No comments:

Post a Comment