Dengan kos pembinaan sebanyak RM1.25 juta, Masjid Jeli yang baru seminggu siap kini menerima jemaah solat Jumaat yang pertama. Kehadiran YAB Perdana Menteri, menteri-menteri kabinet, wakil rakyat, pegawai kerajaan dan orang ramai menjadikan ruang solat masjid ini sesak dengan jemaah.
Ketika memberi ucapan ringkas selepas menunaikan solat Jumaat, ahli parlimen Jeli yang juga Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang meluluskan peruntukan bagi merealisasikan pembinaan masjid berkenaan. Masjid yang asalnya kecil kini tersergam indah di persimpangan lampu isyarat dan bertentangan dengan Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli.
Hadir sama ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang nampak segak dengan seragam polis. Di lengan baju kanan beliau ada lambang pasukan yang bertulis "KOMANDO" yang pada setiap masa beliau sentiasa diiring dan diperhatikan oleh seorang pengawal peribadi. Untuk bergambar sekalipun, keizinan harus diminta daripada seorang lagi pengawal peribadi beliau yang tidak boleh berenggang dengannya.
Ada sekali seorang pengunjung pameran berjalan laju menuju di sebelah lagi tempat pameran dan berjalan rapat di belakang beliau, sepantas kilat seorang lagi pengawal peribadinya meluru hampir kepada pengunjung tadi untuk bertindak. Nasib baik tidak ada apa-apa yang buruk berlaku.
Keramahan Tan Sri Musa agak jelas apabila beliau tidak menolak untuk bergambar dengan pengarah UiTM Kelantan dan beberapa orang kakitangan Kolej Polytech Mara Kelantan yang sedondon berbaju merah jambu.
Masjid Jeli yang kubahnya bersalut warna kuning emas dan dinding luar berwarna coklat perang, dapat memuatkan jemaah hampir 2,000 orang pada satu-satu masa.
Permaidani biru tua yang menyelimuti ruang solat juga masih "berbau kedai."
Selesai makan tengah hari, YAB Perdana Menteri dan rombongan dibawa untuk melihat pameran pendidikan yang menempatkan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Di bahagian IPTA, institusi yang mengambil bahagian ialah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang mana Naib Canselornya sendiri yang hadir, agak lama juga YAB Perdana Menteri berada di gerai UMK, seterusnya Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang membawa model kampus Kubang Kerian, Universiti Teknologi Mara Kelantan yang diwakili oleh pengarahnya, Prof. Datuk Dr. Hussin yang saya sempat bertanya khabar dengan beliau. Lain-lain IPTA ialah Universiti Malaya cawangan Nilam Puri dan Kolej Komuniti.
Bahagian IPTS, penyertaannya adalah dari institusi sama ada yang mempunyai kampus tetap di Kelantan ataupun kampus cawangan. Antaranya ialah Kolej Islam Sains danTeknologi (KIST) yang menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma, Kolej Universiti TwinTech, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Open University bersama orang kuatnya Datuk Nik (saya juga sempat bertanya khabar dengan beliau), Kolej Polytech Mara Kelantan dan Kolej Teknologi Darulnaim iaitu kolej bersekutu dengan Universiti Teknologi Malaysia yang menawarkan program-program pengajian kejuteraan, pengurusan dan akan menambah beberapa kursus lagi dengan Universiti Kebangsaan Malaysia, Kolej Universiti Islam Selangor dan beberapa buah universiti dari luar negara.
Kehadiran YAB Perdana Menteri untuk melihat dan bertanya khabar mengenai kemajuan pendidikan di Kelantan amat bermakna kerana Kelantan juga tidak ketinggalan dalam memberi peluang pendidikan kepada semua lapisan masyarakat. Selain daripada dapat mengurangkan kadar buta huruf, pendidikan juga dapat membasmi kemiskinan tegar dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.
Pembangunan di Jeli agak ketara sejak beberapa tahun lalu dan yang terkini ialah pembinaan kampus tetap Universiti Malaysia Kelantan. Kini kampus sementera universiti awam ke-19 itu masih berselerakan di merata tempat khususnya di Pengkalan Chepa. Taman Bendahara adalah penempatan sementara mahasiswa UMK dan baru-baru ini turut ditenggelami air banjir paras lutut kerana kedudukannya sangat hampir dengan sungai. Biarpun di tebing sungai tersebut ditambak dengan pasir, penambahan isipadu air tidak mampu ditanggung oleh sungai yang kecil ini setelah air dari sungai utama dilepaskan.
Kampus tetap yang dibina di Jeli adalah pelengkap kepada institusi pendidikan yang lain seperti Makrab Rendah Sains Mara Jeli dan Politeknik Jeli yang masih dalam pembinaan. Pameran untuk mengenengahkan institusi awam dan swasta sempena kehadiran YAB Perdana Menteri ke Masjid Jeli selepas merasmikan jambatan Bukit Bunga-Ban Buketa pada sebelah paginya bagi memperlihatkan kemajuan yang ada di sini.
Kedudukan Jeli yang jauhnya dua jam perjalanan dari Kota Bharu amat terganggu dengan keadaan jalan raya yang berlopak dan berlubang. Keadaan jalan raya yang sempit juga menyukarkan pemandu untuk memotong kerana pemandu di Kelantan secara umumnya suka memandu perlahan di lorong sebelah kanan, keadaan yang sama seperti jalan raya di Brunei. Dalam erti kata lain, pemandu tidak dapat membezakan di antara memandu sebelah kiri jika tidak memotong dengan memecut laju di sebelah kanan untuk memotong.
Keadaan jalan raya yang berlopak bukan sahaja mengganggu kelancaran malah mengundang bahaya kepada pemandu yang tidak biasa dengan jalan ini. Tidak banyak usaha yang dibuat bagi membaiki keadaan jalan yang rosak ini kerana pihak berkuasa barangkali ingin memberi mesej kepada YAB Perdana Menteri untuk merasai sendiri gegaran kenderaannya ketika berada di atas jalan raya di Jeli.
Walaupun ada penanda kon di tempat berlubang ini, ia tidak banyak membantu pengguna jalan raya kerana sikap memandu laju dan tidak berhati-hati. Terdapat tiga kemalangan jalan raya yang melibatkan kereta dan kereta-motosikal berlaku di sepanjang perjalanan pulang penyelidik ke Kota Bharu.
Keadaan kenderaan yang bergerak dengan perlahan dan tersusun menyebabkan masa yang sepatutnya sampai ke Kota Bharu telah mengambil masa lebih daripada tiga jam.
No comments:
Post a Comment