Monday, December 24, 2007

Kemahiran sosial dan pembelajaran anak-anak bermula melalui pertuturan

Kemahiran bahasa merupakan kunci utama kepada pembelajaran yang efektif. Tambahan pula perkataan yang dibina menjadi bahan untuk pembelajaran mereka. Sebab itulah anak-anak yang fasih dalam sesuatu bahasa mampu memproses maklumat dengan pantas dan lebih tinggi pemahamannya.

Cara paling baik untuk mengajar anak-anak ialah dengan meluangkan lebih masa berbual dan mendengar apa yang ingin mereka luahkan. Galakkan mereka bercakap dengan anda. Berikan mereka ruang untuk mereka berkomunikasi. Dengan cara ini mereka dapat membina perbendaharaan kata, tatabahasa dan faham tentang sesuatu konsep itu. Kajian dalam perkembangan psikologi mendapati bahawa bertutur adalah satu cara minda menggabung dan menyusun sesuatu maklumat.

Ibu bapa seharusnya meluangkan masa sekurang-kurangnya 60 minit untuk berbual dengan anak-anak setiap hari. Walaupun sibuk, masa tersebut perlu dikhususkan untuk mereka. Bagi sesetengah ibu bapa, mereka mungkin perlu meletakkan peri pentingnya masa ini dalam diari atau jadual seharian mereka supaya tanggungjawab terhadap anak-anak mereka tidak diabaikan.

Berikut adalah beberapa tips berguna untuk mencetuskan perbincangan berilmu bersama anak-anak:

1. Ajak anak anda berbincang tentang perkara yang dipelajari di sekolah

Jadikan amalan untuk bertanya anak anda apa yang dipelajari sebaik sahaja mereka pulang dari sekolah atau taman didikan. Kebanyakan daripada anak-anak cukup gembira untuk menceritakan perkara-perkara menarik yang berlaku dalam kelas.

Perbualan anda boleh bermula dengan pertanyaan seperti "Ada cerita menarik ke di sekolah tadi?" Selepas itu bolehlah meneruskan perbualan dengan soalan yang lebih khusus seperti "Cuba cerita pada ibu apa yang adik belajar dalam kelas tadi," atau "Cikgu cerita apa dalam kelas hari ini," ataupun "Ayah dengar adik belajar pasal angka hari ini, boleh tak adik terangkan pada ayah pulak?"

Mengajak anak bercakap tentang sesuatu yang mereka anggap menarik adalah suatu yang mereka anggap baik, sebagai contoh, anda boleh bertanya soalan seperti, "Bukankan adik ada belajar perkara menarik di sekolah hari ini?" "Apa yang menarik sangat yang adik belajar di sekolah hari ini?" ataupun "Ceritalah kat ayah sebab ayah nak tahu jugak."

Perbualan-perbualan yang disebutkan tadi amat berguna untuk mengajar anak anda bertutur dan mentafsirkan segala pengalaman mereka dalam bentuk perkataan. Tambahan pula, perbualan-perbualan tersebut mampu menolong anak-anak menggabung dan menyusun kembali apa yang telah mereka pelajari. Sambil itu, ia membantu perbendaharaan kata serta melatih minda mereka dalam jangka masa panjang.

Satu lagi cara untuk menjana perbualan ialah dengan mengajak mereka mengajar andan apa yang telah diajar di sekolah. Contohnya, "Mak dengar adik belajar mengira hari ini, cuba adik ajar mak cara nak mengira?"

Anda pasti terpesona melihat bagaimana mereka mengajuk semula apa yang telah cikgu mereka lakukan dalam kelas. Malah kajian mendapati "bermain cikgu-cikgu" adalah salah satu permainan menarik dan berkesan yang biasa di mainkan oleh kanak-kanak berusia 5 hingga 8 tahun. Jika kanak-kanak boleh mengajar anda semula apa yang mereka pelajari di sekolah bermakna mereka benar-benar faham tentang sesuatu perkara itu.

2. Ajak anak-anak anda tentang perkara-perkara di sekeliling mereka

Ia boleh di lakukan ketika keluar berjalan-jalan atau menaiki kereta. Sewaktu anda berjalan di kompleks membeli-belah, tanya mereka apa yang mereka dapat perhatikan disekeliling, seperti, "Apa yang ada di dalam kedai tu? Cuba bagi tahu emak?" "Warna itu cantiklah, apa warna benda tu?" ataupun "Benda itu nampak menariklah, sayang tahu tak apa gunanya benda tu?"

Soalan-soalan sebegini akan menggalakkan mereka bercakap dan menyemai sikap suka memerhati dan belajar perkara-perkara yang mereka nampak di sekeliling Lebih menariknya, latihan-latihan sebegini dapat menambahkan perbendaharaan kata sehinggalah mereka berusia 10 tahun.

Begitu juga bila anda menaiki kereta untuk makan angin, di mana anda boleh bertanyakan kepada mereka perkara-perkara yang terlintas. Permainan ini biasanya sering dilakukan bersama anak perempuan. Contohnya, "Bapa nampak sesuatu benda yang bermula dengan huruf A". Biarkan mereka mencari dan meneka benda tersebut. Permainan ini secara tidak langsung akan melatih mereka mengeja.

3. Ajak anak-anak anda bercerita tentang buku yang mereka baca

Buku merupakan rakan paling baik untuk anak-anak anda. Ibu bapa digalakkan untuk melabur dalam pembelian buku keoada anak-anak sejak mereka mula memegang buku di tangan. Kebanyakan kanak-kanak yang berusia di bawah tiga tahun sememangnya belum boleh membaca. Namun buku-buku bergambar amat berguna sebagai maklumat pembelajaran. Ajaklah mereka bercerita tentang gambar yang mereka lihat dari buku.


Buku kanak-kanak yang paling baik mengandungi banyak ilustrasi, lengkap dengan maklumat yang membolehkan anak-anak melihat serta mempunyai penerangan. Para ibu bapa boleh mengatur proses pembelajaran anak-anak dengan mengajukan mereka soalan setiap kali mereka menyelak halaman buku. Soalan-soalan seperti "Apa yang sayang fikir tentang benda ini?" "Apa orang ini sedang buat?" "Apakah warna benda ini?" adalah antara soalan-soalan yang berguna. Bagi kanak-kanak kecil, selain dapat meningkatkan perbendaharaan kata, ia juga dapat membina keyakinan diri dalam pertuturan dan penyampaian mereka.

Bagi kanak-kanak yang sudah boleh membaca pula, ibu bapa seharusnya meluangkan lebih masa untuk menerangkan atau bercerita tentang buku yang dibaca. Antara soalannya ialah "Ceritakan lebih lanjut tentang misteri dalam buku yang sayang baca tu. Apa kesudahan ceritanya?" "Emak nampak sayang baca buku tentang gunung berapi, boleh tak terangkan pada emak tentang gunung berapi yang sudah meletup?"

Mengajak anak-anak untuk menerangkan apa yang mereka telah baca akan membantu mereka mengingat kembali maklumat yang telah mereka perolehi.

4. Ajak anak anda bercerita semula rancangan TV yang mereka tonton

Sungguhpun ibu bapa tidak digalakkan membiarkan anak-anak yang berumur bawah 3 tahun menonton TV, bagi kanak-kanak yang berusia lebih daripada itu, TV boleh menjadi sumber ilmu melalui rancangan-rancangan yang sihat. Saluran-saluran kartun dan penerokaan dewasa ini amat berguna untuk menggerakkan perkembangan minda mereka.

Ramai kanak-kanak mampu mengumpul dan mengingat maklumat daripada rancangan TV kegemaran mereka berbanding daripada pelajaran yang diterima di sekolah. Daripada sini, ibu bapa boleh mengambil peluang dengan menyuruh anak-anak menceritakan semula tentang rancangan yang mereka tonton.

Matlamatnya ialah untuk menggalakkan mereka bercerita kembali maklumat yang mereka lihat berbanding daripada menjadi penonton pasif semata-mata. Tanya mereka tentang watak kartun kegemaran mereka. Bagi kanak-kanak yang berusia 4 tahun ke atas, anda boleh ajukan soalan yang berbentuk emosi dan bermotif seperti "Kenapa sayang ingat orang tu melakukan perkara macam ini?" "Apa tujuan orang itu melakukannya?" ataupun "Apa perasaan budak itu bila rakan-rakan mentertawakannya?" Pemahaman tentang motif dan perasaan dikenali sebagai meta analisis dalam psikologi. Ia merupakan perkara penting dalam pembentukan intelektual kanak-kanak.

Kesimpulan

Bertutur akan membantu kanak-kanak menggabung, memproses dan menyusun perkara yang telah mereka pelajari. Ia juga melatih mereka berkomunikasi dengan lebih berkesan dan membina keyakinan diri. Salah satu perkara yang boleh kita lakukan sebagai ibu bapa ialah dengan meluangkan sedikit masa untuk berada bersama anak-anak setiap hari. Dengar apa yang mereka kata kerana kebanyakan daripada anak-anak lebih gemar menceritakan kepada anda apa yang mereka alami dan pelajari sekiranya anda dapatmemperuntukkan masa untuk mereka. Anak yang suka meluah dan menyampaikan apa yang mereka alami dan pelajari dapat membantu mereka menjadi seorang pelajar yang efektif.

[Utusan Malaysia]
Post a Comment