Perjalanan ke Rantau Panjang, Kelantan tidaklah lama, tidak sampai satu jam dari Kota Bharu. Pertama kali sampai ke sana, keadaannya lebih kurang sama seperti di Padang Besar, Perlis dengan peniaga memenuhi kiri dan kanan jalan. Barang-barang juga agak murah berbanding di tempat lain.
Beg duit, kasut kulit jenama terkenal dan pakaian banyak dijual. Hajat untuk melihat sendiri Sungai Golok akhirnya terlaksana kerana kedudukannya yang tidak jauh dari pekan Rantau Panjang dan pusat kawalan imigresen.
Rupanya sangat mudah untuk ke Narathiwat, Thailand. Dengan duduk memerhati di tebing Sungai Golok, saya dapat lihat pengusaha sampan di kiri dan kanan sungai ini berulang-alik membawa penumpang sama ada dari Malaysia atau Thailand. Untuk menyeberang, tidak sampai lima minit. Jika guna kemudahan ini, tidak perlu lagi hendak menggunakan pasport. Bayarannya di antara satu hingga dua ringgit. Sangat mudah untuk ke negara Thailand lebih-lebih lagi kepada penyeludup.
Hampir setengah jam memerhati pergerakan orang ramai yang menggunakan khidmat perahu ini, saya juga dapat lihat kesan-kesan banjir yang sangat ketara. Dengan paras air menenggelami Sungai Golok, perniagaan di pekan Rantau Panjang dan kawasan sempadan terjejas dengan teruk. Di sesetengah kedai, tuan punya kedai masih lagi melelong barang-barang yang telah rosak dengan harga murah dan menggantikannya dengan stok baru.
Manakala di seberang sungai, sebuah perahu besar mengangkut berkotak-kotak barang keperluan yang baru dibeli (mungkin dari Mydin Rantau Panjang) untuk dihantar ke Narathiwat. Saya bertanya kepada rakan yang mengiringi saya kenapa orang Siam ini berbelanja besar di Rantau Panjang. Beliau memberitahu besar kemungkinan selepas banjir besar baru-baru ini, banyak barang keperluan yang diperlukan khususnya yang halal seperti minyak masak, margerin, mee mentah dan sebagainya. Di Siam, agak sukar mempastikan kehalalan sesuatu produk walaupun ada tanda halal kerana penguatkuasaannya agak longgar.
Ketika kami berbual-bual mengenai aktiviti ekonomi penduduk sempadan, tiba-tiba muncul dua orang lelaki berbangsa Cina. Salah seorangnya bercakap Melayu loghat Kelantan yang pekat, pakaiannya lebih kurang orang lelaki kampung sedangkan rakan sebelahnya kelihatan kemas. Lalu dia mengeloi seorang pengusaha sampan di situ dan mereka terus ke seberang sungai.
Di seberang, lelaki Cina ini memanggil pula pengusaha motosikal yang membawa penumpang untuk ke bandar atau mana-mana kampung di Narathiwat. Sambil menjerit beliau menunjukkan isyarat dua. Tidak sampai lima minit, datang dua buah motosikal ke arah mereka. Bayaran untuk perkhidmatan ini mungkin dua tiga ringgit.
Selepas puas hati dengan pengalaman baru di Rantau Panjang, kami bertolak kembali ke Kota Bharu. Terdetik hati saya untuk singgah di kedai gunting rambut kerana memikirkan lebih sebulan tidak memotong rambut.
Kedai gunting pertama ramai orang. Ketika menyelak pintu untuk masuk ke premis ini, ruangnya sangat besar. Untuk menggunting rambut, kena tunggu sama seperti di bank. Dalam hati, saya berkata mungkin kedai gunting ini sangat terkenal. Saya beredar untuk ke kedai gunting seterusnya.
Di kedai guntung kedua ini, lama juga saya menunggu sehingga terlelap. Bangun-bangun tukang gunting sudah berehat tetapi sempat juga saya menegurnya untuk potong rambut.
Tukang gunting ini sudah berusia, orang tempatan dan dialeknya sukar untuk difahami. Mungkin beliau tahu saya bukan orang tempatan, dia mula bercerita tentang pengalamannya merantau ke seluruh Kelantan dan Terengganu. Bermula dengan cerita tempat orang India paling ramai di Kelantan iaitu di kawasan estet khususnya Tanah Merah. Dari situ beliau membawa aliran cerita tentang kemiskinan orang India ini. Ada sesetengahnya sudah tiga generasi bekerja di ladang getah. Hendak beli tanah tidak ada cagaran, hendak beli rumah tidak ada duit dan hendak berniaga, tidak tahu di mana hendak dapatkan modal.
Katanya kemiskinan orang India sama seperti orang Melayu dan Cina iaitu ada yang kaya dan ada yang miskin. Bezanya orang Melayu lebih ramai dan nampak terserlah berbanding India. Dari segi pendapatan, beliau bersetuju jika kerajaan mengenakan bayaran gaji minimum untuk pekerja ladang kerana harga getah sekarang semakin tinggi. Satu kilo getah keping sudah RM7 sekilo itu pun belum campur lagi susu getah dan skrap getah. Gaji yang pekerja estet ini dapat ialah RM16 sehari. Bayangkan dengan keluasan ladang getah berhektar, berapa banyak majikan memperoleh pendapatan dalam sehari, seminggu atau sebulan? Tentu ianya lebih banyak dan majikan sebenarnya tidak ada masalah untuk membayar gaji RM900 sebulan kepada pekerja ladang.
Masalah sebenarnya ialah kerajaan tidak mahu menekan pihak majikan yang banyak membuat untung. Disebabkan itulah kemiskinan khususnya di kalangan pekerja ladang dari golongan kaum India tidak banyak berubah.
Keadaan ini menekan mereka untuk hidup pada hari ini. Barang-barang keperluan dan belanja untuk pendidikan yang semakin meningkat menyebabkan hidup mereka tertekan dan ingin meluahkannya kepada pemimpin mereka yang berada dalam kerajaan. Barangkali senang dengan keadaan hidup mereka, pemimpin-pemimpin ini mengabaikan suara hati masyarakat India. Kesempatan ini diambil oleh segelintir masyarakat India yang telah tidak tahu bagaimana hendak menyatakan suara hati orang miskin melainkan dengan membuat bantahan melalui demonstrasi. Mereka memohon permit tetapi tidak diluluskan.
Apabila tuntutan tidak dilayan, apa lagi cara untuk mereka menyatakan kesusahan hidup ini? Demonstrasi terpaksa juga diadakan supaya kerajaan tahu dan sedar keadaan hidup masyarakat bawahan yang semakin susah sekarang. Apabila dibuat demonstrasi haram, mereka dipukul dan dikenakan tuduhan di mahkamah sedangkan suara hati orang miskin India tidak lagi didengari.
Tukang gunting ini, walaupun tidak berpelajaran tinggi tetapi mampu menganalisis keadaan sebenar yang berlaku di sebalik satu demi satu diadakan demonstrasi. Beliau berpendapat jika kerajaan membenarkan demonstrasi diadakan, dengar apa yang ingin disampaikan, mendengar luahan hati dan masalah mereka, itulah yang terbaik. Keadaannya sama seperti seorang ayah dengan anaknya. Jika anak hendakkan sesuatu, dengar dulu apa dia mahu cakap, bukannya terus memukul kerana meminta-minta. Kalau permintaan anak ini tidak mampu diberi oleh ayah, sepatutnya si ayah beritahu dan jelaskan kepada anak. Cakap terus-terang yang ayah tidak mampu, tidak ada duit dan sebagainya supaya anak faham keadaan ayah, bukannya mengambil rotan dan memukul tanpa ada belas simpati kepada anak.
Sama seperti demonstrasi sekarang, kerajaan mesti membenarkannya dibuat supaya mereka yang terlibat ini dapat meluahkan isi hati dan meminta apa yang mereka mahu. Keputusan sama ada menerima ataupun tidak tuntutan itu, ia bergantung kepada kemampuan kerajaan. Jika mampu, kerajaan beritahu kemampuannya, jika tidak mampu, perjelaskan keadaan kerajaan dan berikrar akan melakukan sesuatu.
Begitulah panjang lebar corak pemikiran seorang tukang gunting yang mengambil masa agak lama untuk menyiapkan kerja memotong rambut saya. Barangkali beliau ingin menyampaikan mesej kepada saya supaya berfikir tentang isu sebenar masyarakat India dan cara kerajaan patut berfikir.
Saya mendengar semua cakap dan luahan tukang gunting rambut ini dengan teliti.
Di dalam hati saya, jika begini cara berfikir warga emas yang bekerja sebagai tukang gunting di Kelantan yang berada di bawah pentadbiran pembangkang, dengan bercerita kepada setiap pelanggannya, saya fikir kerajaan pusat berada dalam keadaan sukar untuk merampas Kelantan dalam pilihan raya akan datang. Pada saya, corak berfikir masyarakat Kelantan sangat berbeza dan tidak terpengaruh dengan cerita yang dimuatkan di dalam surat khabar atau televisyen.
Sebelum tidur saya sempat berfikir kata-kata tukang gunting rambut ini iaitu kerajaan harus menjadi seperti ayah kepada rakyatnya. Dengar apa yang mereka mahu, terima pandangan mereka dan jika tidak mampu, beritahu keadaan sebenar supaya si anak tidak merajuk dan lari dari rumah. Zaman sekarang ini jika anak-anak merajuk, dia akan lari dari rumah. Dalam pilihan raya, jika rakyat sudah tertekan dan tidak lagi percaya kepada kerajaan sedia ada, mereka akan beri undi kepada orang lain.
No comments:
Post a Comment