Monday, December 24, 2007

Chronicle Of Malaysia: 1957-2007: Fifty Years Of Headline News

Penyunting: Philip Mathews
Penerbit: Editions Didier Millet
Pengulas: Azman Anuar


Buku Chronicle of Malaysia ini merakamkan peristiwa penting mengenai kisah masyarakat, politik, ekonomi, teknologi, sukan dan kebudayaan yang mencetuskan kenangan silam bagi rakyat Malaysia.

Malah tidak salah jika dikatakan buku ini memberitahu cerita sebenar mengenai Malaysia dari sebelum merdeka hingga 31 Ogos 2007.

Melalui paparan sejarah penuh dramatik di Malaysia, buku ini seolah-olah membawa pembaca mengimbau peristiwa yang berlaku sepanjang 50 tahun lalu.

Susun letak halaman buku ini disesuaikan untuk memudahkan pembacaan dan mengikut pendekatan gaya surat khabar.

Buku ini disusun secara kronologi dengan purata lapan muka surat dikhaskan bagi memuatkan peristiwa setiap tahun. Setiap liputan tahun berkenaan itu diberi ulasan mengenai peristiwa utamanya.

Tema setiap tahun dipaparkan dengan peristiwa besar mengenai politik dan ekonomi menjadi sajian wajib. Bagaimanapun tumpuan utama buku ini sudah tentu pada bahagian kisah-kisah rakyat Malaysia yang mencipta sejarah dalam sukan, fesyen, muzik, seni, seni bina, gaya hidup, bencana, jenayah dan masalah sosial.

Membuat buku yang merakam peristiwa 50 tahun negara ini bukan mudah. Bayangkan pasukan penyelidik buku Chronicle of Malaysia ini terpaksa membelek lebih daripada 18,000 laporan berita surat khabar tempatan untuk dimasukkan ke dalam buku ini.

Kita perlu diingatkan bahawa majalah tempatan atau luar negara, sama ada yang masih diedar atau tidak lagi wujud sebenarnya mempunyai nilai yang tinggi sebagai bahan sumber.

Untuk memastikan bidang buku ini menyeluruh, banyak gambar dan ilustrasi dikumpul dari pelbagai sumber termasuk koleksi sumber luar negara atau persendirian.

Di Malaysia kebanyakan sumber bahan diambil dari arkib Utusan, The Star, The New Straits Times, Bernama, Arkib Negara Malaysia, Jabatan Penerangan dan Filem Negara.

Oleh sebab itu, kita akan dapat membaca banyak kisah di sebalik tuntutan kemerdekaan, darurat, konfrontasi, bahkan mencoretkan kisah gosip P. Ramlee, Rose Chan dan Sudirman.

Kisah jenayah terhebat dalam tempoh lima dekad itu turut menjadi fokus. Barangkali ada yang ingin mengimbas kisah Mona Fendy, Botak Chin dan ‘Bentong Kali’ atau Kalimuthu.

Dalam sukan, kita diajak mengimbau laporan akhbar tentang kejayaan negara merangkul Piala Thomas dan kegemilangan menjadi tuan rumah Sukan Komanwel.

Bersandarkan pada laporan surat khabar tempatan, maka pembaca bagaikan dibawa mengenang peristiwa yang berlaku pada tahun-tahun berkenaan.

Kita dapat membaca laporan berserta gambarnya sekali. Jadi boleh dikatakan apa yang menjadi kisah utama di muka depan akhbar-akhbar arus perdana ketika kejadian tertentu terjadi, dipaparkan semula di dalam buku ini.

Buku ini menceritakan kisah sebenar dan merakam gambar dramatik peristiwa yang terpahat selama 50 tahun Malaysia merdeka.

Dengan 384 halaman berita muka depan akhbar, lebih daripada 2,400 laporan berita sepanjang 50 tahun serta lebih 1,200 ilustrasi termasuk 30 kartun Lat, sudah tentu kita berasa asyik membelek satu demi satu helaian buku ini.

Buku ini juga cuba mengetengahkan lebih 200 tempat berlaku kejadian sepanjang lima dekad itu.

Dengan gambar dan ilustrasi dari pelbagai sumber termasuk koleksi individu tempatan dan luar negara, kita terpukau untuk menatap foto yang mungkin jarang kita temui di mana-mana buku.

[Utusan Online]

No comments:

Post a Comment