Sukar mengikis pandangan serong masyarakat terhadap kepentingan pendidikan seks kepada golongan muda biarpun senario dunia hari ini memerlukan pendekatan itu.
Dibelenggu sikap tabu, menyebabkan sebahagian besar golongan muda mudah hanyut atau menjadi mangsa kejam penjenayah.Biarpun isu ini diakui sensitif dan sukar diterima masyarakat dengan alasan melanggar norma budaya, kepentingannya wajar dilihat dalam pelbagai aspek. Antaranya, daripada aspek keselamatan, kepentingan awam dan pembelajaran ilmu.
Bagaimanapun, kewajaran mengajar pendidikan seks di sekolah harus ditangani dengan baik mengikut lunas masyarakat, agama dan menekankan aspek sensitiviti budaya agar tidak menimbulkan prejudis.
Pengerusi Majlis Guru Bimbingan Kuala Lumpur, Meon Hassan, berkata pengenalan pendidikan seks wajar ditekankan kepada pelajar supaya mereka tahu tahap batas pergaulan dengan rakan sebaya dan yang berlawanan jantina.
Bagaimanapun, pembelajaran itu harus dilakukan dengan aspek betul tanpa menimbulkan tanggapan ‘lain’ di kalangan pelajar sekali gus tidak memburukkan lagi keadaan.
“Dalam senario dunia hari ini, saya kira pendidikan itu wajar ditekankan supaya pelajar tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan orang lain terhadap diri mereka. Bagaimanapun, skop pembelajaran perlu dilakukan secara sopan supaya pelajar tahu mereka sebenarnya sedang belajar bukan untuk tujuan lain.
“Guru pula disarankan lebih terbuka menjawab persoalan pelajar kerana maklumat betul akan membantu pelajar menangani perubahan diri dan fizikal serta pelbagai persoalan baru yang mungkin timbul,” katanya.
Walaupun pendidikan seks masih belum ditekankan secara meluas, pada 2005 Kementerian Pelajaran mengambil inisiatif merangka draf Garis Panduan Pendidikan Seksualiti Kebangsaan bagi membimbing golongan muda mengenai pendidikan seksual.
Draf berkenaan mengandungi enam teras meliputi perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran diri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya.
Golongan sasaran adalah pelajar prasekolah seawal usia empat hingga enam tahun, pelajar berusia tujuh hingga sembilan tahun yang dikategorikan sebagai Tahap 2, awal remaja 10 hingga 12 tahun (Tahap 3), remaja 13 hingga 18 tahun (Tahap 4) dan 19 tahun ke atas meliputi mahasiswa, ibu bapa serta warga emas (Tahap 5).
Bagaimanapun, pendidikan seksualiti tidak akan menjadi satu mata pelajaran khusus tetapi pengisiannya dimasukkan dalam subjek lain seperti Sains, Biologi, Pendidikan Islam dan Moral, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Selepas lima tahun, draf berkenaan akan diperbaharui dalam aspek kurikulum, mempertingkat kemudahan di sekolah dan mengemaskini latihan guru. Tindakan untuk menjadikannya sebagai subjek khas juga akan ipertimbangkan.
Mengaitkannya dengan keperluan masa kini, Meon berkata, penekanan sedia ada memang bermanfaat namun perlu dipertingkatkan supaya pelajar lebih memahami dan tidak hanya memperoleh informasi asas semata-mata.
“Sekarang ini tiada penekanan khusus melainkan dalam beberapa subjek tertentu. Itupun dilaksanakan atas inisiatif guru sendiri dan penerangannya secara asas. Dalam keadaan itu, saya percaya pelajar sukar mendapat maklumat jelas dan lengkap sekali gus menyebabkan mereka cuba mencari daripada sumber lain.
“Keadaan ini lebih berbahaya kerana mereka mungkin memperoleh maklumat salah. Bukankah lebih elok kalau mereka memperolehnya daripada guru dengan penerangan lebih terang dan jelas kerana ada lebih penekanan,” kata Meon.
Bagaimanapun, kebanyakan budaya masyarakat dunia sukar menerima mengenai pendidikan seksualiti sekali gus boleh menyekat perkembangan maklumat kepada golongan muda.
India misalnya mengharamkan pendidikan seks di sekolah dengan alasan bertentangan dengan budaya masyarakat negara itu sekali gus menjadikan beberapa negerinya mempunyai statistik teratas HIV/Aids di dunia.
Dalam pada itu, penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim, berpendapat cara paling berkesan untuk mengelakkan diri menjadi mangsa ialah dengan mendidik kanak-kanak dari peringkat awal.
“Menjadi tanggungjawab utama ibu bapa mendidik anak-anak supaya dapat menjauhi situasi yang boleh menyebabkan mereka terjerumus seterusnya menjadi mangsa jenayah seksual. Ibu bapa perlu peka mengenai pendidikan seks agar mereka boleh memberi penerangan kepada anak-anak kerana tanggapan pendidikan seks perkara yang memalukan, perlu diubah.
“Kanak-kanak perlu didedahkan soal jenayah seksual kerana ini membabitkan masa depan mereka. Berterus teranglah kerana ibu bapa individu paling hampir dan sesuai mendekati anak mereka,” katanya.
Mengenai kesukaran ibu bapa memberi pendidikan awal mengenai seks kepada anak dengan pelbagai alasan, Meon berkata ibu bapa sebenarnya golongan terbaik memikul tanggungjawab itu. “Masalahnya, sebahagian besar masyarakat atau ibu bapa tidak bersikap terbuka apabila ada anak bertanya menyebabkan persoalan itu tergantung.
“Apabila tidak mendapat jawapan, anak mungkin tidak berpuas hati dan menganggap tindakan itu betul sedangkan ia salah.
“Apabila ini berlaku, siapakah harus dipersalahkan? Ibu bapa atau masyarakat akan menuding jari kepada guru, sekali gus lebih merumitkan keadaan,” katanya sambil menambah penyelesaian boleh dilaksanakan bukan dengan cara pertelingkahan tetapi kerana tanggungjawab.
“Dalam hal ini, saya berpendapat bukan guru saja memainkan peranan penting tapi semua pihak. Jangan lepaskan tanggungjawab kepada sesuatu pihak sehaja.
“Pengenalan terhadap pendidikan seks juga boleh membantu asalkan dilakukan dengan betul dan bagi mendidik selain membuat pemantauan terhadap penggunaan media massa dan Internet.
“Pada pendapat saya, ia tidak salah selain masyarakat juga lebih bersikap terbuka demi kebaikan bersama,” katanya.
Guru di Johor, Suspa Abdul Hamid, berkata usaha memperkenalkan pendidikan seks perlu relevan dengan kehendak perkembangan golongan muda hari ini. Menurutnya, walaupun dinamakan pendidikan seks, tidak seharusnya ia diisi dengan perkara luar batasan tetapi lebih terarah kepada keperluan informasi seperti menyediakan asas kepada golongan muda mengenai perhubungan lelaki dan wanita, perubahan bentuk badan, emosi, sistem reproduktif, hubungan seks, kehamilan, cegah hamil, pengguguran dan penyakit kelamin.
“Pada pendapat saya, pelajar hari ini perlu tahu mengenai pendidikan seks tapi cara pembelajarannya perlu berlapik, atas fakta pembelajaran dan ilmu. Ia bukan untuk suka-suka tapi soal pendidikan.
“Generasi hari ini tidak seperti dulu, sikap mereka sangat terbuka dan sukar dijangka. Bayangkan kalau tidak ada mekanisme diambil bagi membantu mereka, apa bakal berlaku dalam kelompok sosial golongan ini?
“Semua pihak harus bersikap terbuka dan membantu golongan muda ini mengharungi cetusan emosi dan rasa ingin tahu mereka. Biar caranya tampak janggal asalkan maklumatnya bermanfaat,” katanya.
[Harian Metro Online]
No comments:
Post a Comment