Setelah seminggu penyokong Hindraf melepaskan kemarahan mereka ke atas pasukan polis dan agensi penguatkuasa, nada ketegasan kepimpinan pertubuhan itu nampaknya agak kendur sedikit. Jika sebelum ini mereka begitu agresif menyalahkan polisi kerajaan yang menyebabkan masyarakat India di Malaysia dipinggirkan melalui tuduhan pembersihan etnik, kini mereka mahu pula bertemu dengan musuh yang mereka sendiri menciptanya iaitu ketua kerajaan: Perdana Menteri.
Dalam masa seminggu ini juga, pemantauan bebas ke atas laman web sosial dan ruang sembang maya memaparkan emosi yang bercampur. Ada yang marah, kesal, mencaci dan sedih. Laman YouTube.com umpamanya memperlihatkan sentimen kata-mengata di antara kelompok Melayu, Cina dan India berkaitan keadaan hidup, peluang bekerja dan perdebatan sebab-musabab kenapa masyarakat India terpinggir. Ada seorang pelayar yang meminta penyokong Hindraf balik ke India kerana di situlah mereka datang tetapi dibantah kerana Malaysia adalah tanah tumpah darahnya. Ternyata di sini ada elemen “benci tapi sayang.”
Ruangan sembang maya turut memaparkan keadaan yang sama. Seorang pelayar Internet mengutuk keras memorandum Hindraf kepada Ratu Elizabeth II kerana berpendapat masyarakat India yang menyokong tuntutan Hindraf sebagai lupa diri dan tidak mahu menerima hakikat bahawa India dan Malaysia adalah dua buah negara yang berbeza.
Ada juga Yahoogroups yang dikemudikan oleh kelompok yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Tamil Malaysia yang membincangkan keadaan masyarakat India di Malaysia. Kelompok ini lebih daripada 4,000 ahli menerima kenyataan bahawa masyarakat India di Malaysia masih jauh ketinggalan, sekali-sekala mengkritik polisi kerajaan dan keberkesanan peranan MIC bagi memajukan orang India dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan dan perniagaan.
Debat di antara pemimpin kerajaan dan pembangkang berterusan dan ruang bagi mencari jalan kepada masalah masyarakat India semakin terbuka. Menteri Besar Selangor umpanya meminta orang India sendiri melihat kembali sikap mereka kerana telah banyak ruang dan peluang yang diberikan oleh kerajaan bagi kaum itu. Hanya mereka sahaja yang tidak dapat memenuhinya kerana enggan mengambil peluang berkenaan yang antara lain ialah bantuan rumah, peluang pekerjaan dan melanjutkan pelajaran. Kegagalan merebut peluang dan bersaing dengan kaum-kaum lain menjadi penentu kepada peminggiran kaum itu sama ada di bandar ataupun luar bandar.
Nada yang lebih lebih tegas ialah pelucutan taraf hak warganegara kerana tindakan Hindraf didapati boleh menjurus kepada merosakkan perpaduan etnik dan kemajuan negara yang telah dibina sejak 50 tahun yang lalu.
Pemimpin pembangkang melihat dari perspektif yang berbeza. Tidak membenarkan perhimpunan umum dan menindas kaum minoriti adalah idea yang dibentangkan kerana amalan demokrasi dilihat tidak dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan yang memerintah. Justeru, tidak ada masalahnya Hindraf menyerahkan memorandum kepada Pesuruhjaya Tinggi British. Penekanan kepada “demokrasi” lebih penting kerana pihak yang sangat berminat dan menjuarai konsep ini ialah Amerika Syarikat dan negara-negara Barat yang lain.
Hindraf dilihat daripada pelbagai perspektif: politik, ekonomi dan sosial. Masyarakat India di Malaysia masih ketinggalan dalam pelbagai bidang dan mereka juga berjaya dalam bidang-bidang tertentu. Kemiskinan memang melata di kawasan ladang dan estet tetapi konsep miskin yang diukur itu ialah tidak ada pendapatan dalam bentuk wang ringgit, bukannya harta benda. Majikan menyediakan rumah dan keperluan lain bagi mereka bekerja seperti sekolah untuk anak-anak, kemudahan kesihatan dan pengangkutan.
Di bandar, orang India sangat gigih bekerja dan akan melakukan apa sahaja aktiviti yang dapat memberikan wang bagi menyara hidup. Seorang pemuda yang saya perhati amat tekun mencuci kereta pelanggannya dari pukul 4 pagi hingga 7 pagi setiap hari di sebuah kawasan perumahan. Setiap kereta akan dicuci tiga kali seminggu dengan bayaran RM38 ringgit satu bulan. Dalam sebulan beliau mendapat hampir RM1,000. Modalnya hanyalah sebaldi air, kain pencuci, kain pengelap dan sebuah basikal tua. Rutinnya yang tetap menjadikan pelanggan berpuas hati dan gembira dengan hasil kerja yang dilakukan.
Masyarakat India di kawasan luar bandar didapati sangat terikat dengan amalan agama yang mementingkan ritual berbanding di bandar. Jadi, bekerja kuat dan bersungguh-sungguh bukanlah sesuatu yang diberi keutamaan. Perubahan sekeliling dan pendidikan yang diterima menjadikan masyarakat India di kawasan bandar lebih cepat menyesuaikan diri dengan amalan agama dan arus perubahan hidup. Ini bukan bermakna mereka tidak lagi alim tetapi lebih kepada membawa agama Hindu ke arah yang lebih berdaya tahan dan mengenengahkan konsep beragama tidak akan membawa kemunduran.
Kajian oleh Yayasan Strategik Sosial iaitu insitusi pemikir MIC mendapati keciciran sekolah menjadi masalah kepada penyakit sosial di kalangan generasi muda kaum India. Pendidikan yang menjadi teras kepada kejayaan masa depan anak-anak muda tidak diperolehi dengan sebaiknya. Impak keadaan ini ialah kegagalan kaum India untuk bersaing dengan kaum-kaum lain yang lebih berani kehadapan dan sedia menghadapi cabaran.
Kes jenayah dan gengsterisme yang melibatkan anak-anak muda kaum India semakin meningkat khususnya di kawasan berprofil tinggi seperti Klang dan Kuala Lumpur. Kenyataan Hindraf yang mengaitkan hampir 60 peratus penjenayah yang ditembak mati oleh polis adalah kaum India tidak boleh dikaitkan secara langsung kerana motif kepada setiap kejadian adalah berbeza-beza. Kajian yang lebih terperinci wajar dilakukan bagi mengenal pasti keadaan tersebut kerana ada yang berpendapat peningkatan kes jenayah di kalangan generasi muda India adalah kerana pengaruh filem dari negara India yang menyelitkan unsur-unsur keganasan.
Masyarakat India di Malaysia adalah etnik minoriti tetapi peranan mereka juga amat signifikan bagi membangunakan negara. Berbeza dengan etnik India di Fiji yang membentuk hampir 48 peratus daripada keseluruhan penduduk, mereka juga memonopoli perdagangan dan pernah menguasai politik negara jajahan British itu. Di Malaysia, etnik India diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam politik, ekonomi, sosial dan pendidikan. Menjadi tanggungjawab pemimpin India untuk merancang usaha bagi kepentingan mereka kerana dalam sistem yang bersaing, yang malas dan masih bersikap tidak apa akan terus ditinggalkan.
Walaupun ada program pembangunan yang dirancang, mereka tetap akan ditinggalkan kerana pemikiran dan perlakuan yang ada pada mereka. Bangsa India bukannya malas kerana tidak pernah ada mitos bangsa pemalas di dunia ini. Yang ada adalah bentuk pemikiran, sikap dan tingkah laku yang tidak membangun ke arah kejayaan dan kemajuan.
No comments:
Post a Comment