Jambatan baru yang merentangi Bukit Bunga, Jeli ke Ban Buketa, Narathiwat hanyalah sepanjang 120 meter merentangi Sungai Golok. Dibuka secara rasmi pada 21 Disember 2007 yang lalu, akan memberi senario baru kepada pembangunan di selatan Thailand yang disifatkan sama keadaannya seperti negeri Kelantan pada tahun 1960-an.
Dua implikasi besar yang dijangka akan berubah ialah pertumbuhan ekonomi dan mengeratkan hubungan dua hala di antara masyarakat yang berkongsi bahasa, budaya dan agama ini.
Kesempatan yang diberikan kepada orang ramai untuk melihat dan meninjau jambatan ini memberi peluang kepada penyelidik untuk merasai sendiri suasana segar udara Sungai Golok yang memisahkan kedua-dua negara.
Di sebelah Malaysia, orang ramai diminta untuk meletakkan kenderaan di simpang tiga berhadapan dengan pusat kawalan kastam, imigresen dan polis serta terpaksa berjalan hampir 500 meter untuk sampai ke muka jambatan. Di tengah-tegah jambatan ini terdapat dua garisan kuning yang menandakan pemisahan sempadan.
Di sebelah Malaysia, dari jauh lagi dapat melihat penempatan masyarakat Melayu Islam yang membentuk sebuah kampung yang kelihatan dhaif di pinggir Sungai Golok. Terdapat sebuah surau yang kelihatan uzur. Kampung ini juga ada beberapa buah kedai runcit untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Oleh kerana pos sempadan hanya akan dikuatkuasakan operasinya pada pukul 7.00 malam, penyelidik dapat berjalan ke bahagian kampung ini tanpa ada halangan biarpun pihak tentera mula meletakkan kawat berduri dan merancang membuat hadangan. Dua buah trak tentera sibuk memunggahkan barang-barang bagi membina kawalan di samping beberapa orang anggota tentera melihat pergerakan orang ramai yang keluar dan masuk.
Sementelahan orang ramai dari Malaysia mula berjalan dan memenuhi perkarangan jambatan, masyarakat Melayu di Ban Buketa dengan kenderaan kereta, pick-up dan motosikal berpendaftaran Thailand bebas keluar masuk dan diletakkan di tepi jambatan. Ternyata pembukaan jambatan ini memberi nafas baru kepada mereka untuk merasai keamanan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia.
Ketika meninjau di sekitar jambatan, kedengaran azan Asar dilaungkan dari surau yang uzur tadi. Uzur kerana tiga alat pembesar suara yang dipasangkan di luar surau hanyalah diletakkan pada tiang besi setinggi tiang elektrik di tepi jalan raya yang biasa kita lihat. Infrastruktur pula tidak ubah seperti rumah kampung yang dibesarkan. Dalamnya pun agak kusam dan kelam.
Ketika berjalan-jalan, saya sempat juga bertanya kepada lima orang kanak-kanak yang sedang membaiki sebuah basikal buruk.
"Semuo ni dudok mano?"
"Buketa," jawab salah seorang daripada mereka.
Saya bertanya lagi, "Sika sapo ni?"
Yang lain pula menjawab, "Saya."
Sambil membelek dan memegang basikal, saya bertanya lagi.
"Mu boleh kecek Sie ko?"
Kanak-kanak yang tua sekali dan berbaju kuning hanya mengangguk.
Hajat ingin menghulurkan wang RM10, tapi tidak kesampaian kerana kumpulan kanak-kanak ini terus berpatah balik ke tengah jambatan.
Perbezaan negara tidak mampu memisahkan bahasa, budaya apatah lagi agama masyarakat Melayu serumpun. Walaupun di sebelah Malaysia tidak ada perkampungan yang hampir dengan jambatan ini, di Ban Buketa terdapat sebuah perkampungan Melayu yang mungkin dapat memecahkan kesunyian di pusat kawalan yang bakal dibina, Kompleks Imigresen (CIQ) Bukit Bunga yang bernilai RM37.2 juta. Kompleks ini bakal menempatkan pejabat empat tingkat yang memuatkan Jabatan Imigresen, Kastam, Polis, Kesihatan, Perhutanan dan Jabatan Haiwan.
Kedhaifan yang jelas dapat dilihat dan dirasai di sebelah Buketa amat mengharukan kerana tidak banyak pembangunan di sini. Anak-anak muda yang bermotosikal tidak bercakap siam sebaliknya bertutur bahasa Melayu dialek Kelantan. Sosiobudaya masyarakat di sini tidak dapat dilunturkan oleh gerakan asimilasi kerajaan Thailand yang memaksa penggunaan bahasa siam dan dominasi agama buddha.
Ketika berbincang dengan seorang intelektual dari Kelantan yang memahami benar masalah kemiskinan dan penentangan selatan Thailand, saya maklum betapa kekerasan akan dibalas dengan kekerasan. Tindakan bekas perdana menteri, Thaksin yang membunuh hampir 78 orang penunjuk perasaan dalam peristiwa Tak Bai tidak akan membawa keamanan kerana pendekatan yang digunakan adalah salah.
Kenyataan YAB Perdana Menteri sewaktu merasmikan jambatan ini diharap akan merubah sosioekonomi masyarakat Buketa dan di sekitarnya supaya seiring dengan kemajuan di Kelantan. Program pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bakal mencetus perubahan di Kelantan khususnya dan limpahan pembangunan ini juga diharap akan dibawa ke kawasan penempatan masyarakat Melayu Islam di Narathiwat.
Selain pembangunan fizikal, masyarakat Melayu Malaysia juga dapat memberi kepakaran mereka dalam pembangunan modal insan kerana tidak ada bezanya dari segi bahasa, budaya dan agama penduduk setempat. Kursus intensif kaedah belajar, peluang-peluang belajar di institusi pengajian tinggi di Malaysia ataupun kursus-kursus kemahiran boleh diteroka di sini.
Walaupun miskin, masyarakat di sini gigih berusaha dan berniaga. Tidak ada halangan bagi pengusaha Malaysia untuk meluaskan jaringan perniagaan dan rakan niaga yang mana ada sesetengah bidang, teknologi mereka sangat berkesan seperti pertanian.
Sekolah-sekolah yang berkemampuan dapat membiayai kemasukan pelajar dari Narathiwat seterusnya menjadikan mereka sebagai ejen perubahan di dalam masyarakat supaya tahap kemiskinan dapat dikurangkan, kefahaman agama dipertingkatkan dan keamanan dapat dikembalikan. Menjadikan pendidikan sebagai ejen perubahan sosial di dalam masyarakat adalah stretagi tepat untuk melonjakkan pembangunan.
Pembinaan jambatan ini yang dikenal pasti di bawah Strategi Pembangunan Bersama kawasan sempadan yang dimulakan pada 2004 adalah pendorong kepada perubahan masyarakat miskin melalui limpahan ECER.
Kita ingin melihat masyarakat Melayu di Narathiwat akan lebih maju, menikmati pembangunan yang sepatutnya telah lama mereka nikmati dan tidak dipinggirkan oleh kerajaan Thailand. Pada masa yang sama kita tentu tidak mahu melihat masyarakat Islam di sini terus diburu dan dibunuh oleh askar Thailand yang curiga dengan perkembangan dakwah Islam.
Jambatan Bukit Bunga-Ban Buketa ini adalah harapan kepada masyarakat Melayu Islam di selatan Thailand untuk merasai kemajuan setelah dipinggirkan beberapa dekad oleh kerajaan Thailand kerana diskriminasi kaum dan agama.
No comments:
Post a Comment