Sunday, December 23, 2007

Melapor dan menilai penyelidikan kualitatif

Dalam kajian kualitatif, tidak ada format yang tetap dan standard untuk menulis laporan kerana kandungannya bergantung kepada minat pembaca dan tujuan penyelidikan dilakukan. Walau bagaimanapun, beberapa faktor menyumbang kepada proses penulisan laporan ini.

Pertama, tidak ada masa khusus untuk tamat dan memulakan penulisan. Kedua, data yang banyak perlu dipilih dan dipecahkan kepada kategori, tema atau teori. Ketiga, tidak ada format khusus untuk menulis laporan. Bagaimanapun laporan yang telah siap boleh disampaikan dalam bentuk lisan, bergambar atau tulisan.

Menulis laporan melibatkan langkah-langkah berikut:

1. Mengenal pasti audiens atau pembaca untuk menentukan apa yang perlu dimasukkan ke dalam laporan, bahagian yang wajar diberi perhatian dan tahap kesukaran yang perlu disediakan. Kehendak audiens dapat membantu penyelidik menstruktur kandungan laporan dan merancang perubahan jika perlu.



2. Menentukan fokus kerana ianya ditentukan oleh audiens, tujuan kajian dan ekstrak yang didapati semasa menganalisis data. Fokus ini boleh jadi pada bentuk laporan, metodologi atau analisis hasil dapatan.


3. Merangka laporan di mana sebelum menulis laporan, semua data berkaitan mesti disemak dan disusun. Langkah-langkah berkenaan ialah kumpulkan data dan kenal pasti matlamat audiens; tentukan tema kajian; dan menulis draf yang pertama.

Menulis laporan kualitatif memerlukan tumpuan diberikan kepada kandungan kajian. Perkara-perkara penting persoalan kajian, metodologi dan hasil dapatan, analisis dan membuat kesimpulan. Sekiranya kualiti kajian berkenaan baik, ianya boleh diterbitkan sebagai sebuah buku.

Bogdan dan Biklen memberi beberapa cadangan bagi meningkatkan kemahiran menulis laporan kualitatif seperti menggunakan nada yang aktif (nyatakan secara terus-terang), menggunakan kamus dan thesaurus, banyak membaca artikel dan buku berkaitan kajian kualitatif, mengkaji kaedah penulis-penulis berkenaan membentangkan data, membuat sesi soal-jawab, menyusun ayat dan mengatur format laporan mereka.

No comments:

Post a Comment