Penghujung 2007, Pakistan menghadiahkan berita buruk kepada umat Islam di seluruh dunia. Tindakan membunuh bekas perdana menteri, Benazir Bhutto amat mendukacitakan. Sebahagian masyarakat dunia mengecam tindakan ini dan meminta kerajaan Pakistan mengadakan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pembunuhnya.
Arena politik negara Asia Selatan itu silih berganti kepimpinan awam dan tentera. Kematian Benazir tidak akan mematikan keghairahan pemimpin-pemimpin politik Pakistan untuk bertelagah mendapatkan kuasa. Rakyatnya juga tidak akan mati semata-mata mempertahankan Benazir malah penyokong-penyokong beliau akan mencari seseorang untuk memberi sokongan.
Persekitaran politik Pakistan diwarnai dengan emosi. Rakyatnya yang masih ramai buta huruf, hidup dalam kemiskinan dan bertindak mengikut emosi tidak boleh dijadikan ikutan.
Bekas perdana menteri wanita pertama, Benazir bukannya boleh dijadikan ukuran kejayaan kepimpinan sebaliknya memberi keinsafan kepada kita untuk membaiki peranan dan keberkesanan sebagai pemimpin negara. Dua kali dipecat sebagai perdana menteri kerana kesalahan rasuah adalah amat teruk. Pemimpin yang ditolak kerana rasuah masih lagi diterima untuk kali kedua tidak akan memberi isyarat kemenangan kepada pembangunan agama, bangsa dan negara. Sebaliknya menjerumus ke jurang kemerosotan maruah dan harga diri.
Pakistan adalah sebuah negara yang terletak jauh ke belakang dalam senarai Indeks Persepsi Rasuah sejak ia diterbitkan. Walaupun majoriti rakyat negara itu adalah Islam, bentuk fikrah yang dibawa ketika ini menggambarkan seolah-olah Islam memberi izin kepada keganasan. Tindakan pembunuhan yang disyaki didalangi oleh Al-Qaeda jelas memberi mesej kumpulan pengganas dalam negara semakin membesar dan memberi ancaman yang serius.
Hala tuju politik Pakistan ditentukan dalam pilihan raya yang diadakan pada 8 Januari depan. Kematian Benazir menambah lagi kehangatan bahang pilihan raya ini dan Musharraf pasti mengambil kesempatan untuk mengekalkan kuasa. Ketika konflik, sudah tentu peluang terbuka luas dan pihak yang berjaya menguasai konflik akan menang.
Negara jiran, India, melonjak gembira melihat keadaan politik yang tidak stabil di Pakistan. Sekurang-kurangnya ancaman ketenteraan dan serangan pengganas reda buat seketika. Tetapi keganasan dan pembunuhan seperti ini adalah tanda jelas kepada pentadbiran yang lemah. Amerika Syarikat pula akan menusuk jarum halus supaya kestabilan di rantau bergolak itu terus terancam.
No comments:
Post a Comment