Solat tahajjud adalah solat yang istimewa. Solat yang dilakukan pada malam hari ini memberi kesan yang amat besar kepada orang yang mendirikannya.
Tahajjud bererti bangun pada malam. Waktunya ialah di antara isya’ hingga subuh. Firman Allah yang bermaksud;
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah. (Az Zariyat ayat 15-18)
Kelebihan mengejar solat tahajjud turut ditekankan oleh Rasulullah saw seperti dalam hadis baginda yang bermaksud;
Apabila seseorang itu terjaga dari tidurnya pada waktu malam dan membangkitkan isterinya, lalu kedua-duanya menunaikan dua rakaat solat nescaya mereka ditulis dalam golongan manusia yang banyak menyintai dan menyebut Allah. (Riwayat Ibn Hibban dari Abi Sa’id)
Keutamaan waktu untuk menunaikan solat tahajjud ialah sepertiga malam yang akhir iaitu dari pukul 1 pagi hingga menjelang masuk waktu subuh. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah saw yang bermaksud;
Perintah Allah turun ke langit pada waktu tinggal sepertiga yang akhir dari waktu malam, lalu berseru; Adapun orang-orang yang memohon (berdoa) pasti akan Aku kabulkan, adapun orang-orang yang meminta pasti akan Aku berikan dan adapun orang-orang yang mengharapkan ampunan, pasti akan Aku ampuni baginya sampai tiba waktu subuh.
Solat tahajjud merupakan amalan para nabi dan sahabat r.a kerana solat ini merupakan ibadah tambahan.
Dan pada waktu malam bangkitlah solat tahajjud sebagai solat tambahan bagi ibadatmu semoga Allah membangkitkanmu di hari akhirat dengan kedudukan dan darjat yang terpuji. (Al Isra’ ayat 79)
Sememangnya suatu yang amat berat bagi seseorang untuk bangun ketika orang lain tidur dengan nyenyak. Namun demi Tuhan, patutlah kita bersusah payah untuk mencari rahmat mendapatkan keredhaanNya. Bangun malam untuk merebut rahmat Allah adalah suatu kekuatan yang sangat luar biasa.
Dengan ketenangan dan keheningan malam, hamba yang beriman akan mengambil kesempatan tersebut untuk mengukuhkan hubungannya dengan Allah. Bangun dengan penuh harapan, pujian dan permintaan agar dosa-dosa dimaafkan, doa dimakbulkan dan rezeki diluaskan.
Ketika mengangkat tangan untuk menyatakan kebesaran dan keagongan Allah sambil menghadap kiblat, terasa suatu kedamaian yang sangat luar biasa apatah lagi dihayati satu per satu makna ayat-ayat yang dibaca secara perlahan dan penuh tertib. Bagi yang memahami maksud ayat yang dibaca, terasa gerun, gembira dan sedih dengan janji-janji Allah.
Memohon hajat ketika dahi mencecah sejadah adalah detik-detik yang sangat kritikal kerana ketika itulah Allah sangat rapat dengan hambaNya. Mohonlah apa sahaja yang ingin dipohon supaya hidup diberkati.
Solat tahajjud mampu menguatkan hati kerana hamba dapat meluahkan isi hati tanpa ada sekatan terhadap Tuhannya. Menyesali dosa-dosa yang dilakukan dan mengharapkan rahmat Allah.
Perkara yang boleh dilakukan dengan sebanyak-banyaknya ialah beristighfar memohon keampunan. Di samping itu berzikir dengan khusyu’. Bermunajat dan berdoa supaya Allah memberi ehsan dan bimbinganNya kepada kita.
Rasulullah saw telah memberikan contoh yang terbaik untuk tidur lengkap dengan doanya sekali. Antaranya adalah, a) makan malam yang sedikit sebagai mengalas perut, b) menunaikan solat isya’ sebelum tidur, c) membersihkan tempat tidur dari habuk dan kotoran, dan, d) mengamalkan doa sebelum dan selepas bangun tidur.
Kebaikan dan kelebihan solat tahajjud sebahagiannya menjadi rahsia Allah. Dari segi logik, kita tidak akan memahami dengan tepat bahawa suruhan Allah untuk mengerjakan solat tahajjud sedangkan ketika itulah manusia sedang tidur nyenyak.
Solat tahajjud meneguhkan iman, jiwa dan mental kita untuk menghadapi sebarang masalah dan halangan dunia.
No comments:
Post a Comment