Sunday, June 14, 2015

Cabaran PasMa lebih besar







Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) bergerak selangkah kehadapan untuk menjadi sebuah gerakan politik yang baru di Malaysia. Agenda PasMa tidak lain dan tidak bukan untuk menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Pas dalam Pakatan Rakyat kerana kepimpinan Pas tidak lagi mempercayai Dap dalam arena politik berbilang kaum di Malaysia.

Presiden PasMa, Phahrolrazi Zawawi berkata Pas telah mengalami kejejasan reputasi yang merosakkan imej selepas mengenepikan kelompok proprofesional dalam muktamar parti berkenaan baru-baru ini.

PasMa telah mencadangkan kombinasi baru pakatan pembangkang yang terdiri daripada Dap, PKR dan sebuah parti baru bagi menggantikan Pas. Di sini dapat dilihat bahawa Pas bakal diketepikan dan ia semakin kukuh apabila Dap yang telah menyerang Pas sebelum muktamar dengan memutuskan hubungan dengan Presiden Pas sendiri, Abdul Hadi Awang.

Selepas kelompok proulama menguasai Pas, harapan untuk melihat kedua-dua parti berkenaan saling berbaik-baik tidak ada harapan lagi. Sementelahan tokoh parti yang kalah di Pulau Pinang sudah pun melepaskan jawatan manakala pekerja dari Pas yang berjawatan dalam kerajaan negeri telah ditamatkan perkhidmatan.

Sekiranya penubuhan parti baru ini menjadi kenyataan, ia mempelbagaikan lagi aliran pecahan parti politik anak-beranak di Malaysia. Pas yang muncul dari Umno kini memberanakkan pula sebuah parti politik yang terdiri daripada ahli parti yang tersingkir. Sebelum ini pun sudah ada Berjasa, Hamim dan sebagainya yang muncul akibat perseteruan dalam Pas. PKR juga muncul akibat penyingkiran tokoh dalam Umno.

Beberapa kerat pemimpin PasMa yang ada dalam Pas telah menikmati keagungan dan glamor sebagai pemimpin parti. Mereka telah mendapat banyak faedah khususnya mengurus sebuah parti Islam. Kini, masanya untuk bekerja bagi menyaingi Pas namun dikhuatiri tidak dapat menarik golongan ulama untuk mempengaruhi masyarakat Islam.

Walaupun beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang memiliki ahli berlatar belakang pendidikan Islam, penonjolan tokoh-tokoh ini kehadapan untuk dikenali masyarakat umum amat berkurangan. Massa tidak mengenali mereka dan usaha promosi perlu digiatkan sebelum pilihan raya yang akan datang. Kita hanya mengenali Phahrolrazi sebagai penentang dalam Pas Kedah manakala bekas menteri besar Perak, Nizar Jamaluddin sering kali mengkritik presiden Pas selepas kalah dalam pemilihan peringkat cawangan.

Cabaran palng besar parti baru ini ialah menapat kepercayaan masyarakat pelbagai kaum. Bersama-sama dengan Dap dan PKR mungkin lebih mudah namun Pas sudah pasti menyediakan jentera propaganda yang akan memastikan parti itu menerima nasib yang sama seperti “anak-anak” Pas yang wujud sebelum ini kerana sejarah membuktikan parti serpihan tidak mampu hidup lama.

Apa-apa parti yang tidak memiliki kekuatan idealisme dan sokongan berterusan penyokong akan menjadi lukut yang hanya menumpang populariti orang lain.

No comments:

Post a Comment