Akhlak yang mulia adalah idaman setiap remaja. Dengan berakhlak mulia, seseorang remaja akan jelas hala tuju hidupnya, mampu menjadi pendakwah yang matang dan cemerlang, berupaya mencetuskan dimensi baru dalam memberi makna khalifah dan menjadi harapan negara.
Namun begitu, bagaimanakah pula keadaan remaja pada zaman
Rasulullah saw? Apakah yang mereka lakukan ketika mereka seusia dengan zaman
remaja hari ini? Apakah kegemaran mereka? Apakah mereka juga sukakan hiburan,
keseronokan atau mentelaah pelajaran? Apakah bezanya mereka dengan kita?
Bagaimanakah hasil didikan Rasulullah saw terhadap generasi remaja ketika itu?
Pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri bagaimanakah hasil didikan
Rasulullah saw terhadap generasi remaja ketika itu yang sentiasa disirami
dengan kata-kata semangat, pengalaman yang praktikal dan dibimbing oleh wahyu
Allah swt?
Apabila kita memerhati perkembangan generasi remaja pada
ini, kita akan dapati suatu rakaman kisah hidup remaja pada zaman yang penuh
mencabar tetapi sangat mengagumkan. Terlalu ramai contoh yang boleh diambil dan
dijadikan teladan. Salah seorang daripada mereka ialah S.Ali. Beliau adalah
kanak-kanak yang paling awal memeluk Islam. Wajahnya tidak pernah sujud kepada
berhala dan sangat berani melakukan tugasan yang diamanahkan oleh Rasulullah saw.
Ketika usia remaja, S. Ali pernah ditugaskan untuk tidur di
katil baginda saw pada malam hijrah. Tugas ini merupakan satu amanah yang
sangat besar dan akan menentukan jatuh dan bangunnya dakwah Islam ketika itu.
Dengan berani dan tidak banyak soal, beliau menerima tugas tersebut. Akhirnya
beliau ditangkap, diseksa dan diminta untuk membocorkan rahsia ke arah mana
Rasulullah saw bergerak. Watak beliau yang tegas, memegang amanah dan teguh
pendirian, beliau tetap tidak mebocorkan rahsia walaupun diancam untuk dipukul.
Inilah contoh jati diri remaja yang kental dan penuh dengan disiplin diri
terhadap perjuangan Islam.
Ketika peperangan Badar, sekali lagi beliau memperlihatkan
keberaniannya untuk berperang apabila mewakili tentera Islam berlawan satu
lawan satu. Di pihak tentera Islam, tiga orang wakil telah dipilih dan salah
seorang daripadanya ialah S. Ali. Tentera kafir Quraisy turut menghantar tiga
orang panglima perang handalan mereka. Keberanian remaja bernama S. Ali ini
sangat hebat sehingga mampu menumpaskan lawan-lawannya satu demi satu.
Beliau yang juga merupakan sepupu Rasulullah saw turut
terkenal sebagai seorang remaja yang alim dengan ilmu pengetahuan. Oleh kerana
sentiasa melazimi diri dengan baginda saw sejak kecil, banyak ilmu dunia dan
akhirat yang telah diperolehinya dan mematangkan kehidupan remaja beliau.
Rasulullah saw pernah menghantarnya ke Yaman sebagai wakil kerajaan di sana
serta menyampaikan ilmu pengetahuan yang dimiliki kepada masayarakat Yaman
ketika itu.
Setelah meningkat dewasa, beliau menjadi menantu Rasulullah
saw dengan mengahwini S. Fatimah. Beliau turut menjadi khalifah Islam ke empat
dengan mewarisi bakat, ketokohan dan ilmuan yang melayakkannya menjadi pemimpin
umat islam.
S. Ali adalah satu contoh seorang remaja yang lahir daripada
didikan Rasulullah sejak awal dakwah Islam lagi. Beliau telah menggunakan usia
remajanya bagi mendalami ilmu-ilmu Islam dan bersama-sama dengan Rasulullah saw
dalam banyak peperangan.
Remaja Islam pada hari ini boleh merenung dan menggali pengalaman
tokoh-tokoh remaja masa silam yang begitu ramai dan terkenal di kemudian hari.
Mencontohi pengalaman mereka dari aspek kegigihan, disiplin diri, keberanian
dan memberi sumbangan terhadap perkembangan dakwah Islam dan pertumbuhan
generasi dan tamadun dunia yang lebih cemerlang.
Melalui pengalaman-pengalaman berguna yang dapat
dimanfaatkan untuk masa depan, remaja Islam hari ini akan terhindar daripada
terus hanyut dalam lautan nafsu yang sentiasa mendorong kepada keseronokan yang
bersifat sementara.
No comments:
Post a Comment