Wednesday, June 17, 2015

Puasa perisai diri










Karl Marx menyifatkan perut sebagai punca masalah hidup manusia manakala Sigmund Freud mengatakan naluri seks sebagai puncanya.

Kedua-dua pandangan ini diutarakan oleh tokoh Barat yang membuat rumusan berdasarkan logik akal mereka. Jadi, bagaimanakah kita boleh menyelesaikan dua punca masalah ini?

Perdebatan demi perdebatan bagi mencari penyelesaian kepada persoalan ini sangat banyak dan rumit. Namun kita boleh melihat kembali bagaimana peranan puasa yang dapat menyelesaikan masalah hidup.

Setiap kali hampir ramadhan, kita akan membaca laporan mengenai puasa di negara-negara yang umat Islam menjadi minoriti.

Pertama, sebuah sekolah di Britain enggan membenarkan pelajar yang berumur dalam lingkungan tujuh tahun berpuasa. Alasannya ialah tidak mahu puasa kerana bimbang berpuasa akan memberi kesan terhadap proses pembelajaran pelajar. Kedua, ibu bapa di sebuah sekolah di Perancis tidak mahu guru-guru beragama Islam mengajar anak-anak mereka kerana khuatir guru-guru ini tidak kuat dari segi fizikal. Berpuasa dikatakan menjejaskan produktiviti dan membahayakan keselamatan pelajar kerana guru tidak berupaya memberi fokus kepada pelajar. Ketiga, kerajaan China melarang penduduk Islam Uighur khususnya pegawai kerajaan, guru, pelajar sekolah dan peniaga makanan daripada berpuasa.

Tiga contoh ini merupakan contoh bagaimana msyarakat bukan Islam menyedari kewujudan puasa dan melihatnya dari perspektif negatif. Berdasarkan persepsi ini, masyarakat Islam menerima tekanan yang berpanjangan dan dihalang daripada melaksanakan ibadah mereka sedangkan puasa adalah penawar kpada dua kenyataan yang dikeluarkan oleh Karl Marx dan Sigmund Freud.

Imam al-Ghazali menyifatkan puasa sebagai pelindung daripada nafsu makan dan keinginan naluri seks. Melalui puasa, seseorang dapat menahan lapar dan melemahkan keinginan seks, dan itulah juga yang disabdakan Rasulullah saw, “Wahai sekalian pemuda, barangsiapa di antara kalian yang sudah memiliki kemampuan maka hendaklah dia menikah, kerana hal tersebut lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang belum mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah perisai baginya”.(Riwayat Al-Bukhari).

No comments:

Post a Comment