Rasuah tidak mengenal siapa, sama ada seorang hakim atau penguatkuasa,
pekerja am atau pegawai tadbir, pemaju hartanah atau pengawal keselamatan. Ia
berlaku di mana-mana dan bila-bila masa jika ada yang meminta dan memberi. Di
Malaysia, rasuah sudah menjadi perkara yang sering diperkatakan.
Kisah seorang hakim dihukum penjara kerana rasuah adalah kes yang
sangat mendukacitakan dan jelek. Sanggup seorang hakim yang berstatus tinggi
dalam perundangan meminta-minta habuan sebagai pertukaran hukuman.
Kita tidak tahu di mana beliau hendak letakkan air mukanya ketika di
dalam penjara atau selepas dibebaskan kelak.
Agensi anti rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
ditugaskan untuk mengekang aktiviti rasuah di semua peringkat masyarakat baik
di sektor awam mahupun swasta. Kejayaan SPRM dalam misinya berkait rapat dengan
bilangan kes yang dibawa ke mahkamah dan kurangnya aktiviti rasuah.
Namun, saban hari masih lagi ada kes-kes rasuah yang disiarkan di
media. Antara yang terkesan ialah seorang pengarah Jabatan Veterinar Negeri yang
naik pangkat begitu cepat dalam tempoh setahun setengah. Dari gred 41, dia
melangkau dua gred tanpa dapat dikesan lebih awal. Walaupun kes ini di bawa ke
mahkamah, akhirnya beliau dibebaskan. Semoga kes ini menjadi pengajaran besar
kepadanya dan menjadi iktibar kepada pejawat awam yang lain bahawa tidak ada
jalan pintas untuk berjaya dalam kerjaya mereka.
Kejayaan SPRM ditentukan oleh dua faktor iaitu faktor dalaman dan
faktor luaran.
Pertama, faktor dalaman. SPRM sebagai sebuah agensi pencegahan mesti
mempunyai individu-individu yang berkualiti dari semua aspek: spiritual, mental
dan fizikal supaya dapat bergerak dengan cepat dan berkesan. Kelemahan mengenal
pasti individu yang benar-benar layak bakal mengundang kecacatan perancangan,
operasi dan pemantauan.
Kita masih ingat ada segelintir anggota SPRM yang tidak amanah telah
dibawa ke mahkamah kerana meminta suapan. Walaupun jumlah kes ini sangat kecil,
ia boleh menggugat kewibawaan agensi sebagai pemegang amanah negara.
Kedua, faktor luaran. Bagaimana SPRM mahu dilihat oleh orang ramai?
Sudah tentu ia mahu dilihat sebagai sebuah agensi yang berkesan. Ia perlu
meyakinkan orang ramai bahawa setiap tindakannya adalah berbaloi ke arah mengurangkan
kadar rasuah di negara ini. SPRM perlu membuat pelaburan untuk mewujudkan
hubungan yang lebih mesra dengan media supaya aktiviti yang dilakukan akan
sampai ke telinga komuniti.
Gunakan semua media yang ada supaya misi SPRM difahami. Melalui kefahaman
beginilah masyarakat akan membantu menyalurkan maklumat salah guna kuasa dan
sebagainya. Dalam erti kata lain, media boleh menjadi alat untuk proses “enganggement”
antara SPRM dan komuniti.
Untuk menjayakan kehadiran SPRM, masyarakat perlu merasai bahawa SPRM
ada di mana-mana sahaja.
No comments:
Post a Comment