Saturday, June 06, 2015

Pembangunan sosial dan kesejahteraan negara








Pertumbuhan ekonomi diperakui sebagai prasyarat kepada pembangunan negara tetapi keperkasaan ekonomi semata-mata tidak akan menjamin kesejahteraan rakyat yang menyeluruh. Pembangunan negara perlu berpaksikan kepada kerangka pembangunan yang komprehensif di mana kemajuan ekonomi perlu diimbangi dengan pembangunan dan kemajuan sosial.

Sebuah negara yang sedang memacu ke arah peningkatan kualiti hidup untuk semua seharusnya tidak membataskan konsep kemajuan kepada aspek-aspek yang boleh diukur secara kuantitatif sahaja. Penekanan kepada aspek kualitatif seperti kemantapan sosial, nilai-nilai moral, kekuatan intelektual dan keutuhan budaya perlu diberi perhatian yang saksama. Sesebuah negara maju perlu mengukur kemajuannya dari perspektif kemantapan nilai-nilai kemanusian. Matlamat utama pembangunan sebenarnya adalah untuk mencapai kesejahteraan secara menyeluruh.

Pembangunan sosial merupakan satu proses pembangunan yang memberi penekanan kepada manusia dan sistem sosialnya. Ia dihubungkaitkan dengan pelbagai strategi, program dan aktiviti yang menekankan kepada pengisian nilai-nilai yang akan mempertingkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan dalam erti kata sebenar. 

Proses transformasi sosial, urbanisasi dan globalisasi telah memberi implikasi yang ketara kepada masyarakat semasa dan kebanyakan negara, kini sedang berusaha untuk mengimbangkan pembangunan sosial dan kemajuan ekonomi.

Sebagai rakyat Malaysia, kita sememangnya berasa bangga dengan pembangunan yang telah dicapai, terutama dalam bidang ekonomi. Pembangunan ekonomi negara ini telah meningkatkan pendapatan negara dan pendapatan per kapita sehingga kini Malaysia menjadi sebuah contoh negara membangun yang disegani. Jelas proses pembangunan negara ini telah berjaya merapatkan jurang ketaksamaan sosial dan kemiskinan dalam negara.

Sehingga kini, negara jelas mampu mengatasi masalah kemiskinan dengan begitu berkesan. 

Impak globalisasi

Cabaran baru khususnya globalisasi telah memberi satu permasalahan kepada masyarakat kini. Dalam proses mengejar pembangunan dalam era globalisasi, kita perlu menghadapi pelbagai masalah hasil daripada penularan budaya global. Elemen-elemen budaya global yang menghakis nilai-nilai murni dalam masyarakat kita kian meruncing. Masyarakat terus terperangkap dengan sifat mengejar kebendaan, individualisme justeru lantas meminggirkan nilai berkompromi, bekerjasama dan bertolak ansur. Negara sekarang dilanda pelbagai unsur negatif masalah sosial dalam bentuk penagihan dadah, peningkatan HIV/AIDS dan pelbagai cabaran yang menggugat kesejahteraan rakyat negara ini.

Pembangunan negara tidak akan dapat dinikmati sepenuhnya jika berlaku ketidakseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pembangunan sosial. Kita tidak ada pilihan lain tetapi melihat kembali usaha-usaha yang akan kita ambil untuk mengejar pembangunan. Penyusunan semula strategi pembangunan ke arah pembangunan seimbang perlu diberi tumpuan. Bolehkah kita lakukan dengan jayanya? Bolehkah kita pesat melaksanakan program pembangunan ekonomi dalam masa yang sama kukuhkan kesejahteraan hidup? Sesungguhnya, apakah erti pembangunan tanpa kesejahteraan yang sejati?

Usaha mencapai pembangunan sosial semakin rumit kerana penghayatan nilai dan pergolakan alam sentiasa berubah. Namun, dinamika kepada masalah-masalah ini semakin pantas berubah disebabkan proses globalisasi serta perubahan-perubahan dalam keluarga dan struktur sosial.

Setiap komuniti berada dalam tahap pembangunan yang berlainan serta mempunyai isu-isunya yang tertentu. Setiap strategi yang spesifik mestilah selaras dengan keperluan-keperluan individu atau komuniti yang tertentu. Kita perlu fokus kepada usaha-usaha untuk mendidik kumpulan-kumpulan yang bermasalah atau yang berada dalam serba kekurangan. Capacity building harus diteruskan dan tertakluk kepada pengubahsuaian dan penambahbaikan dari semasa ke semasa. 

Dengan adanya sebilangan orang yang menerima bantuan dari kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan lebih banyak usaha perlu dipergiatkan lagi bagi menentukan tiada seorang pun yang diabaikan dalam arus pembangunan serta perubahan-perubahan yang sedang berlaku dalam masyarakat. Negara kita berada pada tahap di mana ia boleh dan mesti memperbaiki segala pendekatannya agar mereka yang dianggap kurang berupaya boleh dikenal pasti, difahami dan dibantu supaya golongan ini boleh berdikari dengan tahap kefungsian sosial yang paling optimum.

Malaysia kini dalam proses untuk mengubah `mindset’ rakyatnya dan visi pembangunan sosial yang berpaksi kepada pembangunan menyeluruh sememangnya merupakan satu cabaran besar. Usaha ke arah peralihan paradigma ini akan dipergiatkan memandangkan budaya materialisme dan individualisme begitu ketara sekali dalam masyarakat pasca industri ini.

Inilah cabaran yang perlu dihadapi. Kita tidak boleh memperkecilkan kesan globalisasi. Dalam hal ini jelas model yang dibawa oleh arus globalisasi yang digerakkan melalui media dan konsumerisme global boleh merosakkan masyarakat jika tidak dibendung dan dikawal. Setiap strategi pembangunan perlu memastikan setiap rakyat negara ini tanpa mengira umur, jantina, agama dan warna kulit berhak menerima dan menikmati kesejahteraan hidup. Inilah antara sebabnya kita amat mempercayai bahawa kemajuan sesebuah negara itu tidak memadai dengan hanya kemegahan dan keindahan pembangunan fizikal dan juga kejayaan material semata-mata. 

Masyarakat perlu memiliki ciri-ciri keperibadian yang murni, keluarga yang harmoni dan berhati mulia. Paradigma supaya pembangunan seimbang perlu dilaksanakan secara lebih berkesan perlu ditekankan jika negara ini ingin mencapai hasrat dan Wawasan 2020. Usaha-usaha yang konstruktif perlu dirancang untuk membina masyarakat yang berkualiti dan sejahtera, serta dapat menikmati kemajuan ekonomi, pembanguan sosial dan keindahan alam sekitar.

Jika negara ingin mengimbangi pembangunan ekonomi dan pembangunan fizikal dengan pembangunan sosial, kita perlu pastikan bahawa dasar-dasar yang menjaga kebajikan dan sosial rakyat negara ini digerakkan dengan lebih berkesan. Kita perlu berusaha untuk mewujudkan kesejahteraan hidup dan kualiti hidup dengan sentiasa membuat penambahbaikan dalam dasar dan strategi pembangunan sosial khususnya untuk membasmi kemiskinan dan ketaksamaan sosial dalam masyarakat.

Kita perlu menekankan pembinaan masyarakat yang berilmu dan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan mutu kehidupan. Ini bagi memastikan individu dapat mengguna dan mempertingkatkan sumber serta kebolehan kendiri secara optimum bagi mencapat matlamat kendiri dan masyarakat dalam setiap kitaran hidup.

Setiap individu perlu ada semangat dan keghairahan untuk bersedia menangani cabaran dan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan mutu kehidupan. 

Pembasmian kemiskinan

Program pembasmian kemiskinan adalah agenda sosial yang sentiasa diberi tumpuan oleh kerajaan di Malaysia, pembentukan program pembasmian kemiskinan telah dijalankan dengan penuh komitmen. 

Malaysia adalah sebuah negara yang terus berusaha untuk memastikan bahawa setiap individu, keluarga dan masyarakat dapat menikmati keperluan asas kehidupan dan menyertai arus pembangunan negara. Dalam Rancangan Malaysia Ke-11, kerajaan berjaya mengurangkan kadar kemiskinan kepada 0.6%. Hasil daripada ini Malaysia telah berjaya menurunkan kadar kemiskinan dan mempertingkatkan kualiti hidup individu, masyarakat dan keluarga.

Pembasmian kemiskinan telah diberi tumpuan penuh daripada pihak kerajaan. Usaha ini kita dapat lihat dengan kewujudan pelbagai dasar seperti Dasar Ekonomi Baru hingga kepada Dasar Pembangunan Nasional. Kerajaan diharap akan terus menyediakan kemudahan pendidikan, penyediaan prasarana yang baik dan menyeluruh bagi membantu kelompok-kelompok termiskin di bandar dan luar bandar.

Kerajaan harus terus menyediakan bantuan yang munasabah seperti pendidikan, kemudahan kewangan untuk memulakan aktiviti ekonomi, tetapi pada masa yang sama golongan ini juga perlu bekerja keras untuk meningkatkan kedudukan ekonomi dan sosial mereka supaya mereka tidak terpinggir dan tersisih daripada arus pembangunan perdana.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-9, matlamat utama pembangunan perkhidmatan sosial ialah untuk meningkatkan kualiti hidup dan membangunkan masyarakat yang matang, penyayang serta dilengkapi dengan nilai-nilai murni yang positif serta berintegriti. Pembangunan modal insan terus menjadi teras utama dalam menyokong peningkatan daya saing dan daya tahan ekonomi ke arah mencapai matlamat Dasar Wawasan Negara. Bagi tujuan ini, strategi dan program pembangunan sumber manusia perlu memberi tumpuan kepada melahirkan modal insan yang berkualiti, berpengetahuan, berkemahiran, inovatif, mempunyai nilai-nilai positif dan mampu menghadapi persaingan global. Sehubungan ini, sistem pendidikan dan latihan perlu diperkukuhkan supaya lebih responsif kepada perkembangan dan keperluan ekonomi serta untuk mengelakkan berlakunya mismatching diantara permintaan dan penawaran tenaga kerja.

Dasar Sosial Negara

Penggubalan Dasar Sosial Negara yang berlandaskan aspirasi 2020 adalah sangat tepat. Dasar Sosial Negara menekan peri pentingnya penghayatan moral dan nilai dalam sesebuah masyarakat progresif.

Kerajaan perlu memastikan Dasar Sosial Negara diberi penekanan yang kuat beserta dengan agenda yang relevan, maka usaha negara untuk mencapai Wawasan 2020 boleh dicapai sepenuhnya.

Kerajaan juga dilihat telah mengambil pelbagai usaha untuk memperkuatkan sistem sokongan sosial yang sedia ada termasuk pendidikan dan kesihatan untuk membantu setiap anggota masyarakat membangun dan berfungsi secara optimum. Pihak kerajaan juga wajar sentiasa memantau perkhidmatan sosial supaya berganding bahu dan saling menyokong dan melengkapi untuk menentukan anggota masyarakat yang memerlukan mendapat pilihan perkhidmatan bermutu.

Hasil daripada pelaburan yang tinggi dari segi peruntukan untuk perkhidmatan awam seperti pendidikan, kesihatan dan perumahan, Malaysia telah menunjukkan perubahan dalam kualiti hidup kumpulan masyarakat. Taraf kesihatan rakyat Malaysia antara yang terbaik. Jelas indikator kesihatan seperti jangka hayat, kadar kelahiran kasar, kadar kematian ibu mengandung menunjukkan perubahan yang positif. Dasar Sosial Negara amat perlu kerana ia menterjemah semangat dan prinsip Wawasan 2020 dalam pelbagai objektif dan strategi perlaksanaan. 

Kesejahteraan keluarga

Salah satu paksi untuk mewujudkan masyarakat yang sejahtera ialah dengan memberi tumpuan kepada memperkukuhkan sistem kekeluargaan. Efforts are taken to prepare families to face the challenges of economic development, urbanization and globalization. Perlu ditekankan di sini bahawa keluarga yang stabil dan harmoni adalah penting untuk memastikan kesejahteraan hidup. Pelbagai usaha perlu diambil untuk memastikan institusi keluarga ini tetap utuh dan segar.

Berdasarkan keterangan ini, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh pada setiap peringkat untuk memastikan keluarga dalam masyarakat kita sentiasa bahagia. Successful families don’t just happen by chance. It takes efforts and determination of its members. To build strong communities we should have strong families.

Walau apapun cabaran yang dihadapi oleh institusi keluarga di Malaysia, ia perlu dipertahankan dan diberi keutamaan. Pengukuhan institusi keluarga akan dapat mengembalikan kekuatan dan ikatan dalam masyarakat. Dalam masyarakat semasa, kita perlu pastikan bahawa keluarga di negara ini sentiasa sejahtera dan usaha-usaha untuk mempertingkatkan nilai-nilai murni dan nilai kekeluargaan perlu diberi keutamaan.

Demografi penduduk di peringkat antarabangsa dan Malaysia jelas menunjukkan penambahan bilangan warga tua. Jika warga tua sebagai mereka yang berumur 65 tahun ke atas, dalam tempoh 20 tahun, Malaysia akan mempunyai tiga juta penduduk warga tua.

Sehubungan itu, kerajaan juga wajar memastikan bahawa warga tua negara ini tidak terabai dan sentiasa disayangi. Bagi mencapai matlamat ini, kerajaan harus melihat dengan serius keperluan-keperluan khususnya penyampaian perkhidmatan sosial kepada golongan berusia. Dasar Warga Tua Negara merupakan agenda sosial kerajaan untuk memastikan kesejahteraan warga tua negara ini. Dasar ini memberi keutamaan penjagaan warga tua oleh ahli keluarga serta sanak saudara. Dasar yang dilancar pada Oktober 1995 adalah merupakan satu dasar yang bertujuan mewujudkan masyarakat warga tua yang bermaruah dan mempunyai harga diri.

Pihak kerajaan perlu sentiasa memberi sokongan untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan dan bekerjasama dengan komuniti tempatan. Pembangunan Komuniti menerusi Dasar Warga Tua Negara menggambarkan pihak kerajaan amat prihatin kepada kesejahteraan golongan tua. Pihak kerajaan mestu turut memastikan bahawa warga tua di negara ini tidak dipencilkan, dipinggirkan dari arus pembangunan perdana dan akan terus berusaha supaya kepentingan dan hak mereka akan terus dijaga dan dipelihara.

Adalah dianggarkan terdapat sejumlah 230,000 orang kurang upaya di Malaysia. Namun, oleh kerana pendaftaran tidak diwajibkan hanya lebih kurang 123,000 sahaja Orang Kurang Upaya yang telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. Suruhanjaya Sosial dan Ekonomi bagi Asia dan Pasifik (ESCAP) sebelum ini mengisytiharkan tempoh 1993-2002 sebagai Dekad bagi Orang Kurang Upaya Asia dan Pasifik.

Malaysia telah mengambil langkah-langkah untuk memperjuangkan nasib dan kesejahteraan serta kemajuan OKU di samping membuktikan komitmen yang tinggi terhadap kebajikan OKU. Untuk dekad ini pihak ESCAP telah mencadangkan Millennium Framework for Actions Towards an inclusive, barrier-free and Rights Based Society for Persons with Disabilities in Asia and Pacific.
Lelaki dan wanita mempunyai peranan yang sama penting dalam pembangunan negara. Sesebuah negara itu akan menanggung kerugian jika tidak menghargai dan mengambil kira sumbangan wanita dalam memenuhi peranan sebagai isteri, ibu dan pekerja.

Pihak kerajaan akan terus menjalankan program atau aktiviti untuk memperkasakan wanita dan membantu mereka untuk (crack the glass ceiling) supaya sasaran 30% wanita mendapat tempat diperingkat tertinggi pengurusan di jabatan kerajaan, swasta menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat ini.

Kesukarelawan

Aktiviti sukarelawan ini perlu diperkukuhkan lagi dalam masyarakat kita yang sememangnya berlandaskan ciri-ciri penyayang. Bagi melahirkan masyarakat yang komited ini, kerajaan akan terus bekerjasama dengan pihak NGO untuk memperkukuhkan lagi usaha-usaha sukarelawan dalam masyarakat. Kita perlu serapkan semangat kesukarelawan dan sanggup mengorbankan sedikit masa dan tenaga untuk berbakti kepada bangsa dan tanah air.

Kerajaan Malaysia telah begitu komited dalam memacu pelbagai strategi dan program untuk memastikan negara ini aman makmur dan sejahtera. Kini, pihak NGO perlu terus mempergiatkan lagi usaha untuk pembangunan. Pihak kerajaan mesti sentiasa memberi sokongan pada NGO untuk berganding-bahu memberi atau menyediakan perkhidmatan kepada keluarga, kanak-kanak, warga tua dan orang kurang upaya.

Kerjasama di kalangan sektor awam serta antara sektor swasta dan sukarela sering dialu-alukan. Ini perlu untuk mewujudkan satu sinergi tenaga dan sumber dalam masyarakat untuk tujuan menjamin perkhidmatan sosial yang terbaik bagi semua anggota masyarakat, berasaskan konsep bahawa pembanguan sosial adalah tanggungjawab bersama.

Sehubungan dengan itu, peranan daripada pihak korporat juga akan dapat membantu dalam usaha negara menangani isu-isu sosial dan memperkukuhkan usaha membangunkan masyarakat negara ini. Pendekatan smart partnership dengan badan-badan korporat akan dapat mempercepatkan usaha kerajaan untuk mewujudkan kehidupan masyarakat yang lebih berkualiti dan sejahtera khususnya dikalangan mereka yang amat memerlukan seperti Orang Kurang Upaya, Warga Tua dan golongan termiskin.

Dalam usaha memacu negara ke arah kesejahteraan, kita akan sentiasa dicabar oleh pelbagai cabaran. Satu cabaran yang paling ketara ialah untuk negara ini terus bergerak pantas mengejar pembangunan ekonomi dan mencuba untuk mengimbanginya dengan dasar yang memerlukan kita menjadi negara yang penuh dengan nilai-nilai murni dan kemanusiaan. 

Pencapaian agenda pembangunan seimbang bergantung kepada struktur yang mantap di semua peringkat bagi menyelaras perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program serta aktiviti pembangunan sosial yang dilaksanakan oleh semua pihak, baik kerajaan, badan bukan kerajaan, komuniti mahupun sektor swasta.

Kerajaan perlu terus memberi penekanan kepada pembangunan sosial sebagai satu agenda utama negara.



No comments:

Post a Comment