1.0 Pengenalan
Sosioekonomi adalah kajian
hubungan antara aktiviti ekonomi dan kehidupan sosial. Tambahan pula, semua ini
sering dianggap pelbagai disiplin menggunakan teori dan kaedah dari aspek sosiologi, ekonomi, sejarah dan
psikologi. Semua ini telah wujud lewat kurun kedua puluh lagi sebagai suatu
bidang kajian berasingan dalam banyak perkara seperti pakar sosioekonomi yang
berfokus pada kesan sosial sesetengah jenis perubahan ekonomi.
Perubahan tersebut boleh termasuk
menutup kilang, manipulasi pasaran, menandatangani perjanjian perdagangan
antarabangsa, kawalan gas asli baru, dan sebagainya. Kesan-kesan sosial juga
akan mula berlaku seperti dapat menjadikan lebih berlingkungan luas dalam saiz
daripada kesan tempatan pada suatu masyarakat kecil kepada perubahan pada
keseluruhan masyarakat. Contoh-contoh kesan sosioekonomi termasuk teknologi
baru seperti kereta atau telefon bimbit, perubahan pada undang-undang, perubahan pada alam
fizikal (seperti bertambah kesesakan dalam bandar) dan perubahan ekologi (seperti kemarau berpanjangan
atau kemerosotan stok ikan). Ini boleh mempengaruhi corak penggunaan, pembahagian pendapatan
dan kekayaan, cara di mana orang berkelakuan (kedua-dua dari segi keputusan
pembelian dan cara bagaimana mereka memilih menggunakan waktu mereka) dan kualiti
hidup yang keseluruhannya. Sasaran kajian sosioekonomi umumnya untuk membawa pembangunan
sosioekonomi, biasanya dari segi pembaikian dalam metrik seperti KDNK, jangka
hayat, celik huruf, kadar pekerjaan dan sebagainya.
Walaupun lebih sukar diukur,
perubahan dalam faktor-faktor kurang ketara juga dipertimbangkan seperti maruah diri, kebebasan
berkesatuan, keselamatan peribadi dan kebebasan dari ketakutan kecederaan fizik
dan takat penyertaan dalam masyarakat sivil.
1.1 Industri Kecil dan Serdahana
Industri Kecil dan
Sederhana (IKS) ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan atau syarikat yang
menyediakan perkhidmatan berkaitan perkilangan dengan modal pusingan jualan tahunannya
yang tidak melebihi RM25 juta dan menggaji kakitangan sepenuh masa tidak
melebihi 150 orang.
IKS adalah komponen yang
penting dalam ekonomi negara, mewakili 99.2 peratus daripada jumlah keseluruhan
perniagaan yang diwujudkan di negara ini. Sektor ini menawarkan 5.6 peratus
peluang pekerjaan serta menyumbang kira-kira 32 peratus dalam Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK). Berikutan peranan dan sumbangan besar IKS kepada ekonomi
negara, kerajaan menjadikan pembangunan IKS sebagai satu agenda utama negara
dan sumber yang penting ke arah mengubah model ekonomi Malaysia kepada model
ekonomi baru yang berpandapatan tinggi.
Membangunkan sekumpulan IKS
yang pelbagai dan mempunyai daya saing yang tinggi adalah tema utama ke arah
pengekalan pertumbuhan ekonomi. IKS adalah penting dalam proses perkembangan
ekonomi dan turut memainkan peranan yang penting dalam rangkaian pengeluaran
negara. Sesetengah ekonomi yang maju telah berjaya kerana IKS merupakan
bahagian utama ekonomi negara itu, mencakupi lebih 98% daripada jumlah
organisasi dan menyumbang lebih 65% kepada pekerjaan serta lebih 50% daripada
keluaran domestik negara. Meskipun di Malaysia angkanya mungkin lebih
rendah, IKS berpotensi membuat sumbangan yang besar kepada ekonomi dan boleh
menyediakan asas-asas yang kukuh untuk menjana pertumbuhan industri baru
sementara mengukuhkan industri yang sedia ada untuk pertumbuhan masa hadapan
negara.
Berdasarkan kajian yang
dijalankan mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan IKS, terdapat dua
pemboleh ubah yang telah dikenal pasti mempengaruhi kejayaan IKS iaitu
sumbangan teknologi dan sokongan kerajaan. Sesuatu organisasi yang tidak
mempunyai teknologi dan sokongan daripada kerajaan adalah agak sukar untuk
bersaing dan berkembang berbanding dengan organisasi yang memiliki teknologi
dan sokongan kerajaan.
Dalam persekitaran
perniagaan semasa, tidak dinafikan bahawa penggunaan teknologi membawa
kepentingan bagi meningkatkan daya saing dan prestasi perniagaan IKS. Disebabkan
oleh zaman yang serba canggih dan sejajar dengan dunia yang bergerak pantas
memaksa industri ini untuk bergerak kehadapan seiring dengan negara-negara maju
yang lain. Pengusaha IKS menggunakan teknologi lebih dari segala sumber
lain untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang boleh memenuhi kehendak
pengguna dan untuk menghasilkan keuntungan dan pendapatan yang lebih lumayan.
Oleh yang demikian, penting bagi IKS mengambil langkah-langkah untuk memodenkan
dan menambah baik mesin, peralatan dan operasi mereka bagi meningkatkan
kecekapan dan produktiviti.
2.0 Operasi Kajian
Shukri Food And
Beverages Enterprise (SFBE) adalah sebuah syarikat yang berperanan dalam
membantu masyarakat sekeliling dalam menjana perniagaan dan membekalkan air
berkarbonat yang berkualiti setanding dengan syarikat-syarikat besar seperti
F&N and Coca-Cola. Syarikat ini
telah mendapat kelulusan daripada pensijilan Halal Jakim Melaka dan Jabatan
Kesihatan Melaka untuk memulakan perniagaan.
Sejarah syarikat ini
terbina apabila satu inpirasi terhasil dalam menyahut cabaran kerajaan untuk
menjadi usahawan bumiputera alternatif kepada produk yang berjenama. Syarikat
ini terletak di Taman Seri Duyung 2, Melaka yang telah bermula sejak Januari
2001 lalu kira-kira 7 kilometer dari Bandar Melaka dengan keluasan saiz sebuah
rumah kedai di IKS Taman Seri Duyong 2.
Syarikat ini membekalkan
air berkarbonat berperisa oren, sarsi, buah-buahan, aiskrim soda, cola dan anggur. Di samping itu, syarikat
IKS ini juga menjual keropok ikan segera mengikut permintaan pengguna.
Tersentak dengan itu, sebagai pengurus, Muhammad Shukri telah memulakan langkah
kanan dalam membina kewangan serta pendapatan bulanan dengan membuka cawangan
francaisnya di Palong 3, Negeri Sembilan. Beliau pernah berkhidmat sebagai
jurutera mekanikal di beberapa syarikat terkemuka di Malaysia mahupun di luar
negara. Dengan adanya ijazah dan pengalaman mengendalikan mesin, beliau berjaya
mereka bentuk serta mengubah suai mesin air berkarbonat pada kapasiti yang
besar. Syarikat ini sebagai menjana peluang dan ruang yang kerajaan telah berikan
untuk meningkatkan lagi sosioekonomi penduduk setempat dan negara.
2.1 Organisasi Syarikat
SFBE menghasilkan
produk air berkarbonat pelbagai perisa seperti perisa oren, sarsi, buah-buahan,
strawberi, ais krim soda, cola dan
anggur. Pelanggan boleh membeli air berkarbonat di sini. SFBE menyediakan
pelbagai pakej kuantiti minuman yang dibotolkan seperti 10 liter, 5.5 liter,
5.0 liter, 4.0 liter, 3.0 liter, 1.5 liter, 1.0 liter dan 500 ml. Selain itu, syarikat
ini juga mempromosikan produk-produk mereka melalui surat khabar, majalah,
poster dan iklan agar dapat menarik minat pelanggan untuk membeli produknya. SFBE
juga menerima tempahan untuk majlis kenduri.
Tambahan pula,
pekerja-pekerja syarikat memulakan kerja membuat air berkarbonat ini mengikut
kuantiti tempahan pelanggan. Air berkarbonat yang telah dihasilkan akan
dibungkuskan dalam botol-botol yang dsediakan oleh pekerja dengan pelekat
jenama syarikat RE COOL dan
kemudiannya dibungkuskan dalam kotak-kotak. Tempahan-tempahan yang telah
disiapkan akan dihantar kepada pelanggan. Selain itu, SFBE juga membekalkan air
berkarbonat kepada pasar raya di sekitar syarikatnya. Syarikat juga mendapat
tempahan yang banyak terutamanya menjelang musim perayaan.
Berikut adalah
senarai harga-harga air berkarbonat yang ditawarkan oleh SFBE mengikut kuantiti
yang dibeli.
Kuantiti
(liter)
|
Harga
(RM)
|
10.0
|
10.00
|
5.5
|
5.50
|
5.0
|
5.00
|
4.0
|
4.00
|
3.0
|
3.00
|
1.5
|
1.40
|
1.0
|
1.10
|
500 ml
|
60 sen
|
2.2 Objektif Penubuhan
SFBE ditubuhkan untuk
pemasaran air berkarbonat alternatif kepada penduduk setempat dengan harga yang
tetap, kompetitif dan tidak membebankan bagi golongan yang berpendapatan
sederhana rendah atau tidak berkemampuan secara refill atau isi semula.
Air berkarbonat yang
dihasilkan atau diproses oleh SFBE adalah sederhana karbonatnya berbanding
dengan air berkarbonat yang dijual di pasar raya. Air berkarbonat yang
dihasilkan dengan sederhana karbonat menjadi selektif kepada para pelanggan
yang tidak kemahuan tinggi karbonatnya dan inisiatifnya pihak syarikat juga
mengeluarkan produk secara pembotolan.
Tujuan penubuhan SFBE
adalah untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan agar mendapat produk air
berkarbonat yang kurang karbonat, gula dan pewarna. SFBE membekalkan produk
yang berbagai-bagai perisa agar dapat memenuhi keperluan dan cita rasa
pelanggan.
Selain itu, penubuhan SFBE
ini juga adalah untuk memberi informasi terkini kepada masyarakat Malaysia
tentang kepentingan IKS dalam kalangan usahawan. Salah satu informasi yang
menjadi kenyataan ialah IKS dapat membantu para usahawan mempromosikan
perniagaan atau produk mereka bukan sahaja ke seluruh tanah air malahan ke
seluruh dunia.
Tambahan pula, SFBE ini
ditubuhkan bagi mendukung hasrat kerajaan untuk menjadikan IKS sebagai sumber
terpenting dalam negara ini menjelang Wawasan 2020. Syarikat ini juga
berperanan sebagai sebuah syarikat yang membantu syarikat-syarikat besar dalam
memenuhi keperluan pelanggan. Justeru itu, air berkarbonat yang dikeluarkan
adalah air yang sederhana karbonatnya dan menjadi selektif kepada mereka yang
berkemahuan untuk membelinya. Segala keperihatinan pihak syarikat ini juga
mampu menjadikan negara sebuah negara perindustrian jika diikuti oleh semua
lapisan masyarakat.
2.3 Sasaran Pelanggan dan
Persaingan
Sasaran pelanggan utama
ialah penghuni di sekitar Taman Seri Duyong 2 yang merupakan ahli-ahli keluarga
berumah tangga. Selain itu, menyasarkan pelanggan daripada sekitar kawasan
Duyong, Sungai Duyong dan sekitar Bandar Melaka Tengah.
Setiap perniagaan mempunyai
persaingan sama ada secara terus atau sebaliknya. Persaingan berlaku tidaklah
begitu ketara kerana hanya syarikat beliau sahaja yang menjual air berkarbonat.
Tambahan pula, di sekelilingnya pula membuka perusahaan bunga-bungaan, pembuatan
kraftangan dan lain-lain. Tambahnya lagi, “jika persaingan ini di pandang dari
sudut positif, hal ini akan membuatkan kita akan berusaha untuk memperbaiki
kelemahan dalam perniagaan agar mampu bersaing dengan pesaing-pesaing tersebut”.
2.4 Kekuatan dan
Kelemahan
SFBE berteraskan
IKS. Perniagaan ini mampu bertahan dan mengadaptasi kemerosotan ekonomi yang
disebabkan inflasi ataupun faktor lain. Tanpa subsidi ataupun sumbangan,
perniagaan ini mampu menambahkan ekonomi negara khususnya industri kecil di
sektor informal dan mampu membangunkan ekonomi masyarakat kecil. Secara umum,
perusahaan dalam skala kecil usaha perseorangan ataupun dengan rakan memiliki
kelebihan dan daya tarikan seperti tidak mempunyai risiko dalam perniagaan dan
masalah modal kerana perusahaan kecil tidak memerlukan modal yang besar. Selain
itu, banyak produk yang boleh dihasilkan oleh perusahaan kecil untuk dibekalkan
kepada pelanggan. Perusahaan besar banyak bergantung kepada perusahaan kecil
atau industri kecil. Proses mengembalikan modal adalah lebih cepat tercapai
bagi perusahaan kecil berbanding perusahaan besar kerana risiko perusahaan
kecil dalam pasaran adalah rendah.
Kelemahan yang
dialami oleh syarikat yang berdasarkan industri kecil ialah tidak berkemampuan
untuk mempromosikan produk-produk mereka kepada masyarakat dengan cepat dan
nilai tambah atau keuntungan yang diperoleh relatif rendah. Hal ini akan
menyebabkan gaji pekerja tidak dapat dibayar pada masa yang tepat.
Selain itu,
produk-produk yang dihasilkan oleh syarikat tidak dapat bertanding dengan
produk-produk yang lebih berjenama atau yang lebih digemari oleh pelanggan yang
dijual di pasar raya besar walaupun harganya adalah lebih rendah daripada harga
produk yang dijual di pasar raya.
Tambahan pula,
hutang juga merupakan kelemahannya. Pembahagian kerja yang tidak profesional
dan sering bekerja melebihi masa. Kelemahan yang sering dialami ialah tidak
mengetahui secara tepat berapa kebuntuhan modal kerja kerana tidak ada
perancangan perniagaan. Sumber yang dimiliki oleh pemilik dan lokasi syarikat
yang tidak strategik juga merupakan salah satu kelemahan yang dialami.
3.0 Impak Sosioekonomi
3.1 Impak Sosioekonomi
Terhadap Masyarakat Tempatan
Perkembangan perniagaan
di suatu tempat itu akan memberi suatu impak positif terhadap penduduk setempat
sekiranya masyarakat tempatan bekerjasama mendukung hasrat kerajaan. Setiap
perniagaan akan menyebabkan impak sosioekonomi terhadap sesuatu tempat, tidak
kira sama ada perniagaan itu jenis perniagaan yang berskala besar ataupun
berskala kecil.
Secara tidak langsung,
ini akan memberikan impak yang positif terhadap masyarakat tempatan seperti
memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan mahupun memberi ruang
kepada masyarakat tempatan menikmati produk keluaran IKS. Selain itu, dengan adanya
masyarakat tempatan yang bekerja dalam perniagaan berskala kecil dapat membantu
untuk mengembangkan lagi perniagaannya kerana wujudnya daya persaingan.
Selain itu, hal ini akan
memberikan peluang pekerjaan yang banyak serta dapat menambahkan pendapatan
negara. Dengan perkembangan ini juga, hal ini akan dapat menambah pendapatan
negara sejajar dengan hasrat kerajaan iaitu “rakyat berpendapatan tinggi
menjelang 2020”. Tambahan pula, proses
perniagaan ini akan dapat menanam sifat keusahawanan dalam rakyat kerana
sembilan per sepuluh sumber rezeki datang melalui perniagaan. Kewujudan proses
perniagaan ini akan membentuk sifat tolong-menolong seperti memberikan
tender-tender usahawan-usahawan kecil bagi membantu meningkatkan hasil
pendapatan mereka.
3.2 Impak Sosioekonomi
Terhadap Negara
Teknologi merupakan asas
kepada persaingan kerana ia merupakan faktor terpenting dalam membezakan produk
dan juga penentu kepada kejayaan dan kualiti produk IKS. Oleh yang demikian,
dengan menggunakan teknologi tidak mustahil pengusaha IKS mampu untuk
mengetengahkan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa. Ini dapat dilihat di
mana teknologi membantu IKS untuk meneroka pasaran baru dengan kos yang
minimum. Dengan menggunakan kelebihan teknologi sebagai saluran jualan dan
pemasaran yang berkesan, pengusaha dapat meyakinkan pelanggan untuk membeli
produk keluaran IKS di samping dapat meningkatkan keupayaan IKS untuk mencari
pelanggan baru, tempatan dan luar negara. Kelebihan teknologi tersebut,
membolehkan IKS menjadi lebih produktif dan cekap, lantas lebih kompetitif
dalam meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi negara.
Justeru itu, impak
sosioekonomi yang positif dapat dilihat sekiranya negara serta rakyatnya
berganding bahu dalam menjadikan IKS sebuah peluang pekerjaan yang penting pada
masa akan datang. Kesan yang positif juga dapat dilihat sekiranya kerajaan
mampu untuk memberikan sumbangan kepada usahawan-usahawan kecil ini untuk terus
mengembangkan produk mereka.
Secara tidak langsung,
sebahagian daripada ekonomi negara disumbangkan oleh IKS. Negara akan dapat
mengawal isu sosioekonomi jika semua ini dilihat dari sudut yang positif.
Sebagai contoh, negara Hong Kong dan Taiwan mampu menjadi sebuah kuasa besar
dalam mempelopori bidang ekonomi hanya mengesa rakyatnya supaya menceburi
bidang IKS ini.
Akhir sekali, jika semua
ini dapat dikotakan, maka tidak hairanlah jika perubahan taraf hidup serta kos
sumber pengeluaran yang semakin stabil mampu menjadikan negara setanding dengan
negara-negara maju yang lain. Tambahan lagi, ekonomi akan menjadi semakin kukuh
dan mampu mentadbir negara dengan hanya kekuatan pada kerjasama rakyatnya
sahaja.
Justeru itu, impak
sosioekonomi terhadap negara seperti IKS bukan sahaja wujud sebagai pelengkap
kepada industri berat di negara maju seperti Jepun, Jerman, Itali dan Amerika
Syarikat tetapi telah dianggap sebagai penggerak pembangunan di negara-negara
sedang membangun dan sokongan terhadap kegiatan ekonomi negara mereka. Di
Malaysia, impaknya mampu menjadikannya sebuah negara perindustrian suatu masa
nanti. Maka, semua ini haruslah terus digalakkan dan terus dipertingkatkan
supaya menjadi kompenan penting dan berdaya maju untuk mewujudkan rantaian dan
sokongan antara industri.
3.3 Permasalahan dan
Penyelesaian
Perniagaan adalah satu
pekerjaan yang selalu ditimpa masalah walaupun ia adalah lebih membawa
keuntungan yang berlipat kali ganda berbanding dengan bekerja makan gaji atau
kerja di bawah orang lain. Masalah pemasaran sebenarnya berhubung rapat dengan
banyak sebab. Antaranya, adalah terdapat segelintir pekerja-pekerja di dalam IKS yang ditugaskan untuk
menyenggara lejar, jurnal dan buku perakaunan tidak terlatih di dalam bidang
perakaunan. Ini menyulitkan pemilik IKS apabila pemeriksaan audit dilakukan
oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dan juga juruaudit luar.
Selain itu, kurangnya pengusaha kecil industri minuman ataupun makanan
yang mempunyai pensijilan halal. Dalam laporan kajian kami bagi pengusaha kecil
industri minuman mempunyai masalah dan penyelesaian bagi masalah tersebut
seperti, i)
persaingan monopoli daripada syarikat-syarikat besar, ii) kualiti produk yang
dikeluarkan tidak mencapai cita rasa pelanggan, iii) masalah tiada sumber
bekalan air yang bersih akan mengganggu proses pengeluaran produk, iv) peningkatan
harga bekalan barangan mentah secara mendadak seperti gula yang selalu tidak
menentu harga pasarannya disebabkan
kegawatan ekonomi, dan, v) lokasi perniagaan yang kurang dikunjungi pengunjung.
Lokasi tersebut akan menyebabkan perniagaan tidak dikenali ramai kerana
kemungkinan tersorok.
Antara penyelesaian yang
dapat diambil adalah, i) melakukan promosi di kawasan setempat dengan lebih
sistematik supaya dikenali penduduk setempat, ii) meningkatkan kualiti produk
dengan cara mendapat maklum balas daripada pelanggan yang membeli produk, iii)
menyediakan tangki simpanan air bersih yang dapat menampung pengeluaran produk
supaya operasi harian tidak terganggu, iv) membeli bekalan mentah secara pukal
dan disimpan supaya tidak menjadi masalah jika pada masa akan datang barang
mentah tersebut melonjak harganya. , dan, v) memilih lokasi perniagaan yang
lebih strategik dan lebih menonjol supaya dapat menarik pengunjung atau
pelanggan. Ini akan menyenangkan para pelanggan mencari lokasi perniagaan pada
masa akan datang.
4.0 Cadangan dan Potensi
Masa Hadapan
Setiap usahawan mesti mempunyai
hala tuju yang mampan bagi menjamin aktiviti perniagaan yang stabil dan
sentiasa berterusan. Pelbagai cadangan boleh diusulkan bagi menambah baik dan
mempertingkatkan pasaran produk. Antara cadangan mempertingkatkan dan
memperkembangkan perniagaan seperti berikut. Pertama, mengembangkan perniagaan
dengan menembusi pasaran luar produk air berkarbonat ini mempunyai kelebihan
yang tersendiri iaitu produk ini adalah halal yang dihasilkan oleh anak
tempatan yang terjamin kebersihannya. Produk ini sesuai untuk semua peringkat
umur kerana kurang kandungan gasnya.
Kedua, menambahkan
cawangan. Membantu produk dikenali ramai. Memberi peluang pekerjaan kepada
penduduk setempat. Sebagai sokongan bagi menampung permintaan.
Ketiga, membentuk
jaringan perniagaan dengan syarikat yang berpotensi membantu meningkatkan
kuantiti dan kualiti produk sebagai nilai tambah bagi membantu mengembangkan
produk ke luar negara.
Keempat, bijak mengenal
dan mengambil kesempatan atas sesuatu peluang.
Kelima, menganalisis
pasaran yang kurang berisiko bagi memasarkan produk.
Keenam, mempunyai
kebolehan dalam mengkoordinasikan semua kepentingan dan aktiviti. Memahami
masalah yang dihadapi pekerja kerana mereka merupakan antara aset terpenting dalam mempertingkatkan dan
memperkembangkan perniagaan.
Ketujuh, mengatasi
permasalahan yang dihadapi dengan bijak dan rasional di samping mahir dalam
prosedur-prosedur yang melibatkan urusan pengurusan syarikat.
Kelapan, potensi masa
hadapan. Dapat mengembangkan pasaran produk dalam dan luar negara. Membuka
peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada penduduk sekitar, mendapat
keuntungan berlipat kali ganda, dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) yang berperanan membantu mengembangkan ekonomi negara, membantu menaikkan
taraf penduduk setempat serta dapat menstabilkan antara pengeluaran dan
kehendak.
5.0 Kesimpulan
Pada dasarnya perniagaan
ini melibatkan penjualan produk yang berkualiti daripada pembekal kepada
pelanggan. Selain itu, IKS ini mampu mendidik pelajar menjadi usahawan setelah
habis pengajian. Tambahan pula, IKS sebagai penambah perasa sosioekonomi
terhadap masyarakat supaya maju ke hadapan. IKS berupaya menjadi sebuah
pekerjaan yang utama di Malaysia bagi meringankan beban rakyat dan menjana
ekonomi negara. Dengan ini, secara tidak langsung sosioekonomi penduduk
setempat akan berubah daripada mundur kepada maju.
Rujukan
Kementerian Pengajian
Tinggi. (2009). “Pembangunan Sosioekonomi Malaysia”.
http://globaledge.msu.edu/industries/food-and-beverage/background/
http://en.wikipedia.org/wiki/sosioekonomi-malaysia
MZ Zainudin, Nor Fazilah Abdul Hamid, Ong Beng Tai,
Too Jing Wei, Faiz Farhan Mohd Sharif, Muhammad Nur Mustaqim Saharin, Muhammad
Nasri Muhedi, Daryl Yeoh Dong Xiong
No comments:
Post a Comment