1.0 Pengenalan
Seni
ukiran kayu adalah seni kraftangan yang telah lama wujud dalam kalangan
masyarakat di kepulauan nusantara. Seni ukiran yang dipersembahkan melalui
bahan kayu ini sama seperti seni ukiran yang lain cuma berbeza dari segi cara
dan teknik pengukirannya. Seni ini berkembang luas di Malaysia dan Indonesia,
kedua-dua buah negara ini merupakan negara yang mempunyai hasil kayu-kayan yang
banyak yang mana terdapat kira-kira 3,000 spesis kayu-kayan. Di samping itu
juga, kayu adalah bahan alam yang sangat sesuai untuk diukir dan boleh
dipelbagaikan kegunaannya.
Ukiran
kayu merupakan hasil seni rupa tradisi Melayu yang terulung iaitu sejak 500
tahun dahulu. Ianya juga terkenal dengan keunikan, kelembutan, dan kehalusan
bentuknya. Ini dapat dilihat pada ukiran-ukiran yang terdapat di istana dan
rumah-rumah kediaman masyarakat Melayu dahulu kala. Justeru itu, keindahan dan
keunikan warisan bangsa yang bernilai ini mesti dipelihara dan dipertahankan.
Keindahan
seni ukiran kayu boleh dinilai pada kelembutan sifat yang terdapat pada daun,
bunga dan batang. Montif tumbuh-tumbuhan yang biasa digunakan adalah berasal
dari putik bunga, bunga kembang dan buah. Penggunaan warna dan penyerlahan unit
pada sifat juga dapat menonjolkan ciri-ciri keindahan pada panel ukiran. Nilai
estetik dalam sebuah ukiran kayu diambil kira pada keindahan ukiran, konsep,
komposisi, pemilihan bahan, teknik dan kemasan.
Kemahiran
si pengukir, faktor alam persekitaran, bahan binaan dan kepercayaan juga
mempengaruhi nilai estetik seni kraf kayu. Konsep dan olahan idea pada motif
ukiran mampu menambah nilai sebuah penghasilan berseni dalam karya ukiran.
Kaedah melalui pengambilan gambar, meniru alam dan menggayakan alam dapat
dihasilkan dengan mudah dan pengukir akan lebih menghayati ukiran yang dihasilkan.
1.1 Definisi Perniagaan Kecil dan Sederhana (IKS)
IKS berfungsi bagi membantu asas industri negara.
Ini untuk mengelak pergantungan daripada sensitiviti ekonomi global. IKS perlu
dimajukan secara bersepadu dan menyeluruh terutama dalam perhubungan ekonomi
jangka masa.
IKS merupakan nadi serta enjin pelaburan domestik
dalam menjana ekonomi Malaysia. Peranan dan sumbangan IKS ini menjadi semakin
penting dalam mencapai wawasan 2020 dan menjadikan negara ini sebagai sebuah
negara perindustrian. Malah IKS boleh dijadikan sebagai asas, tulang belakang
dan pendokong dalam memenuhi hasrat dan cita-cita wawasan pembangunan ekonomi
negara selepas 2020. Satu pelan perusahaan atau Industri Kecil dan Sederhana
(IKS) bagi tempoh 2010 hingga 2020 akan dirangka dan dimasukkan sebagai
sebahagian daripada Model Ekonomi Baru (MEB).
IKS telah memberi sumbangan dalam beberapa bidang seperti jumlah pertubuhan, jumlah pekerjaan, nilai keluaran dan harta tetap. IKS membuka banyak peluang pekerjaan, sumbangan dalam meningkatkan jumlah simpanan negara dan menjimatkan tukaran wang asing. Selain itu mewujudkan distribusi pendapatan yang lebih baik, membantu dalam melahirkan dan meningkatkan kemahiran dalam kalangan tenaga kerja terlibat baik di peringkat pekerja mahupun pada peringkat pengurusan dan membantu dalam meningkatkan arus pemindahan teknologi asing.
IKS perlu membuat jaringan perniagaan yang meluas
merangkumi jaringan dengan sektor swasta dan sektor awam. Kedua-dua sektor ini
adalah pelengkap kepada industri IKS. Tanpa kerjasama dari dua sektor ini, IKS
tidak mampu berkembang maju.
Hal ini demikian adalah penting kerana negara kita memerlukan kepelbagaian dalam sektor industri. Penglibatan IKS yang aktif dan dalam pelbagai sektor juga membolehkan asas industri yang mantap dan kukuh dan tidak akan tergugat dan terjejas sekiranya terdapat penarikan operasi dan pelaburan dari sektor swasta dan awam.
Selain itu, IKS dengan penyesuaian mereka kepada intensif tenaga buruh dapat mengeluarkan barangan yang tidak dapat dihasilkan oleh syarikat dan firma besar. Pembuatan barangan makanan, pakaian dan alatan perabot daripada industri kecil sekurang-kurangnya dapat memenuhi kepuasan cita rasa pengguna dalam negeri.
Tidak dapat dinafikan juga bahawa IKS juga dapat
mengeluarkan barangan yang dapat memenuhi keperluan barangan sebahagian besar
golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana dalam negeri. Perkara ini
jelas dapat dilihat dalam industri tertentu seperti pembuatan makanan,
pembuatan logam, peralatan plastik dan getah, pakaian, peralatan perabot dan
seumpamanya.
Dengan itu melalui Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan oleh Datuk Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak dapat memacu ekonomi rakyat dengan lebih tinggi. Dengan cara ini juga menggalakkan peniaga menjalankan perniagaan yang lebih kreatif, inovatif dan bernilai tinggi. Dengan cara alternatif ini pelaburan mereka akan mendapat pulangan yang berlipat kali ganda.
Kadar pembangunan ekonomi negara semakin pesat, pertumbuhan sektor perkilangan yang meyakinkan dan wawasan negara ke arah negara perindustrian 2020, ternyata memerlukan sokongan dan sumbangan IKS yang lebih besar dan bermakna.
1.2 Definisi
Ukiran Kayu
Menurut
istilah Dewan Bahasa dan Pustaka, seni ukiran kayu merupakan satu proses
menorah, menggores dan memahat dengan menggunakan pahat untuk membuat reka
bentuk pada kayu atau barang perhiasan dan lain-lain. Kesimpulannya, ukiran
kayu adalah kerja mengukir atau menggores kayu mengikut reka corak yang
tertentu dengan menggunakan alatan seperti pahat, pisau dan sebagainya.
Usaha
kerja mengukir merupakan satu cara penghayatan, penyataan seni emosi pengukir
dan daya cipta dalam bentuk tampak terhadap beraneka benda serta berfungsi
terhadap penggunaannya pada masyarakat. Tekniknya paling bebas dan tidak
tertakluk kepada seni bina. Walau bagaimanapun, tidak boleh berdiri dengan
sendiri tanpa pertolongannya kerana ianya penyokong kepada rupa ukiran
tersebut.
2.0 Latar Belakang Syarikat
2.1
Sejarah Penubuhan
Perusahaan Zalikraf
merupakan sebuah perusahaan yang mengusahakan perniagaan yang berasaskan ukiran
kayu yang dibuat khusus untuk reka hias masjid, reka hias dalaman, taman dan
dapur. Perusahaan Zalikraf ini telah ditubuhkan sejak 20 tahun lalu dengan bermula
sebagai perusahaan kecil-kecilan dan telah dijalankan di atas tanah sendiri
yang dimiliki oleh keluarga. Bengkel asal didirikan pada tahun 1992 yang hanya
meliputi keluasan yang terhad. Di atas sokongan padu dari ahli keluarga, sebuah
bengkel baru telah berjaya dibina pada tahun 2001 hasil daripada usaha
perniagaan yang telah dijalankan lebih dari 10 tahun. Hingga kini, Perusahaan
Zalikraf telah berjaya mengembangkan perniagaannya sehingga ke serata
Semenanjung Malaysia. Perusahaan ini menyediakan pelbagai jenis rekaan ukiran
kayu Melayu tradisional yang bernilai dan bermutu tinggi.
2.2 Jenis
Perniagaan
Perusahaan
Zalikraf adalah sebuah perusahaan yang berasaskan kayu. Produk yang dihasilkan
ialah ukiran kayu Melayu tradisional yang merupakan khazanah bernilai sesebuah
bangsa. Antara jenis ukiran kayu yang dihasilkan ialah:
- Reka hias masjid seperti mimbar masjid, kerusi imam (khatib), tongkat imam, meja ustaz mengajar, tabung, skrin pemidang dan tulisan khat ukiran kayu.
- Reka hias dalaman seperti mereka bentuk kedudukan bunga ukiran atau kerawang tembus dalam ruang kediaman dan pejabat, mereka hias papan kerawang tembus railling (tangga, anjung rumah, serambi dan sebagainya), pending pada cucur atap, papan tanda (logo korporat, syarikat, sekolah, badan-badan kerajaan dan swasta) serta mereka hias set pelamin pengantin yang berasaskan ukiran kayu.
- Reka hias taman seperti ruang rehat untuk pagalo/wakaf dalam taman, tunjuk arah papan berukir dalam taman ) dan replika direkahias menggunakan kayu.
- Reka hias cenderahati.
- Reka hias kabinet dapur.
2.3 Lokasi
Perniagaan
Perusahaan
Zalikraf terletak di
kawasan kampung iaitu Kampung Serom 4 Hulu. Jarak masa yang diambil untuk
sampai ke perusahaan ini lebih kurang 20 minit dari tol Tangkak melalui pekan
Sungai Mati, 30 minit jika dari bandar Muar dan 20 minit jika dari bandar baru
Bukit Gambir.
2.4 Objektif Penubuhan
- Meneruskan dan memperkenalkan seni warisan Melayu.
- Memajukan produk dan hasil kraftangan Malaysia.
- Menjana peluang untuk komuniti untuk peluang pekerjaan dan jugak memberi peluang-peluang untuk peminat kraftangan.
- Minat dan cita-cita yang mendalam dalam perusahaan kraftangan dan perniagaan yang berasaskan ukiran kayu.
- Memajukan dan yang mana perlu menggiat dan memulihkan kemahiran dan ketukangan tradisional.
- Memajukan dan menggiat perkembangan serta memelihara standard, perusahaan kraftangan dengan berbagai cara termasuk mengadakan perkhidmatan penyelidikan, penasihatan dan pengembangan.
- Memandu, mengorientasi dan membantu tukang-tukang yang ada sekarang ke arah penggunaan cara-cara moden pengeluaran, pengurusan dan pemasaran.
- Memajukan pemasaran dan pengeksportan keluaran-keluaran kraftangan negara.
2.5
Proses Penghasilan Produk
Dalam proses membuat ukiran kayu ini, pelbagai peringkat pemprosesan
harus dijalankan. Kayu merupakan bahan mentah utama yang digunakan. Pelbagai
jenis kayu seperti kayu cengal, nyatoh, meranti, seraya dan mersawa diterima
daripada pembekal dari Johor dan juga beberapa negeri lain di Semenanjung
Malaysia.
2.5.1 Proses Mengukir, Memotong dan Menebuk
Proses mengukir dan mereka motif untuk ukiran kayu hanya pengukir utama iaitu
Encik Tuzelan yang mampu melakukannya. Ini memerlukan
kemahiran serta komitmen yang tinggi agar ukiran yang dihasilkan nampak bermutu
dan mempunyai nilai yang tersendiri. Bahagian memotong dan menebuk dibantu oleh
pekerja lain. Pahat, penukul, mesin gergaji, mesin menebuk antara alat yang
digunakan dalam proses ini.
2.5.2 Proses Membina
Seterusnya ialah proses membina dan membentuk produk ukiran kayu. Proses
ini dilakukan oleh pekerja Encik Tazlan. Beliau hanya membantu dan memantau
agar produk yang dibuat menjadi seperti didalam lakaran. Proses membuat mimbar
mengambil masa lebih kurang 20 hari dan memerlukan ramai pekerja dari segi
aspek termasuk memotong, mengukir dan sebagainya untuk menyiapkannya. Senapang
paku digunakan bagi memudahkan proses memaku dan menyambung kayu. Pelbagai
mesin juga digunakan untuk memudahkan proses membina ini.
2.5.3 Proses Mengemas Kini
Proses
mengemas kini terdiri kepada beberapa bahagian iaitu proses menampal lubang,
proses menggosok dan melicinkan permukaan kayu yang siap diukir serta proses
mensyelek. Sejenis gam khas untuk menampal lubang pada permukaan kayu digunakan
dalam proses menampal lubang. Sebelum proses mensyelek, proses menggosok perlu
dilakukan terlebih dahulu agar permukaan produk tampak licin dan kemas. Proses
mensyelek perlu diulang dua kali diselangi dengan proses menggosok. Dengan cara
ini cat yang ada pada produk Zalikraf akan dapat bertahan dengan lebih lama.
2.6
Strategi Perniagaan dan Pemasaran
Beliau
telah mengamalkan beberapa sistem yang agak berjaya. Salah satu cara beliau
memasarkan perusahaan produk beliau ialah:
- Mewujudkan kerjasama yang baik dengan arkitek-arkitek tempatan, pereka hias dalam, Jabatan Kerja Raya, kontraktor-kontraktor utama, sub-kontraktor tempatan, Jabatan Agama Islam negeri-negeri, Jabatan Pelancongan Negeri, Perbadanan Kraftangan Malaysia dan orang perseorangan.
- Memasuki tender-tender kerajaan dan swasta yang lebih khusus dalam bidang kraf (ukiran kayu yang berkaitan).
- Mewujudkan kerjasama yang baik dengan para usahawan, koperasi yang berdaya maju dalam bidang kraf untuk pasaran tempatan dan luar negara.
- Mempromosikan produk keluaran melalui penyertaan pameran jualan dan demonstrasi di peringkat daerah, negeri dan yang terbaru peringkat kebangsaan.
- Mempamerkan produk di bilik pameran di beberapa badan kerajaan dan swasta dalam mempromosikan lagi produknya untuk masyarakat tempatan dan luar negara.
2.7 Kekuatan
dan Kelemahan
2.7.1 Kekuatan
Sebagaimana
yang kita ketahui perniagaan banyak mendatangkan faedah kepada individu dan
sesebuah masyarakat. Justeru itu, ini boleh menambahkan lagi kekuatan sesebuah
perniagaan. Kekuatan perusahaan ini ialah permintaan yang tinggi terhadap
produk yang dihasilkan. Ini kerana produk yang dihasilkan mempunyai seni yang
halus, bernilai serta bermutu tinggi. Contoh produk yang dihasilkan seperti
mimbar masjid.
Seterusnya,
dengan adanya perusahaan ini warisan seni turun-temurun dapat dikekalkan. Maka
warisan ini tidak akan luput dan hilang ditelan zaman. Dengan adanya perusahaan
seperti ini generasi akan datang masih mampu mengenali serta mempelajati seni
ukiran Melayu.
Akhir
sekali, kerajaan telah memberi banyak inisiatif dalam memartabatkan seni
warisan zaman berzaman seperti projek pembangunan Satu Daerah Satu Industri (SDSI)
dan program IKS. Menurut Encik Tuzelan, perusahaannya telah banyak menyertai
program-program pameran kraf di seluruh Malaysia. Secara langsung program
seperti ini telah mempromosi hasil kraf di peringkat dalam dan luar negara.
2.7.2 Kelemahan
Setiap
perniagaan atau perusahaan semestinya mempunyai kekuatan dan kelemahan sendiri.
Menurut Encik Tuzelan, kekurangan pekerja mahir sedikit memberi kesan kepada
perusahaan ini. Dalam perusahaan ini hanya mempunyai seorang yang mahir untuk
membuat ukiran kayu. Sebagai langkah untuk mengatasi masalah ini, beliau telah
menggalak dan memberi tunjuk ajar kepada para pekerjanya untuk mempelajari seni
ukiran kayu ini.
Seterusnya,
kelemahan dalam perusahaan seni ukiran kayu ini ialah kesukaran untuk
mendapatkan bahan mentah iaitu kayu. Ini kerana kayu yang digunakan bukannya
kayu sebarangan. Jenis kayu yang digunakan hendaklah kayu yang berkualiti agar
seni ukiran kayu itu bertahan lebih lama. Menurut Encik Tuzelan, selain
daripada kesukaran untuk mendapatkan kayu yang berkualiti, harga kayu ini juga
agak mahal.
3.0 Impak Sosioekonomi
3.1 Impak
Sosioekonomi kepada Masyarakat
Projek perusahaan
Zalikraf ini sememangnya telah memberikan suatu impak yang besar terhadap
keadaan ekonomi masysarakat setempat. Semenjak perusahaan Zalikraf ini
ditubuhkan, banyak peluang pekerjaan telah diwujudkan kepada masyarakat
setempat. Secara langsung, ianya dapat mengurangkan kadar pengangguran penduduk
setempat. Ianya juga sudah pasti dapat membangunkan kawasan setempat.
Seterusnya,
dengan wujudnya perusahaan seperti ini minda masyarakat setempat akan lebih
terbuka. Mereka boleh atau lebih pandai untuk mengambil peluang yang ada bagi
menaikkan taraf kehidupan mereka. Tidaklah mereka hanya menunggu hasil bantuan
daripada pihak-pihak tertentu untuk menaikkan taraf kehidupan mereka.
Perusahaan sebegini juga boleh melahirkan perasaan untuk bersaing dalam diri
setiap anggota masyarakat. Perasaan untuk bersaing ini ialah perasaan bersaing
untuk mendapatkan atau mencari pendapatan yang lebih dengan cara yang sihat.
Dalam
dunia perniagaan, sudah pasti pengusaha akan saling berkait atau berhubung
untuk mendapatkan sumber mentah untuk menghasilkan produk mereka. Proses ini
lebih dikenali sebagai rantaian perniagaan. Contohnya seperti perusahaan
Zalikraf ini sendiri memerlukan sumber mentah kayu yang banyak untuk
menghasilkan seni ukiran kayu. Secara langsung, industri di sekeliling
perusahaan ini juga akan mendapat kebaikan.
3.2 Impak
Sosio Ekonomi kepada Negara
Selain
daripada impak sosio ekonomi kepada kepada masyarakat, perusahaan seperti
Zalikraf ini juga mendatangkan impak kepada negara kita sendiri. Ini berikutan
banyak faedah yang diperoleh daripada perusahaan seperti ini. Antaranya ialah
dapat meningkatkan pendapatan negara dan mengukuhkan institusi perindustrian
negara. Pengambilan pekerja asing juga dapat dikurangkan. Justeru, pengaliran mata
wang negara kita dapat dikurangkan.
Seterusnya,
negara tidak perlu melaburkan wang yang terlalu banyak untuk menyediakan
peluang pekerjaan kepada rakyat. Ini kerana rakyatnya telah mengambil peluang
yang ada untuk menjana pendapatan sendiri. Rakyat tidak lagi perlu terlalu
bergantung kepada ekonomi negara sepenuhnya. Jikalau berlaku kemerosotan
ekonomi negara, rakyat tidak akan terlalu merasakan kesannya kerana rakyat
mempunyai system ekonomi sendiri.
Sehubungan
itu, negara dapat mengurangkan perbelanjaan setiap tahun. Hasil ini dapat
digunakan untuk subsidi keperluan seharian. Subsidi dapat digunakan kepada
barang-barang atau kegunaan yang lebih penting. Subsidi juga adalah untuk
kepentingan rakyat. Kadar cukai juga dapat dikurangkan apabila hasil pendapatan
tahunan negara mendapat keuntungan atau kelebihan. Secara tidak lansung, ianya
memberi kebaikan atau faedah kepada rakyat.
3.3
Permasalahan dan Penyelesaian
Perusahaan
ukiran kayu ini memerlukan minat serta komitmen yang tinggi untuk menghasilkan
sesuatu ukiran yang bernilai dan bermutu tinggi. Pelbagai masalah yang telah
dihadapi oleh Encik Tuzelan dalam usaha membangunkan perusahaan ukiran kayu
ini. Antara masalah yang telah dan sedang dihadapi antaranya ialah kurangnya
pekerja mahir yang mampu menghasilkan ukiran yang bermutu seperti yang
dihasilkan oleh Encik Tuzelan sendiri. Rata-rata pekerja yang berkerja ditempat
beliau ialah pekerja separa mahir dan pekerja sambilan sahaja, mereka ini hanya
membantu proses mengemaskini ukiran dan sebagainya. Pelbagai usaha yang telah
dilakukan oleh beliau untuk menangani masalah ini antaranya ialah mempromosikan
jawatan kosong dalam surat khabar dan mengadakan program untuk meningkatkan
tahap kesedaran belia serta penduduk berdekatan betapa pentingnya ukiran kayu
ini untuk dimartabatkan.
Selain
itu, masalah yang dihadapi oleh Encik Tuzelan ialah kesukaran untuk mendapatkan
sumber kayu yang berkualiti. Kayu yang berkualiti merupakan antara aspek yang
penting dalam menghasilkan produk ukiran yang tahan dan bermutu. Kos yang
tinggi untuk mendapatkan kayu bermutu juga antara masalah yang perlu dihadapi
oleh beliau. Bagi mengatasi masalah ini, beliau telah mendapatkan sumber kayu
melalui orang tengah. Kebanyakan sumber kayu diperolehi daripada Pahang.
Seterusnya
masalah yang dihadapi ialah kesukaran untuk memasarkan produk ukiran kayu. Encik
Tuzelan telah mendapat inisiatif untuk mempromosikan produk ukirannya di dalam
laman web dan laman sesawang seperti Facebook. Semenjak itu, pelanggan
yang datang membeli dan menempah produk ukirannya semakin bertambah dan
pasarannya semakin meluas. Encik Tuzelan juga telah membuka sebuah galeri di
bandar Muar bagi memudahkan beliau berurusan dengan para pelanggannya. Galeri
ini juga berfungsi sebagai tempat untuk mempromosikan pelbagai produk ukiran
kayu yang telah siap dan sedia dijual kepada pelanggan.
3.4 Cadangan
Dalam
memajukan lagi perusahaan Zalikraf, Encik Tuzelan telah bercadang untuk
menambah lagi cawangan perusahaan ini di seluruh Malaysia. Beliau sengaja
meletakkan sasaran setinggi itu kerana baginya, sesuatu perkara tidak mustahil
jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Namun, perkara tersebut dapat
dikecapi jika keuntungan perusahaan itu bertambah dari hari ke hari dan semakin
dikenali.
Bukan itu sahaja, beliau juga bercadang agar
produk yang dijual dapat dikenali di seluruh Malaysia. Buat masa ini, beliau
masih menggunakan blog dan Facebook untuk mempromosikan perusahaan ini
selain menghebahkannya melalui risalah. Namun, beliau akan menggunakan
teknologi yang terkini pada waktu yang akan datang dalam mempromosikan lagi
perusahaannya ini.
Tambahan lagi, beliau juga akan mempelbagaikan
jenis-jenis produk yang akan dijual. Setiap produk yang boleh dipasarkan adalah
bernilai dan memberi keuntungan kepada perniagaan yang dijalankan. Bagi beliau,
setiap produk yang boleh dipasarkan adalah bernilai dan akan membawa
keuntungan.
3.5
Potensi
Persaingan perniagaan
yang kurang sengit peluang perniagaan untuk bertahan sangat tinggi. Pada masa kini agak
sukar untuk mencari perusahaan-perusahaan di Malaysia yang menjalankan
perusahaan seni ukiran Melayu ini. Berikutan itu, ini merupakan satu peluang
yang mesti diambil oleh pengusaha – pengusaha seperti Encik Tuzelan. Potensi untuk
bertahan dalam bidang seperti ini amatlah tinggi. Ini kerana kurangnya
penyertaan dari ramai untuk menceburi yang diceburi olehnya.
Perusahaan seni ukiran
kayu seperti yang sedang diusahakan oleh Encik Tuzelan ini amatlah penting
kepada negara. Disebabkab seni ukiran kayu adalah salah satu daripada warisan
bangsa dan negara kita, maka ianya amat penting untuk dipertahankan daripada
terus luput ditelan zaman. Jika tidak generasi akan datang tidak lagi akan
mengenali apa itu seni ukiran kayu.
Ukiran kayu Zalikraf
mempunyai nilai yang tersendiri. Adalah satu kelebihan bagi sesiapa yang mempunyai
kemahiran membuat seni ukiran kayu. Seperti perusahaan yang diusahakan oleh Encik Tuzelan ini, hasil seni
ukirannya mempunyai nilai estetika yang tersendiri. Sememangnya seni ukiran kayu ini
amat bernilai kerana ianya adalah warisan bangsa.
Mampu mengembangkan
perniagaan ke seluruh Malaysia. Sememangnya hasrat Encik Tuzelan sendiri hendak
mengembangkan perniagaannya secara lebih meluas di Malaysia. Melalui peneyrtaan
di beberapa pameran, beliau boleh mengukuhkan jenama produk beliau di seantero
Malaysia.
Dapat memberi peluang
pekerjaan kepada masyarakat. “Apa guna perusahaan kalau tiada memberi perkerjaan
kepada masyarakat setempat” kata Encik
Tuzelan. Ya, sememangya
perusahaan seperti ini memang memberi banyak kebaikan kepada masyarakat
setempat. Rata-rata pekerja yang bekerja di perusahaan beliau adalah masyarakat
setempat. Dengan itu dapatlah menaikkan keadaan ekonomi di kawasan itu.
4.0 Kesimpulan
Seseorang bakal usahawan yang ingin menceburi
bidang keusahawanan dan berjaya dalam bidang tersebut, perlu mempunyai daya
pemikiran yang kreatif dan bijak ketika berhadapan dengan apa jua situasi dalam
bidang keusahawanan. Bukan itu sahaja, seorang usahawan juga harus amanah dan
ikhlas dalam mengusahakan perniagaan mereka. Sifat jujur yang diterapkan dalam
diri seseorang usahawan itu akan menyenangkan mereka dalam menguruskan
perniagaan tanpa sebarang masalah.
Seperti yang dikatakan oleh Encik Tuzelan,
beliau selalu mengingatkan bahawa jika ingin melakukan sesuatu perkara,
perlulah dari bawah. Tidak semua perkara yang diingini dapat dicapai atau berjaya
diperoleh. Dengan mempraktikkan sikap ini, seseorang usahawan dapat
menyelesaikan sesuatu masalah di dalam perniagaan seperti kemerosotan atau
kerugian dengan mudah. Hal ini dapat dilakukan kerana seseorang usahawan itu
mempunyai asas yang kukuh dalam mengendalikan perniagaan mereka itu.
Dalam memajukan perusahaan pula, seseorang
usahawan itu harus mengintai peluang yang terhidang di hadapan mata mereka.
Setiap produk atau servis yang berpotensi tinggi dapat memajukan sesebuah
perusahaan itu, haruslah dijalankan bersama produk atau servis yang sedang
diusahakan. Bukan sekadar keuntungan yang berlipat ganda sahaja yang dapat
diperoleh, bahkan pelbagai jenis produk atau servis juga boleh didapati di
dalam sesuatu perusahaan.
Selain itu, seperti Encik Tuzelan, seorang
usahawan juga perlu mempunyai daya inovasi yang tinggi sekiranya ingin bersaing
dengan usahawan-usahawan lain. Persaingan sememangnya menjadi perkara normal
dalam sesuatu perniagaan. Oleh yang demikian, untuk memajukan lagi perusahaan
atau servis yang dijalankan berbanding pengusaha lain, sifat ini mestilah
dipraktikkan dalam diri seseorang usahawan agar keuntungan yang berlipat ganda
dapat diperoleh. Akhir sekali, seseorang usahawan juga harus bijak dalam
mempromosikan perusahaan atau servis yang dijalankan. Hal ini membuatkan
perniagaan yang dilakukan bertambah maju dan semakin dikunjungi ramai.
MZ Zainudin,
Noor Nashrul Ezzuan Kamarudin, Abdul Rashid Abdul Razak, Muhamad Faeez Hamisan,
Nurul Fatin Ibrahim, Siti Zaleha Abas
No comments:
Post a Comment