Wednesday, June 10, 2015

Akhlak mulia jaminan syurga








Rasullullah saw bersabda,

"Aku sebagai ketua dapat menjamin sebuah rumah di taman syurga untuk orang yang meninggalkan perdebatan meskipun dia benar dan menjamin sebuah rumah di pertengahan syurga bagi orang yang tidak berdusta dan orang yang baik akhlak budi pekertinya".
(Riwayat Abu Daud)

Hadis ini telah menerangkan tiga perilaku penting yang mendapat jaminan syurga bagi mereka yang memilikinya. Begitu juga ketiga-tiga perilaku ini perlu diiringi dengan kewajipan-kewajipan lain yang ditentukan oleh Islam.

Perilaku pertama ialah orang yang meninggalkan perdebatan meskipun dia benar. Berdebat atau berbantah-bantahan adalah satu pernyataan dengan maksud menjadikan orang lain memahami sesuatu pendapat, mengurangkan kewibawaan lawan debat itu dengan cara mencela dan sebagainya. 

Apa yang lebih ditonjolkan dalam proses berdebat itu adalah keegoannya dengan pelbagai cara. Ramai orang yang egonya sangat tinggi dan tidak mahu dikalahkan oleh sesiapa sahaja ketika perdebatan berlangsung. Orang seperti ini selalunya mempertahankan ideanya dengan apa cara sekalipun. Kalau dilayan berkemungkinan bukan sekadar pertengkaran mulut malah beradu tenaga. Oleh kerana itu perdebatan hendaklah dijauhi kerana ia memudaratkan dan dianggap sebagai salah satu perdebatan yang menyesatkan.

Akan tetapi dalam keadaan tertentu seperti berdebat dengan orang-orang kafir mengenai hal-hal akidah, kita mesti mempertahankan pendapat kita sendiri berlandaskan syarak dengan pelbagai cara supaya mereka menyedari bahawa akidah kita memang benar. Jika mereka tidak mahu mengerti juga maka serahlah kepada Allah agar mereka diberi petunjuk tetapi mesti tetap berusaha untuk tidak mengadakan dan mengikut pendapat mereka.

Perilaku kedua ialah orang yang tidak berdusta meskipun bergurau. Dusta merupakan satu pertanyaan, pendapat atau pandangan yang tidak selari dengan kenyataan sebenar. Perbuatan ini sangat dilarang dalam Islam kerana selain merugikan orang lain juga merugikan diri sendiri. Sebaliknya Islam sangat menghargai orang yang bersifat jujur walaupun ketika bergurau seseorang itu selalunya suka berlebih-lebihan untuk menarik ketawa orang yang diajak bergurau. Keadaan ini menjadikannya merasa puas dan merangsangnya untuk melakukan gurauan dengan pelbagai cara walaupun harus berbohong. Perkara ini tidak dibenarkan dalam Islam biar apa pun alasannya. Berbohong adalah perbuatan yang sangat dilarang kerana boleh mencetuskan pelbagai masalah kepada individu dan masyarakat keseluruhannya. Untuk menjadi orang yang jujur kita perlu berkawan dan bergaul dengan mereka yang jujur kerana pergaulan sangat berpengaruh terhadap watak dan keperibadian.

Perilaku yang ketiga ialah orang yang baik budi pekertinya. Sifat dan akhlak yang terpuji ini dapat meningkatkan darjat dan martabat seseorang di sisi Allah swt dan dalam pandangan manusia.

Salah satu risalah Rasullulah saw adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Itu adalah salah satu strategi yang telah mendorong kejayaan dakwah baginda. Rasulullah saw tidak sekadar menganjurkan perintah ini kepada umatnya malah menjadikan peribadinya sebagai contoh teladan. Tidak hairanlah akhlak baginda dikagumi oleh kawan dan lawan kerana akhlak terpuji tersebut. Antara sifat orang yang berakhlak mulia adalah bermuka manis untuk membantu orang lain dalam melaksanakan perkara yang baik dan berfaedah, menjaga diri daripada perbuatan yang jahat dan sentiasa memaafkan orang lain. Individu yang memiliki sifat seperti ini selain dijanjikan dengan syurga juga dianggap orang yang paling baik di kalangan manusia.

Berhubung dengan gambaran yang dibayangkan oleh Rasulullah saw mengenai akhlak dan perilaku yang sangat dituntut dalam Islam, tidak lain adalah jaminan syurga. Beberapa ayat al-Quran yang dapat dikaitkan dengan jaminan tersebut seperti surah Al-An'am ayat 121 yang bermaksud, "Dan janganlah kamu makan binatang yang disembelih tanpa menyebut nama Allah, sesungguhnya yang demikian adalah suatu kefasikan. Sesungguhnya syaitan membisikkan kepada rakan-rakannya agar mereka membantah kamu dan jika kamu mengikut mereka, tentulah kamu menjadi orang-orang yang musyrik".

Begitu juga surah Az-Zumar ayat 60 dan 61 yang bermaksud, "Pada hari kiamat engkau melihat orang-orang berdusta terhadap Allah, muka mereka hitam warnanya. Bukankah dalam neraka tempat tinggal orang-orang yang sombong ? Allah menyelamatkan orang-orang yang bertakwa dengan kemenangannya, mereka tidak ditimpa kejahatan dan tidak berdukacita".

Daripada huraian hadis dan ayat-ayat al-Quran ini, rumusannya ialah terdapat tiga perkara yang sangat baik untuk dilakukan oleh kita iaitu meninggalkan perdebatan meskipun benar, tidak berdusta untuk bergurau dan baik budi pekerti atau tingkah lakunya. Rasulullah saw telah memberi jaminan bahawa mereka yang memiliki tiga sifat tersebut akan dijamin balasan syurga, diletakkan dalam tingkatan berbeza mengikut tahap yang bersesuaian dengan amalannya. Memiliki akhlak yang mulia bukanlah senang malah perlu berusaha untuk mendapatkannya. Ketika ditanya tentang akhlak Rasulullah saw, S.Aishah menjawab bahawa akhlak Rasullullah sawadalah al-Quran itu sendiri.

Islam sangat menghargai dan memuliakan orang yang bersifat jujur dan benar walaupun ketika bergurau. Kejujuran dan kebenaran sentiasa dipegang teguh oleh ahli ilmu, jika menghadapi sesuatu yang belum diketahui secara jujur perlu menyatakan bahawa dirinya tidak tahu. Itu merupakan kejujuran yang sangat tinggi dari seseorang ilmuan Islam untuk mendapatkan redha Allah swt.



No comments:

Post a Comment