Muktamar Pas ke-61 yang baru berakhir menyerlahkan dominasi proulama. Kelompok profesional seperti Mohamad Sabu dan Husam Musa tidak lagi menjadi pilihan. Angin perubahan telah melanda Pas.
Rakan-rakan parti dan pertubuhan bukan kerajaan mengucapkan tahniah kerana muktamar telah berlangsung dalam keadaan lancar. Ikram Malaysia turut mengucapkan tahniah, walau bagaimanapun sekutu Pas dalam Pakatan Rakyat, PKR dan DAP menerima keputusan berkenaan dengan DAP mengalu-alukan wakil Pas meletakkan jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang.
Perancangan memenangkan proulama telah berjaya. Pemerhati dan penganalisis politik menyifatkan kejayaan itu sebagai petaka terhadap penerimaan penyokong PR di seluruh negara. Lim Kit Siang meramalkan PR akan kekal hanya selama dua minggu lagi. Sudah tentu perjalanan politik Malaysia akan berubah sama sekali.
Pertubuhan bukan kerajaan yang menjadikan Islam sebagai perjuangan turut berhadapan dengan tempias perubahan dalam Pas. Jika sebelum ini banyak NGO ini yang sedia bekerjasama dengan PKR dan DAP disebabkan pendekatan tahaluf siyasi Pas, kini mereka menilai kembali semangat dan pengorbanan berkenaan.
Mereka mesti menyediakan strategi khusus dalam tempoh tiga tahun ini untuk membentuk pendekatan yang sesuai dengan perubahan ini. Banyak aspek yang harus dinilai seperti latar belakang golongan pemuda dan muslimat, mentafsir setiap keputusan yang diperakui oleh Majlis Syura dan menganalisis ucapan-ucapan setiap pemimpin Pas sama ada dalam ceramah, kenyataan di media massa atau tulisan-tulisan dalam media sosial. Semua bentuk ucapan dan kenyataan yang dikeluarkan sudah tentu menggambarkan pandangan presiden dan Majlis Syura.
Oleh kerana kepimpinan 2015-2017 didominasi proulama, strategi harus melihat dalam aspek fungsi ulamak. Suara mereka sudah pasti lebih gah dan memberi penekanan terhadap prinsip-prinsip Islam seperti undang-undang syariah, pematuhan kod berpakaian di samping elemen-elemen fundamental Islam khususnya kewangan, pentadbiran dan sosiobudaya Islam. Oleh kerana ulamak tidak terdedah dengan dinamika masyarakat yang lebih rencam, peranan NGO adalah mengenengahkan konsep dan teori yang sedang berlaku dalam masyarakat khususnya dalam pelbagai etnik.
Ulamak melontarkan idea dan NGO Islam wajar menyambutnya dengan pendekatan kreatif supaya Islam dapat difahami khususnya kelompok Melayu berfikiran sekular.
NGO Islam juga harus sedar bahawa sesetengah barisan kepimpinan kali ini begitu tegar dan "keras" dalam memberi pandangan dan membuat tindakan. Justeru, mereka patut menggunakan pendekatan-pendekatan yang dapat menterjemahkan "kekerasan" ini supaya kerjasama dapat diteruskan.
Saya melihat kemenangan barisan ulamak kali mengulangi sejarah penubuhan Pas sebagai sebuah gerakan Islam massa yang dapat mengembalikan Islam sebagai cara hidup di Malaysia, tidak bertolak ansur dengan fahaman liberal dan menangkis serangan sekularisme.
Walaupun cita-cita Pas begitu ideal, ia harus berhadapan dengan masyarakat pelbagai etnik, berupaya menyediakan hujah dalam kalangan masyarakat Melayu dan bukan Melayu serta menarik minat bukan Islam terhadap keindahan cara hidup Islam. Untuk mewujudkan sebuah entiti Pas yang kuat, pimpinan kali ini harus menguatkan halaqah atau usrah kepada semua ahli teras supaya wujud khatibah-khatibah yang sedia bergerak dan memiliki kefahaman Islam yang syumul.
No comments:
Post a Comment