Tuesday, June 09, 2015

Persepsi masyarakat terhadap rasuah








1.0 Pengenalan

Kemelut rasuah merupakan satu masalah yang tidak boleh dipandang enteng oleh mana-mana pihak. Ini kerana, rasuah juga merupakan salah satu faktor yang turut senarai dalam merosakkan harapan dan inspirasi negara untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi seperti terkandung dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-11). Antara persoalan yang dibangkitkan dalam kajian ini ialah punca-punca berlakunya gejala rasuah dan kesan-kesan rasuah terhadap individu, keluarga dan masyarakat. Selain itu juga, usaha-usaha yang dilakukan sama ada daripada pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan berkaitan dengan langkah-langkah mengatasi gejala rasuah daripada terus menjadi barah di Malaysia.

1.1 Latar Belakang Kajian

Kajian ini berkaitan persepsi rasuah di Malaysia dan focus kajian di sekitar negeri Melaka. Seramai 10 orang awam responden dipilih untuk menjawab soalan kaji selidik berkaitan dengan rasuah untuk melihat sejauh mana kesedaran orang awam berkaitan dengan rasuah.

1.2  Objektif Kajian

Dalam kajian ini, objektif pertama ialah  mengetahui tahap kesedaran orang ramai terhadap rasuah, kedua ialah mengenel pasti persepsi orang ramai terhadap usaha-usaha mengatasi rasuah dan ketiga ialah mengkaji impak rasuah terhadap keselamatan negara.

1.3 Kepentingan Kajian

Terdapat banyak kepentingan berkaitan buruknya gejala rasuah di Malaysia. Antaranya ialah kegiatan rasuah akan melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ialah  pentadbiran ekonomi menjadi kucar-kacir. Akibatnya, menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Kajian mengenai rasuah penting kerana melalui kajian ini, kita dapat mengenal pasti pengetahuan masyarakat Malaysia berkaitan dengan rasuah. Sebagai contohnya, mengenal pasti kesan rasuah terhadap masyarakat Malaysia, hukuman-hukuman yang dikenakan terhadap penerima dan pemberi rasuah dan juga langkah-langkah pencegahan rasuah di Malaysia. 

1.4 Limitasi Kajian

Antara batasan kajian yang dilakukan dalam kajian ini ialah kajian dilakukan kepada pelajar universiti dan orang awam yang bekerja. Hal ini kerana, golongan pelajar universiti dan orang awam yang bekerja lebih berpengetahuan berkaitan dengan rasuah berbanding golongan pelajar sekolah.

1.5 Definisi Istilah

Rasuah boleh definisikan sebagai jenayah atau kesalahan undang-undang di mana seseorang mendapat kontrak atau keistimewaan daripada pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, atau hadiah kepada pihak-pihak tersebut. Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud al-risywah. Dalam al-quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil iaitu meliputi perbuatan jenayah lain seperti merompak, memeras ugut dan menipu.


2.0 Sorotan Kajian

Dalam kamus Concise Law Dictionary, P.G. Osborne memberi definisi  bribery and corruption  sebagai perbuatan  memberi atau menawarkan apa-apa pemberian kepada mana-mana pihak dengan tujuan untuk mempengaruhi bidang pekerjaannya. Rasuah yang berleluasa merupakan cerminan terhadap mutu pentadbiran negara. Kebanyakan kajian tentang kesan rasuah menunjukkan bahawa ia boleh menyebabkan kadar pertumbuhan ekonomi yang rendah. Hal ini kerana unsur rasuah menghalang penyertaan pelaburan tempatan dan menyekat kemasukan pelaburan asing ke sesebuah negara. Selain daripada itu, banyak bukti menunjukkan bahawa negara yang dibebani masalah rasuah mempunyai pasaran saham yang tidak menentu, pengawasan sistem perbankan yang tidak cekap dan pasaran modal yang kecil. Dengan kata lain negara yang mengamalkan rasuah membayar pada harga yang mahal untuk program pembangunannya terutamanya dalam pembangunan ekonomi.

Justeru itu, tidak hairanlah mengapa agenda pembasmian rasuah menjadi salah satu daripada beberapa agenda penting yang diberi perhatian utama oleh kepimpinan Abdullah Haji Ahmad Badawi. Bukti kesungguhan beliau untuk memerangi masalah ini dapat dilihat melalui penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan pelancaran Pelan Integriti Nasional (PIN) pada April 2004 iaitu selepas hanya beberapa bulan dilantik memegang jawatan perdana menteri. Seterusnya agenda ini terus dinyatakan secara berterusan dalam kebanyakan ucapan rasmi beliau.

Bagaimanapun Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) setiap tahun telah menimbulkan sedikit tanda tanya berkenaan keberkesanan usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia untuk memerangi gejala tersebut. Secara kasarnya, kajian yang melibatkan tanggapan masyarakat peniaga dan penganalisis negara terhadap suasana rasuah di Malaysia telah menunjukkan bahawa berlaku sedikit kemerosotan dari setahun ke setahun.

Berdasarkan kepada CPI 2006, Malaysia menduduki tangga ke-44 dunia berbanding tangga ke 39 untuk tahun 2005 dan 2004; serta tangga ke 37 untuk 2003. Begitu juga dari segi peratusan mata yang dicatatkan iaitu 4.9 peratus, merosot jika dibandingkan 5.1 peratus untuk 2005, 5.0 peratus (2004) atau 5.2 peratus (2003).

Persoalannya di sini adalah mengapa masyarakat peniaga dan para penganalisis menganggap suasana rasuah semakin meningkat di Malaysia? Adakah mereka menganggap tadbir urus di sektor awam dan swasta tidak berada pada tahap yang sewajarnya? Apakah tahap integriti sektor perniagaan dan pentadbiran negara tidak begitu bagus sehingga mereka menganggap rasuah yang juga ada kaitan dengan masalah tadbir urus ini begitu meruncing di negara kita? Lebih menarik lagi jika kita dapat kaitkan laporan TI ini dengan satu laporan kajian persepsi yang dibuat oleh The Business Ethics Of Malaysia (BEIM) dengan kerjasama University of Nottingham Malaysia dan Kolej Universiti Binary terhadap kepercayaan masyarakat terhadap mereka yang terlibat dalam 15 bidang kerjaya yang terpilih.

Antara kerjaya yang dikaji ialah doktor, guru, profesor, menteri, pemimpin perniagaan dan ahli politik. Keputusannya, tahap kepercayaan responden terhadap ahli politik, pemimpin perniagaan dan menteri adalah rendah sekali. Masing-masing meraih 11%, 16% dan 20% kepercayaan responden dan berada di senarai tiga terbawah berbanding doktor (72%); guru (67%) dan profesor (58%) yang berada pada senarai tiga teratas. Kaitan antara kedua-duanya ialah tentang wujudnya persamaan tentang perkara utama yang diukur iaitu tentang soal integriti terutamanya yang melibatkan soal kepimpinan dan tadbir urus di dalam negara.

Dalam CPI, masyarakat peniaga dan penganalisis merasakan rasuah di Malaysia meningkat. Peningkatan ini tentu saja berdasarkan pemerhatian mereka kepada dunia politik dan dunia perniagaan Malaysia. Pada masa yang sama juga responden soal selidik BEIM merasakan mereka tidak boleh mempercayai ahli politik dan tokoh korporat. Secara tidak langsung kita boleh katakan di sini, permasalahan utama yang membawa kepada isu integriti sebenarnya lebih tertumpu kepada soal kepimpinan dan tadbir urus dalam sektor awam mahupun swasta. Dengan kata lain, jika ahli politik dan tokoh korporat mengamalkan nilai-nilai mulia dalam amalan harian mereka, sudah tentu CPI Malaysia adalah setaraf dengan beberapa negara Scandinavia yang sering mencatat 9.6-9.7 peratusan mata untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Setidak-tidaknya pun kita dapat menyaingi Singapura yang berjaya mengekalkan kedudukannya di tangga ke-5 senarai negara yang paling baik keputusan persepsi rasuah dengan purata 9.4 peratusan mata untuk tempoh 2002-2006. Bagi Indeks Persepsi Rasuah tahun 2014, kedudukan Malaysia adalah ke-50 dan tahun 2013 adalah ke-53.


3.0  Metodologi Kajian

Oxford Compact English Dictionary mendefinisikan kajian sebagai “the systematic investigation into and study of materials, and sources, in order to establish facts and reach new conclusions’ (ODEC, 1996). Graziano dan Raulin (1996) mendefinisikan kajian dengan lebih ringkas sebagai suatu pencarian yang sistematik terhadap maklumat serta suatu proses penyelidikan. Brew (2001) telah menyenaraikan beberapa definisi yang dirasakan bertepatan dengan maksud kajian itu sendiri, iaitu, Kajian merupakan pencarian sesuatu dan menyebarkannya kepada umum, melengkapi cara penghasilan, pengujian dan pengesahan ilmu, merupakan suatu proses sistematik kajian, kepentingan umumnya yang mana menyumbang kepada himpunan ilmu yang membentuk serta memandu bidang akademik dan/atau praktis dan mengenai ilmu lanjutan dan pemahaman.

Kajian kuantitatif merupakan suatu pernyataan terhadap masalah yang telah dikenal pasti yang mana berdasarkan kepada pengujian suatu yang digubah oleh pembolehubah, diukur melalui perwakilan nombor, dan dianalisa menggunakan teknik statistikal (Neuman, 2000). Kajian kualitatif menurut Holloway (1997) merupakan suatu bentuk pertanyaan sosial yang memfokuskan kepada cara interpresi manusia dan logikal terhadap pengalaman mereka serta persekitaran di mana mereka tinggal. kajian kualitatif termasuklah kajian tindakan, kajian kes dan juga kajian etnografi (Creswell, 1994).

3.1 Reka Bentuk Kajian

Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah iaitu kaedah kuantitatif. Data kuantitatif diperoleh dari borang soal selidik yang dibentuk khas oleh penyelidik. Penyelidikan kuantitatif bermaksud penyelidikan dijalankan untuk mendapatkan fakta menggunakan pengukuran objektif dan analisis statistik data numerik untuk memahami dan menjelaskan  sesuatu perkara/fenomena yang boleh dijadikan panduan kepada amalan dan polisi (Gay & Airasian, 2000). Bertujuan untuk mendapatkan penjelasan berkaitan kenapa dan mengapa. Kelemahan kuantitatif ia tidak dapat menjelaskan sepenuhnya kebanyakan masalah dalam pendidikan yang dikaji.

3.2 Sampel Kajian

Populasi kajian adalah penduduk di sekitar Ayer Keroh, Melaka seramai sepuluh orang.

3.3 Instrumen Kajian

Antara aspek yang disentuh dalam instrumen kajian ialah pemahaman dan keterbukaan  masyarakat mengenai gejala rasuah. Selain itu, persepsi masyarakat terhadap gejala rasuah di Malaysia khasnya di Melaka. Pendedahan masyarakat tentang gejala rasuah dalam negara yang mengakibatkan pelbagai masalah dalaman. Seterusnya, menilai pengetahuan masyarakat mengenai rasuah yang sering berlaku dalam organisasi yang tertentu. Melalui soal selidik yang di jalankan ini, didapati masyarakat hanya mengetahui hakikat rasuah dari luaran sahaja. Mereka tidak mengetahui apa itu rasuah yang sebenar serta kesan rasuah itu sendiri. Sebilangan kecil sahaja yang mampu memberi respon yang agak baik mengenainya.

3.4 Analisis Data

Data kuantitatif dianalisis menggunakan SSPS. Analisis tersebut melibatkan penggunaan aplikasi statistik. Analisis yang dijalankan boleh menyimpulkan bahawa masyakat jelas mengenai isu rasuah dalam negara.


4.0  Hasil Kajian

Setelah soal selidik dijalankan, persepsi mengenai rasuah telah dikumpulkan. Sebanyak sepuluh responden dipilih secara rawak di sekitar Melaka telah memberi kerjasama yang memberangsangkan dalam kajian soal selidik ini. Analisis bagi soal selidik adalah seperti berikut.


Rajah 1: Pemahaman terhadap rasuah

Melalui pemerhatian daripada Rajah 1 di atas, dapat dirumuskan bahawa gejala rasuah adalah bukan suatu benda baharu bagi rakyat di Melaka ini. Hal ini kerana, melalui soal selidik yang dijalankan, hasil kajian membuktikan bahawa 100% daripada responden yang disoal selidik mengetahui makna rasuah. Mereka yang disoal selidik juga memberikan tindak balas yang positif apabila ditanyakan adakah mereka pernah membaca, mendengar atau menerima maklumat berkaitan rasuah di Malaysia walaupun hanya terdapat seorang daripada responden memberikan jawapan tidak pernah.

Selain itu, seramai 70% daripada responden bersetuju bahawa maklumat atau pengetahuan yang diperoleh memberikan kesan yang positif kepada diri sendiri untuk tidak terlibat dengan gejala rasuah. Manakala seramai 20% responden menyatakan bahawa mereka tidak tahu mereka akan dilindungi undang-undang sekiranya mereka memberikan maklumat kepada pihak berkuasa tentang perlakuan rasuah yang berlaku.

Malangnya, apabila ditanya adakah mereka pernah didedahkan dengan langkah-langkah pencegahan rasuah dan hasil kajian mendapati seramai 60% daripada mereka menyatakan bahawa yang mereka tidak pernah didedahkan. Secara ringkasnya, persepsi rasuah di Melaka merupakan suatu yang hangat diperkatakan dan kebanyakkan daripada mereka boleh dikatakan dapat menjawab soal kajian soal selidik dengan baik dan tahap pemahaman mereka terhadap rasuah tidak boleh dipandang sebelah mata. Penekanan terhadap pendedahan dengan langkah-lagkah pencegahan rasuah haruslah ditingkatkan oleh pihak yang berkuasa agar mereka tidak alpa bahawa segala tindakan mereka dapat dijauhi daripada gejala rasuah yang keji ini.


Rajah 2: Kelompok yang sering dikaitkan dengan jenayah rasuah

Rajah 2 menunjukkan dapatan yang digunakan untuk menganalisis kelompok yang sering dikaitkan dengan jenayah rasuah. Hasil kajian menunjukkan sebanyak 37% daripada responden yang  memberikan tindak balas soalan soal selidik kami bersetuju bahawa agensi penguatkuasa merupakan kelompok yang paling banyak terjerumus dalam kancah jenayah rasuah ini. Ramai yang berpendapat bahawa, agensi penguatkuasa ini mengambil kesempatan atas jawatan yang mereka miliki ini untuk menerima rasuah dari mana-mana pihak yang ingin menyelamatkan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang seperti saman.

Selain itu, sebanyak 26% daripada responden menyatakan bahawa jenayah rasuah ini banyak berlaku dalam kalangan ahli politik. Hal ini kerana responden berpendapat bahawa terdapat ahli politik pada masa kini kurang berintergriti dan telus dalam melaksanakan tugasan. Sebaliknya mereka mempunyai agenda yang tersendiri dalam melibatkan diri dalam dunia politik ini. Manakala seramai 16% bersetuju bahawa jenayah rasuah selalunya melibatkan kakitangan kerajaan mahupun swasta. Sebagai contoh mereka memberikan alasan bahawa kakitangan swasta selalunya memberikan rasuah kepada kakitangan kerajaan dengan alasan hanya untuk mendapatkan sesuatu tender semata-mata. Lantas kakitangan kerajaan yang menerima rasuah tersebut bakal meluluskan tender tersebut dan proses meluluskan tender akan dilakukan dengan kadar yang segera dan mudah.
                                  

Rajah 3: Hukuman bagi pesalah jenayah rasuah

Hukuman yang setimpal haruslah diberikan kepada pelaku-pelaku yang didapati bersalah kerana melibatkan diri dengan jenayah rasuah. Rajah 3 menunjukkan dapatan yang mewakili hukuman yang harus diberikan kepada perlaku jenayah rasuah. Dengan adanya hukuman yang sebegini, ia bukan sahaja menjadi iktibar kepada pesalah malah menjadi teladan kepada masyarakat agar dapat menghindarkan diri dari kancah jenayah rasuah ini. Melalui kajian yang dilakukan, hanya 20% beranggapan bahawa hukuman yang sesuai bagi pelaku jenayah ini ialah hukuman penjara maksimum 20 tahun. Manakala 70% yang lain bersetuju bahawa mengenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda dari nilai suapan.

Justeru, hal ini jelas menunjukkan bahawa tindakan undang-undang yang tegas dan mengenakan hukuman yang berat kepada pesalah adalah amat disetujui ramai agar ia menjadi satu yang digeruni dalam usaha membendung dan menangani isu ini. Bak kata pepatah, mencegah itu lebih baik daripada merawat. Dengan adanya undang-undang yang tegas sebegini, jenayah rasuah dapat dicegah setidak-tidaknya dapat mengurangkan jenayah ini daripada berleluasa.


Rajah 4: Tafsiran jenayah rasuah di malaysia dalam masa setahun yang akan datang

Rajah 4 menunjukkan dapatan untuk melihat pendapat respondan tentang tafsiran jenayah rasuah di Malaysia dalam masa setahun yang akan datang. Rata-rata daripada mereka mentafsirkan bahawa jenayah ini akan berada pada satu tahap yang tinggi atau berleluasa. 40% pula menyatakan pendapat bahawa jenayah ini akan menjadi amat tinggi dan membimbangkan dan hanya 10% bersetuju bahawa jenayah ini akan berada pada tahap yang sederhana.


5.0  Kesimpulan

Secara keseluruhannya, masyarakat Melaka masih lagi kurang sedar terhadap usaha-usaha kerajaan dalam menangani aktiviti makan suap. Kebanyakan responden tidak mengetahui tentang adanya langkah-langkah pencegahan rasuah, maka tidak hairanlah majoriti masyarakat masih lagi jahil tentang kesan-kesan rasuah terhadap kemajuan sesebuah negara.

Hal ini tidak boleh dipandang enteng oleh mana-mana pihak kerana jenayah rasuah merupakan suatu virus yang bakal tersebar luas dan berleluasa jika ia tidak dicegah dengan efektif. Selain itu, jenayah ini bukan sahaja menguntungkan sesetengah pihak malah menindas orang lain yang bekerja dengan ikhlas tanpa rasuah. Rasuah juga bukan sahaja mematikan budaya untuk bersaing dengan sihat malah setiap agama juga tidak menyokong umatnya terjebak dengan jenayah ini kerana adanya penindasan. Justeru, pihak yang berkenaan haruslah peka akan jenayah rasuah yang dianggap bakal berada di suatu tahap yang menggerunkan dan membimbangkan masyarakat pada hari ini.

Cadangan paling baik memerangi penyakit rasuah ini adalah mendidik masyarakat sejak dari bangku sekolah lagi tentang bahaya rasuah dengan menekankan soal akhlak dan moral individu. Di peringkat masyarakat awam, orang ramai haruslah dilindungi dan diberi ganjaran apabila melaporkan kejadian rasuah. Pada peringkat atasan pula, mereka yang terlibat secara langsung dengan rasuah haruslah dibuang kerja dan diisytiharkan muflis. Justeru itu, semua pihak haruslah mengembleng tenaga dan berganding bahu bagi mengatasi virus rasuah yang begitu mengancam kepesatan kemajuan sesebuah negara.

Kesimpulannya, amalan rasuah di dalam negara masih lagi berleluasa dan memerlukan sokongan dan gabungan setiap lapis masyarakat bagi menghalang aktiviti ini dari terus merebak. Sesungguhnya usaha untuk membanteras rasuah haruslah dijalankan dengan lebih giat dan bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti penat dan lelah bagi menjamin keharmonian negara. Sekiranya Malaysia bebas daripada rasuah, maka negara akan dapat dibangunkan dengan lebih pantas dalam mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.


Rujukan

Ahmad Zaki Husin. (2001). Pembantersan Jenayah Rasuah di Malaysia. Pulau Pinang:  Universiti Sains Malaysia.

Anis Yusal Yusuf. Isu sosial: Rasuah dan Dadah Mengancam Keselamatan Negara.  Diambil pada 23 April 2012 di http://farihinzul1974.blogspot.com

Malaysian Anti Corruption Commission. (2010). Annual Report. Putrajaya: Malaysian Anti-Corruption Commission.

Mohd Dzul Khairi. Bahana dan Implikasi Rasuah. Diambil pada 23 April 2012 di http://mstar.com.my

Muhammad Ray Akbar. (2010). Rasuah: Bagaimana Islam Menanganinya. Kuala Lumpur: Penerbitan Ilham Baru.

Syed Hussein Alatas. (1995). Rasuah: Sifat Sebab dan Fungsi (Rasuah Politik). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Corruption Perception Index 2014 Report. Diambil pada 23 April 2014 di http://www.transparency.org

Punca Berlakunya Rasuah dan Kesan Buruk Perbuatan Tersebut. Diambil pada 23 April 2012 di http://abihulwa.blogspot.com



MZ Zainudin, Mohammad Syahir Mansor, Mohamad Noor Farhan Moh Yusof, Norsharol Sarmen, Mohamad Nazmi Asaruddin, Mohd Azrai Nordin

No comments:

Post a Comment