Monday, June 15, 2015

Syarah Usul 20






Penulis: ‘Ali ‘Abdul Halim Mahmud
Tahun: 2007
Penerbit: Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor.
Muka Surat: 254

Sebelum kedatangan Islam, kebanyakan orang tidak mempunyai arah tuju hidup yang jelas, ibarat mayat yang tidak bernyawa dan tidak ada roh. Lalu Allah mengurniakan kepada kehidupan kita sebuah kehidupan yang terbaik, aman dan tenteram.

Menjadi umat teristimewa yan diutuskan kepada manusia untuk menegah perkara yang mungkar dan menyeru kepada kebaikan. Justeru, sesiapa yang ingin meragut agama dari umat ini ibarat ingin menanggalkan roh dari jasadnya agar ia terus mati tidak bernyawa. Tugas mengembalikan semula sahsiah Islamiah yang telah lenyap dari umat ini ialah dengan mengembalikan semula roh Islam agar ia kembali bersemadi ke dalam jasad umat ini.

Terdapat pelbagai macam doktrin dan idealogi yang semakin bercambah dari hari ke hari untuk menyesatkan umat sama ada dulu mahupun sekarang. Ini semua tidak  mengejutkan kita kerana sememangnya musuh Islam itu banyak di setiap masa dan tempat. Jadi, kita perlu bersatu pada apa yang kita sepakati bersama dan bertolak ansur terhadap sebarang perselisihan antara umat Islam, di samping sentiasa berwaspada terhadap semua perancangan dan tipu daya musuh Islam.

Doktrin dan idealogi sesat tersebut seperti zionisme, komunisme, gerakan kristianisasi, orientalisme, penjajahan dan bermacam-macam aliran serta gerakan lagi ingin menggoncang akidah umat Islam untuk mencapai matlamat mereka menghapuskan agama ini di muka bumi.

Dalam aneka macam kekalutan dan kebobrokan pemikiran ini, pelbagai salah faham terhadap agama Islam, terdapatnya manusia yang mengambil sejuzuk dari agama Islam dan meninggalkan sebahagian yang lain, memisahkan antara akidah dan syariah, para sufi yang terpesong dari pemikiran dan ajaran Islam yang sejahtera, dengan kehendak Allah swt muncul seorang tokoh yang mampu merawat segala kepincangan ini dan membawa sinar menerangi kegelapan ini iaitu Imam Hasan Al-Banna yang menyeru manusia kembali beriman kepada Allah swt dan kembali kepada manhaj Rasul dan para salaf umat ini. Dakwah dan gerakan pamulihan beliau berkisar pada paksi:

1. membebaskan akidah dari segala kejumudan yang merangkumi pelbagai syubhat, sangkaan kosong dan membetulkan semua tawawwur kehidupan.

2. menyelamatkan pemikiran umat dari menumpukan hanya kepada sejuzuk urusan agama yang menyebabkan kita hanya menggembar-gemburkan sebahagian daripada urusan agama dan mengabaikan juzuk-juzuk yang lain dan kesyumulannya.

3. merungkai kejumudan yang membelenggu pemikiran umat Islam, memecahkan tembok taqlid dan membuka semula pintu ijtihad agar membolehkan para ulamak mencari formula baru untuk menyelesaikan pelbagai masalah semasa dan mendatang yang sentiasa melingkari kehidupan umat ini.

Buku ini menjelaskan semua perkara tersebut secara padat dan amat bermakna dengan penjelasannya yang terang dan nyata tanpa sebarang kekeliruan dan kesamaran.



No comments:

Post a Comment