Thursday, June 04, 2015

Wanita dan ICT








Pendedahan masyarakat Malaysia terhadap perkembangan teknologi maklumat sangat membanggakan khususnya di kawasan bandar. Kemunculan teknologi maklumat dan komunikasi (information and communication technologies) adalah gambaran terhadap peluang dan cabaran untuk menggerakkan masyarakat dan pelbagai sektor ke arah memanfaatkan sepenuhnya perkembangan teknologi ini.

Perkembangan ICT telah membawa faedah yang sangat besar terhadap kemajuan wanita di Malaysia khasnya. ICT wajar diperkukuhkan dan diperluaskan penggunaannya sebagai satu strategi pembangunan dan pemusatan keupayaan di kalangan wanita. Dengan cara ini, faedah jangka panjang ialah meningkatnya minat untuk mereka belajar dan menguasai ilmu serta kemahiran teknologi yang sentiasa berkembang dari semasa ke semasa.

Dalam era globalisasi, kepantasan penyaluran maklumat adalah sangat penting dan dalam kehidupan seharian juga kita tidak terlepas daripada menggunakan kemudahan ICT secara langsung atau tidak langsung. Oleh yang demikian, memanfaatkan ICT harus digalakkan untuk berkongsi pengetahuan, meningkatkan penglibatan dalam masyarakat setempat, menggalakkan jaringan kerjasama, menyuarakan hak golongan terpinggir, kumpulan pendesak politik, pengupayaan gender, menangani kemiskinan dan meningkatkan pembangunan ekonomi.

Keupayaan ICT untuk menggerakkan pembangunan wanita di Malaysia perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh. Buat masa sekarang, peranan kerajaan adalah sangat kritikal bagi menggerakkan usaha ini. Kesediaan kerajaan menjadikan wanita dan ICT sebagai salah satu sub tema bagi Persidangan Menteri-Menteri Wanita NAM pada 7-10 May 2005 dilihat sebagai satu langkah untuk mengetengahkan peranan ICT bagi memajukan golongan wanita. Sub tema ini mengambarkan kesan daripada proses globalisasi yang sedang berlaku di seluruh dunia.

Salah satu usaha yang diambil oleh kerajaan bagi menggalakkan penggunaan ICT di kalangan wanita ialah penubuhan Pusat Tele Working (Tcentre). Tele working melibatkan penggunaan komputer, internet dan ICT untuk bekerja bagi mendapatkan pendapatan tanpa pergi ke tempat kerja. Pekerja akan ditugaskan untuk melaksanakan kerja yang dikehendaki melalui penggunaan teknologi ICT.

Salah sebuah Tcentre yang berjaya ialah di Desa Tun Razak, Cheras yang ditubuhkan sejak tahun 2002. Sehingga kini Tcentre Desa Tun Razak telah mewujudkan peluang pekerjaan terutama kepada suri rumah dan ibu tunggal. Konsep tele kerja yang diperkenalkan ini adalah untuk membolehkan golongan berpendapatan rendah memperolehi pendapatan melalui pekerjaan di internet. Malahan konsep ini tidak memerlukan kumpulan sasar keluar bekerja dan mereka mempunyai banyak masa untuk menguruskan keluarga.

Mengeksploitasi sepenuhnya ICT telah membuka lembaran baru dalam cara bekerja berbanding kaedah konvensional. Konsep bekerja dari rumah ataupun Smart Office-Home Office (SOHO) iaitu pekerja tidak perlu menghadirkan diri di pejabat. Program SOHO yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah memberi impak positif terhadap potensi wanita kerana keupayaan dan produktiviti mereka tidak tergugat sama sekali dan pada masa yang sama menjamin keharmonian keluarga. Situasi ini secara tidak langsung mendedahkan wanita di Malaysia ini dengan senario positif di mana mereka boleh memaksimumkan potensi kerja di rumah jika peluang dan keadaan mengizinkan.

Selain itu projek e-Wanita di Bangsar juga merupakan projek bagi menggalakkan penggunaan ICT di kalangan wanita. Projek yang bermula pada Oktober 2003 selama 12 bulan ini bertujuan membantu wanita khususnya ibu tunggal dan suri rumah menambahkan pendapatan melalui tele kerja. Keperluan ICT disediakan sepenuhnya bagi membolehkan pesertanya menambahkan pendapatan melalui teknologi maklumat.

Objektif projek e-Wanita ini ialah ;1) melatih dan membangunkan tele-pekerja dalam pelbagai bidang perusahaan yang terpilih, 2) meningkatkan keupayaan ibu tunggal dan suri rumah sebagai faktor penyumbang ekonomi yang penting bagi keluarga, komuniti dan negara, 3) melengkapkan wanita dengan kemahiran nilai tambah, dan 4)menghubungkan jurang digital sesama wanita di merata tempat.

Kaedah telekerja ini telah popular di Amerika Syarikat kerana melibatkan lebih 25 juta orang manakala di Eropah Barat, jumlahnya telah meningkat kepada 12 juta orang. Sewajarnya kaedah ini diperluaskan penggunaannya di kalangan wanita Malaysia dengan pendekatan-pendekatan yang praktikal dan bersesuaian.

Bagi menggalakkan wanita mendapatkan pengetahuan dan kemahiran penggunaan ICT, adalah penting bagi media mempromosi potensi-potensi ICT ini untuk menggalakkan kesaksamaan gender di negara ini. Peranan media adalah sebagai catalyst bagi menggerakkan kesedaran penggunaan ICT kepada semua peringkat masyarakat. Kempen dan promosi yang dilaksanakan dari semasa ke semasa telah memberi kesedaran kepada sesetengah usahawan untuk mengambil peluang ini memperkenalkan skim kemahiran komputer melalui siri bengkel pembelajaran dan literasi komputer sehinggalah ke pekan-pekan kecil di seluruh Malaysia.

Salah satu daripadanya ialah Pusat Internet Desa (PID) Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor yang memperkenalkan kelas pembelajaran dan literasi komputer untuk golongan lepasan sekolah berumur 18 tahun dan ke atas. Tumpuan adalah kepada mereka yang masih belum mendapat pendedahan tentang dunia komputer atau kurang mahir menggunakan komputer.

Selain dari kelas pembelajaran dan literasi komputer, PID Bandar Penawar turut menganjurkan Bengkel Kesedaran ICT. Bengkel yang lebih menjurus kepada kumpulan sasaran seperti wanita, belia, usahawan, petani dan warga emas dari komuniti tempatan ini diadakan mengikut peringkat-peringkat tertentu dengan pelbagai pendedahan berkaitan dengan penggunaan ICT dalam kehidupan seharian diberikan.

Era globalisasi adalah berasaskan pengetahuan. Mereka yang berdaya saing adalah mereka yang berkemahiran dan mempelbagaikan gunatenaga di samping meningkatkan produktiviti dan inovasi. Pembangunan aktiviti ekonomi negara memerlukan golongan wanita dan lelaki yang berpengetahuan menyeluruh termasuk penggunaan ICT. Keadaan ini hanya boleh dicapai melalui pengenalan polisi yang tidak hanya menekankan aspek sains dan teknologi semata-mata malahan ICT.

Penubuhan Sekolah Wawasan untuk memperkenalkan ICT kepada pelajar sejak dari sekolah rendah turut menjadi agenda bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang celik teknologi maklumat. Sistem pelajaran negara yang memberi penekanan kepada penggunaan ICT dilihat mendahului negara-negara serantau yang lain. Malah YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pernah menyatakan hasratnya mahu semua sekolah dilengkapi dengan prasarana ICT tanpa pengecualian iaitu bandar atau luar bandar, sama ada lelaki ataupun wanita.

Dengan bilangan wanita di Malaysia menjangkau 49.1 peratus atau 12,296.4 juta orang dan sebanyak 62.7 peratus terdiri daripada wanita yang berumur 15 hingga 64 tahun, malangnya sumber manusia yang banyak sebegini tidak digunakan sepenuhnya kerana angka ini hanya satu pertiga daripada tenaga buruh negara. Kenyataan ini bermakna bahawa sebilangan besar daripada wanita Malaysia masih lagi mewarisi rutin tradisi masyarakat tradisional walaupun mereka memainkan peranan yang penting dari segi melahirkan tenaga kerja dan warganegara yang baik pada masa depan. Oleh itu, cabaran amatlah besar kepada semua pihak untuk menggerakkan penggunaan ICT kepada wanita di Malaysia.

No comments:

Post a Comment