Ramadhan yang kita tempuh hari ini sangat
bermakna kepada hidup seorang muslim. Banyak kebaikan dan rahmat yang Allah swt
berikan kepada kita untuk mendapat kebaikan-kebaikan ini.
Terdapat tiga manfaat yang kita perolehi
apabila berada dalam kalangan orang yang sentiasa menceritakan tentang
pertemuan dalam bulan Ramadhan ini. Pertama, sesiapa yang duduk dengan para
salihin, Allah swt akan berikan perasan cinta kepada amal-amal soleh. Kedua, sesiapa
yang duduk dengan para ulama maka Allah swt akan berikan kepadanya ilmu dan
warak. Ketiga, sesiapa yang duduk dengan para faqir (fuqarak) maka dia akan
ditambah rasa syukur dan redha.
Sebaiknya, apabila menempuh Ramadhan ini, kita
banyakkan berdoa yang menjurus kepada kesungguhan membuat amal. Doa yang selalu
diamalkan oleh para salafussoleh adalah, “Ya Allah, kurnikanlah kepada kami
keimanan dan keamanan, begitu juga keselamatan dan Islam”.
Dalam pemahaman kita, jika hendak menunaikan
haji bagi dua hingga tiga hari tetapi kita prosesnya perlu melalui persediaan
kursus selama 16 minggu sedangkan haji hanya tempoh singkat. Namun, dalam melaksanakan
ibadah puasa sebulan ini, kita hanya melalui persediaan kursus yang singkat dan
mudah malah kadang-kadang tidak adapun sebarang persediaan.
Keadaan ini disifatkan orang Arab sebagai masuk
dan keluar sama sahaja. Tidak ada perubahan. Sepatutnya kita berusaha membuat
sedikit sebanyak persediaan untuk melalui bulan Ramadhan. Keadaannya adalah umpama
kanak-kanak hendak mengambil peperiksaan, tanpa sebarang persediaan mereka
tidak akan berjaya apatah lagi kejayaan yang cemerlang.
Antara persediaan ini adalah memahami konsep
hukum dan adab dalam melaksanakan puasa di bulan Ramadhan supaya kita dapat
fahami dengan baik peraturan berpuasa termasuk batal atau sah puasa.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyenaraikan 41
aktiviti yang boleh dilakukan dalam Ramadhan ini supaya dapat fahami konsep taqwa
yang dimaksudkan Allah swt iaitu ketaatan dan kepatuhan melakukan ibadat.
Imam Hassan al-Banna menyifatkan Islam
mencakupi negara dan tanah air, akhlak dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan,
ilmu dan hukum, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah serta akidah lurus dan
ibadah sahih. Namun yang paling banyak dilakukan dalam masyarakat adalah akidah
yang lurus dan ibadah yang sahih sementara yang lain-lainnya kurang difahami
oleh masyarakat.
Ramadhan adalah bulan barakah yang mana pintu
syurga dibuka, pintu neraka ditutup, syaitan dibelenggu dan ada satu malam yang
lebih baik daripada seribu bulan. Marilah kita bersama-sama mencari kebaikan
sebanyak-banyaknya pada bulan ini.
Dua amalan yang sangat baik untuk kita lakukan
serta-merta ketika Ramadhan ini adalah berdoa dan membaca al-quran. Berdoalah agar
kita berada dalam keadaan sihat, mendapat peluang beramal dan berterusan
memohon supaya Allah swt menerima amal kita. Membaca al-quran supaya dapat menghilangkan
karat-karat dosa bulan sebelumnya sehingga hati kita bersedia menerima petunjuk
dan hidayah Allah swt dalam bulan Ramadhan ini.
Lebih baik lagi jika dapat berdoa selepas
berlalunya Ramadhan dengan harapan amalan-amalan yang dilakukan semasa bulan
itu kesemuanya diterima.
Hari ini kita bersama-sama dalam bulan
Ramadhan, ada yang berjaya, ada kurang berjaya dan ada yang tidak berjaya
langsung. Begitu juga di akhirat kelak, kita bersama-sama beramal dan membuat
kebajikan semasa hidup, namun kita belum tahu adakah kita akan bersama-sama
lagi di dalam syurga.
Janganlah kita menunggu di akhir Ramadhan
untuk bermuhasabah diri, sebaliknya dari sekarang perbanyakkan muhasabah supaya
mendapat taqwa Allah swt. Marilah kita berazam meningkatkan amalan yang kurang,
meningkatkan amalan yang sedia ada dan memperelok amalan sedia ada.
No comments:
Post a Comment