Friday, May 15, 2015

Taqwa prasyarat kemenangan








Kejayaan bagi seorang da’i adalah terus menerus berada dalam dakwah dan tarbiyah. Sepanjang bulan Ramadhan yang lalu, proses berpuasa dan amalan-amalan di dalamnya dapat membekalkan kekuatan untuk mengharungi bulan-bulan yang seterusnya.

"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa." (Surah Al Baqarah ayat 183)


Taqwa amat dituntut dalam Islam walau dalam keadaan berperang sekalipun. Peperangan Badar adalah medan ujian kepada umat Islam yang hanya 313 orang berbanding orang kafir Quraisy 1000 orang. Kelihatan seperti tidak seimbang di antara mereka ini tetapi kenapakah umat Islam telah menang?

Jawapan kepada soalan ini ialah taqwa.

Puasa dapat meningkatkan iman dan taqwa kepada Allah swt dan mengelakkan daripada perlakuan maksiat.

Saidina Umar r.a pernah mengirim surat kepada panglima Saad bin Abi Waqas yang sedang memimpin peperangan. Isi surat berkenaan ialah berkaitan persiapan perang yang mengingatkan Saad bahawa sebaik-baik persiapan dan sehebat strategi berperang adalah bertaqwa kepada Allah.

Saidina Umar telah nampak kunci kejayaan ini 1400 tahun yang lalu. Tambahnya lagi, ”Lebih berwaspada dengan maksiat sebenarnya lebih baik daripada berhati-hati terhadap musuh. Dosa adalah lebih aku takuti daripada musuh”.

Rahsia kemenangan umat Islam ialah bertaqwa kepada Allah dan menahan diri daripada melakukan maksiat. Tetapi kenapa umat Islam sekarang walaupun ramai namun tidak mampu bangkit melawan rodakan musuh?

Barangkali umat Islam masih lagi bergelumang dengan banyak maksiat yang mempengaruhi mereka, menarik kepada keseronokan dan kelalaian.

Hakikat Maksiat

Maksiat dibahagikan kepada 3 jenis iaitu fahsya’, mungkar dan al-baghi. Maksiat fahsya’ menurut Ibnu Masud ialah segala sesuatu yang terlarang secara terang-terangan kekejiannya seperti syirik. Termasuk kategori ini juga ialah dosa-dosa besar yang memudaratkan diri dan orang lain seperti zina dan riba.

Maksiat mungkar ialah setiap yang diingkari oleh fitrah dan akal yang bersih seperti mencuri.

Manakala maksiat ketiga ialah kezaliman iaitu perbuatan yang melampaui batas dan keadilan yang dilakukan secara terus menerus.

Pancaindera yang lima adalah pintu masuk maksiat dan paling cepat ialah penglihatan. Kekuatan deria ini mampu melunturkan dan mencairkan iman orang alim dengan mudah. Bagi mengetahui kesan-kesan perbuatan maksiat ini, Ibnu Qayyum memberikan lima tanda untuk mengetahui kesan maksiat.

1. Rasa cemas dan gelisah

Keadaan ini berlaku kepada pembuat maksiat yang menyebabkan keadaannya “panas punggung”, tidak selesa dan risau kerana fitrah jiwa manusia. Kaab bin Malik, di antara sahabat nabi yang tidak mengikut peperangan Tabuk, bukan kerana tidak mahu berperang tetapi kerana sikapnya yang bertangguh-tangguh. Lalu Rasulullah bertanya kepada Kaab kenapa tidak mahu berperang ? Kaab tidak ada alasan dan berkata hatinya tidak tergerak untuknya pergi berperang.

Kaab telah dijatuhi hukuman pemencilan selama beberapa hari yang menyebabkannya menyesal tidak terkira. Bayangkan kalau ditegur tidak bercakap, diberi salam tidak dilayan dan bila berjumpa akan berpaling muka. Kaab berdoa semoga dosanya diampunkan dan akhirnya turunlah wahyu Ilahi yang bermaksud:

"Dan Ia juga akan menghapuskan kemarahan hati orang-orang yang beriman itu, dan Allah akan menerima taubat orang-orang yang dikehendakiNya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." 
(Surah At Taubah ayat 15)

2. Ikhlas seperti Imam Syafie

Salah seorang guru Imam Syafie ialah Imam Malik. Kehebatan dan kecerdikan Imam Syafie sangat mengagumkan Imam Malik sehingga beliau berkata, “Aku lihat cahaya dalam hati kamu. Jangan padamkan ia dengan maksiat”.

3. Hati kotor dan gelap

Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya adalah membabitkan seluruh anggota tubuh badan manusia. Maka, akan lahirlah penyakit masyarakat berpunca dari hati yang sudah rosak itu. Justeru, hati adalah amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan untuk menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat. Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana dosa. Setiap satu dosa yang dilakukan tanpa bertaubat itu akan menyebabkan terjadinya satu titik hitam pada hati.

Perkara ini jelas digambarkan dalam hadis Rasulullah bermaksud; "Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

4. Maksiat membiakkan maksiat yang lain

Seperti ombak yang datang silih berganti, maksiat juga akan datang silih berganti seperti virus. Kalau tidak dicegah, lama-kelamaan akan dianggap biasa. Jika hendak membuat kebaikan, kesan kebaikan berkenaan akan mendorong kepada kebaikan yang lain dan begitulah sebaliknya.

5. Halang rezeki dan sulitkan urusan

Taqwa, rezeki dan maksiat adalah berkaitan. Rezeki terhalang kerana maksiat yang dilakukan. Rezeki juga akan datang kerana taqwa. Taqwa adalah pembuka pintu rezeki.

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (At Tholaq ayat 2 hingga 3)


Kaedah mudah mengatasi keterlanjuran maksiat

Maksiat memang seronok dan melalaikan. Dengan membuat maksiat, hati menjadi beku dan mati. Lima langkah mudah untuk menghindari maksiat boleh diamalkan jika ingin serius menjaga diri.

1. Taubat

Keterlanjuran kerana maksiat, kembalilah kepada Allah dengan sedar dan menyesal. Ingatkan kepada diri untuk tidak melakukan maksiat selama-lamanya. Difirmankan dalam surah Ali Imran ayat 135,

"Orang-orang yang berbuat kekejian atau menzalimi dirinya lalu ingat kepada Allah, maka minta ampunlah untuk mereka atas dosa-dosa yang dilakukan."

Rasulullah saw memohon ampun 70 kali sehari walaupun baginda adalah seorang yang ma’sum.

2. Gantikan perbuatan buruk dengan yang baik

Perbuatan yang buruk dibuat sekali sekala tidak akan terasa. Alangkah indahnya perbuatan negatif dan jelik ditukar ganti dan diri dihiasi dengan akhlak yang mulia. Saidina Umar pernah mengingatkan yang Allah akan menutup aib seseorang selagi orang itu menutup aibnya sendiri.

Surah Hud ayat 114 yang bermaksud,

“Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat”.

3. Hadir ke majlis ilmu dan berjemaah dengan orang yang soleh

Perbuatan maksiat dan dosa dapat difahami jika tahu batas dosa dan pahala. Satu ketika dahulu, terdapat seorang pegawai tinggi kerajaan apabila ditanya apakah ia tahu judi hukumnya haram, dia menjawab tidak pernah menjumpai ayat al quran yang mengharamkan judi.

Inilah dikatakan kejahilan kerana tidak pernah bercampur dengan orang alim dan orang soleh. Ilmu agama berada di sekitar mereka. Dengan mempelajari ilmu agama, pengetahuan akan bertambah dan insya Allah menjadi orang yang berfikir.

4. Taqarub kepada Allah

Taqarub bererti mendekatkan diri kepada Allah. Banyak cara untuk mendekatkan diri kepada Allah ini dan salah satu daripadanya ialah beristighfar. Membasahkan bibir dengan istighfar ini, sehingga noda-noda dosa yang sempat menempel sedikit demi sedikit setiap hari tidak segera bertompok menjadi noktah hitam yang tebal. Semakin lama noda-noda ini bertompok, semakin susah untuk menghilangkannya.

Dosa walaupun kecil tidak boleh dianggap mudah.

"Katakanlah kepada lelaki yang beriman; hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang mereka buat. Katakanlah kepada wanita yang beriman; hendaklah mereka menahan pandangannya dan kemaluannya.” (An Nur ayat 30 dan 31)

5. Hidupkan ‘amar ma’ruf dan nahi mungkar

Menyibukkan diri dengan kerja-kerja dakwah adalah amalan yang sangat baik. Mengajak orang kepada Islam, membaiki diri dan masyarakat akan menghalang ruang-ruang diri daripada bisikan syaitan. Hidup yang terisi dengan amal soleh akan mengurangkan masa untuk berfikir tentang maksiat.

Kesimpulan

Tarbiyah adalah proses yang terbaik untuk mengurangkan maksiat. Inilah cabaran untuk kita, tanggungjawab yang perlu dilaksanakan supaya hati kita dalam keadaan bertaqwa. Setiap kali khutbah Jumaat dibacakan, kita sentiasa diingatkan supaya bertaqwa kepada Allah. Hakikatnya iman dan maksiat tidak berada dalam satu tempat. Pesanan Imam al Ghazali, sebelum subuh buatlah tiga perkara iaitu berdoa, membaca al quran dan berfikir.


No comments:

Post a Comment