Hari ini orang Melayu berada di persimpangan. Wawasan 2020 akan
menjelma kira-kira lima tahun yang akan datang. Oleh yang demikian masyarakat
Melayu harus mempunyai kesedaran bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan selama
ini adalah untuk mempastikan mereka menjadi satu bangsa yang maju dan
dihormati.
Perubahan sikap, nilai dan worldview adalah satu keperluan dan selari ke arah yang positif dan holistik. Perubahan ini beriringan dalam tiga fasa iaitu mahu menerima perubahan, bersedia untuk menerima perubahan yang datang dan menyesuaikan diri dengan perubahan yang ada.
Soalnya ialah apakah salahnya sikap dan nilai orang Melayu pada masa sekarang? Jika diperhalusi, kesalahan itu tidak ketara tetapi yang nampak jelas ialah kelemahan. Aspek kelemahan ini merangkumi individu dan mempengaruhi kelompok komuniti yang dibentuk oleh individu-individu itu tadi. Sebelum merdeka, kedaifan hidup dan tahap pendapatan yang rendah adalah identiti utama tetapi keadaan telah berbeza pada hari ini.
Semua perdana menteri telah mencetuskan agenda nasional bagi membentuk personaliti unggul dan pembangunan modal insan. Masyarakat Melayu perlu berubah dengan melihat kelemahan diri sebagai agenda Melayu sejak merdeka. Membina kekuatan masyarakat atau komuniti Melayu pasca merdeka adalah cabaran utama.
Kekuatan yang ada harus digunakan sepenuhnya. Sekiranya tidak mahu berubah, kita mungkin mengambil masa yang lama untuk membina kejayaan. Namun begitu terdapat sebilangan orang Melayu yang berpendapat bahawa “Aku sudah berjaya” tetapi hakikatnya masih ramai lagi yang kita lihat masih terpinggir.
Pada tahun 1970-an, masyarakat Melayu adalah sangat miskin tetapi pada hari ini rata-ratanya telah keluar daripada cengkaman kemiskinan dan ada yang telah menjadi tokoh dunia korporat, badan-badan profesional dan ahli politik yang disegani. Ini membuktikan kepada kita bahawa perubahan telah berlaku dan masyarakat Melayu telah dapat apa yang dimahukan.
Kejayaan yang diperolehi daripada penat lelah tanpa jemu pemimpin-pemimpin terdahulu menyebabkan kejayaan orang Melayu telah jauh berbeza dalam masa yang singkat. Ramai golongan profesional dan korporat telah berjaya tetapi kita mesti melihat sejauh mana kita membentuk pendekatan holistik bagi membentuk peradaban bangsa. Kita tidak boleh bercakap semata-mata mengenai orang Melayu yang telah berjaya sepenuhnya. Banyak lagi isu yang boleh dibincangkan seperti hak milik Melayu, kemasukan pelajar Melayu ke universiti dan penagihan dadah serta kemiskinan tegar yang masih relevan dan perlu diperjuangkan.
Kenapa masalah-masalah ini perlu dibincangkan secara terbuka sekali lagi? Apabila orang bertanya sama ada kita perlu diingatkan ataupun tidak, harus diberi perhatian malah bahawa semua perkara tidak kekal statik, bergerak selari dengan perubahan setara yang lain. Kita perlu sentiasa diingatkan kerana Melayu sering terlupa. Kenapa ibu bapa kita kerap berleter tentang perkara yang sama, kadangkala untuk beberapa hari? Memang fitrah menusia yang mudah lupa dan kena sentiasa diingatkan.
Kita sentiasa hendakkan yang terbaik untuk kejayaan bangsa pada masa hadapan.Terdapat kemungkinan dua kelompok Melayu pada masa ini iaitu yang terus terperangkap dengan masa dan satu lagi bersedia untuk berubah. Keutamaan yang perlu diberikan ialah kelompok yang masih berada di dalam kapsul masa. Mereka inilah yang berada dalam persekitaran pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang kritikal seperti dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional.
Timbul pula pertanyaan apa perlunya untuk berubah? Walaupun berada dalam keadaan yang selesa, kesedaran terhadap kepentingan menghadapi ancaman dunia tanpa sempadan atau globalisasi adalah satu kemestian. Untuk menjadi sebuah bangsa yang kompetitif, bangsa Melayu harus menjadi yang terbaik. Falsafah pada hari ini sepatutnya lebih baik daripada masa lepas wajar dijadikan panduan. Kalau tidak ada perubahan yang baik, pastilah akan tertinggal. Itulah pentingnya ada perubahan.
Sudah tiba masanya orang Melayu mempunyai sedikit ego kemelayuan kerana kelompok yang belum bersedia berubah masih berada dalam kepompongnya sendiri. Harus kita garap bahawa pada asasnya orang Melayu yang telah berjaya mesti memberi bantuan kepada anak-anak bangsanya yang masih tidak mahu berubah. Sebagaimana pepatah Melayu; “cubit paha kanan, paha kiri terasa sakitnya”.
Jika telah berjaya, adakah kita sanggup melihat ada di antara orang yang sebangsa dengan kita masih tidak dapat lagi kemudahan asas, tidak ada akses pada internet dan tidak dapat menghantar anak-anak ke sekolah. Mereka ini digolongkan dalam kelompok Melayu yang terpinggir. Perlu ada satu gerakan besar-besaran untuk memaksa perubahan yang terbaik ke atas kelompok ini. Gerakan ini perlu bersifat pragmatik dan mempunyai objektif tertentu.
Menjadi bangsa yang hebat memerlukan pengorbanan. Kalau sekadar retorik semata-mata dan mementingkan diri sendiri sahaja, secara keseluruhannya tidak ada perkara yang boleh dibuat. Apakah yang harus diberi keutamaan? Hapuskan kemiskinan, orang yang berjaya melihat apakah yang boleh dilakukan. Dahulu peluang untuk berjaya tidak banyak tetapi sekarang telah berubah. Pelbagai program yang membantu golongan tertinggal ini boleh dilakukan. Antaranya ialah memberi komputer dan latihan secara percuma untuk keluarga miskin dan tidak mampu supaya mereka turut bersama-sama menyumbang kepada kemajuan negara.
Isu pengorbanan ini telah bermula sejak sebelum merdeka hinggalah sekarang. Semua pihak harus memainkan peranan masing-masing. Kita tidak boleh memberi tugas ini kepada satu-satu pihak. Semua golongan berperanan ke arah pembangunan negara.
Terdapat halangan-halangan tertentu dalam proses membuat perubahan ini. Halangan yang paling besar ialah kesatuan orang Melayu. Kemajuan telah mengubah keadaan orang Melayu, kadang-kadang kebergantungan yang terlalu melampau kepada kerajaan. Semuanya diserahkan kepada kerajaan untuk melaksanakannya. Sekiranya terdapat sekatan tertentu, emosi mereka mudah berkocak dan marahkan kerajaan secara melulu. Sudah tiba masanya untuk kita ambil isu-isu dasar bagi masa depan orang Melayu seperti ekonomi, pendidikan, agama dan budaya.
Kita tidak mempunyai ketahanan dalam melaksanakan sesuatu dan selalu emosional dalam pendekatan. Contohnya jika seseorang Melayu berjaya, terdetik dalam hati menyatakan bahawa kejayaan itu adalah kerana connection, hubungan baik dengan menteri, ikut pintu belakang dan sebagainya. Kita perlu sedar bahawa ada ramai orang Melayu yang bekerja 16 jam sehari untuk berjaya. Ramai yang mendapat sesuatu di atas merit mereka. Kita melihat Melayu sendiri sebagai musuh. Sudah tiba masanya kita berbaik sangka terhadap kejayaan orang Melayu yang lain.
Seringkali kita membuat tanggapan umum mengenai Melayu seperti hasad dengki, mudah mencemburui kejayaan orang lain dan sebagainya. Mungkin bangsa lain tidak banyak bezanya. Tapi apa agaknya nilai yang boleh memberikan kekuatan kepada Melayu itu sendiri?
Bagaimana keadaan orang yang mengejar kejayaan dalam apa keadaan sekali pun? Kalau begitu apa yang akan berlaku kepada bangsa sendiri? Apakah generasi muda masih percaya terhadap agenda perjuangan membina kekuatan Melayu?
Orang Melayu mempunyai pelbagai nilai dan sikap positif yang boleh dibanggakan seperti ketinggian adab kerana budaya bangsa ini terpelihara dan mendorong ke arah kebaikan. Apakah kita harus menjadi biadab untuk maju seperti orang lain?
Negara mesti mewariskan sesuatu kepada anak-anak Melayu iaitu peradaban yang cemerlang. Hari ini peradaban bangsa-bangsa lain telah berjaya mewariskan yang terbaik untuk bangsa mereka. Orang China ada 5000 tahun tradisi. Mahu ataupun tidak, hakikatnya China adalah kuasa utama Asia sekarang ini. Kita perlu bersaing dengan negara-negara besar. Globalisasi akan membentuk pola hubungan kita dengan negara luar.
Kemampuan minda dan berfikir bangsa Melayu adalah setara dengan bangsa-bangsa yang lain. Minda yang perlu dipupuk adalah minda kelas pertama supaya isu-isu bangsa seperti kemiskinan dapat diatasi. Membangunkan sistem kekayaan sendiri dan berbangga dengan kemampuan ekonomi seterusnya berbangga dengan jiwa yang kaya dengan nilai-nilai memberi dan pemurah.
Sikap minda kelas pertama ini berada di dalam acuan kita sendiri. Rancangan Malaysia Kesembilan yang mempunyai lima teras utama untuk menyeimbangkan pembangunan bandar dan luar bandar, menambah nilai dalam apa yang kita lakukan, mengurangkan jurang kemiskinan tegar pada tahun 2010, memperbaiki sistem penyampaian dan isu-isu ini dapat dilaksanakan dengan jayanya jika perubahan dari segi minda dapat dipenuhi. Kerajaan dan semua lapisan masyarakat harus berperanan sejajar dengan kedudukan dan tanggungjawab masing-masing supaya kejayaan dapat dikecapi oleh semua.
Oleh itu, persediaan ke arah pembentukan persekitaran yang kondusif dan individu yang bersedia hendaklah disegerakan supaya proses berkenaan akan menjadi satu kenyataan. Pelaksanaan perlu disepadukan. Kerajaan harus menyediakan persekitaran terbaik supaya golongan sasar mendapat isyarat untuk memajukan diri mereka.
Keutamaan membentuk sikap yang positif adalah sangat penting kerana sikap merupakan satu faktor penolak. Dalam proses perubahan sikap ini, banyak perkara yang perlu diberi perhatian. Umpamanya sistem penyampaian kerajaan, ketika ada masalah dahulu semua pihak saling menuding jari. Proses penambahbaikan yang dilakukan sekarang telah membentuk sedikit demi sedikit budaya ambil berat dan bertangungjawab.
Peranan semua lapisan masyarakat sangat penting. Generasi muda masa kini berbeza dengan generasi muda dahulu. Tujuh daripada sepuluh rakyat Malaysia berada di bawah 50 tahun dan mereka adalah aset penting negara. Sebab itu, kita tidak boleh biarkan mereka sebagai penonton sebaliknya memberi peluang kepada orang muda ini untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Libatkan mereka secara aktif. Dengan adanya belia dan remaja, ia mampu membantu pembangunan negara yang pesat.
Kelemahan asas perlu diketahui secara menyeluruh. Golongan muda banyak membentuk kelompok masing-masing. Suka atau tidak mereka akan membentuk kelompok yang menyebabkan wujudnya jurang komunikasi. Oleh itu, kesepaduan objektif sangat perlu bagi mengurangkan jurang yang wujud.
Generasi muda sekarang ini semakin bijak dan perlu diberi ruang atau suara serta tempat untuk membuat keputusan. Impian orang muda ialah dapat menikmati hidup yang lebih baik pada masa hadapan. Mereka perlu mengelakkan diri daripada terjebak dalam polemik agama yang dipolitikkan dan politik yang tidak ada arah tujuan. Untuk itu, kesedaran terhadap merapatkan jurang komunikasi dan sentiasa bertanya bagi mendapat petunjuk selaras dengan prinsip asas perjuangan, kembali menghisab diri dan sentiasa memeriksa kekuatan dan kelemahan diri.
Generasi muda pada hari ini bersedia untuk melakukan perubahan. Kesediaan dan pengalaman akan mendidik mereka untuk mewarisi kejayaan yang cemerlang pada masa hadapan.
Apa sahaja yang negatif dan diwarisi sebelum ini biarlah berhenti setakat ini sahaja. Sikap dan pemikiran dari zaman kolonial wajar dihapuskan supaya generasi muda adalah semuda keyakinan dan setua kegagahannya.
No comments:
Post a Comment