Bantahan terhadap GST di Kuala Lumpur
baru-baru melibatkan ramai pemimpin pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan
serta orang ramai yang terkesan dengan sistem cukai ini. Bantahan ini berakhir
dengan 29 orang ditahan kerana melibatkan diri dalam program ini. Antara yang
ditahan adalah pemimpin DAP, PAS, PKR dan PSM manakala penaung Negara-ku, Datuk
Ambiga Sreenevasan dilepaskan selepas tidak dibenar untuk tahanan reman.
Pelaksanaan sistem cukai GST dalam tempoh
sebulan ini dilihat membebankan pengguna. Kebanyakan harga barang keperluan
harian menunjukkan peningkatan. Seorang rakan mengatakan perbelanjaan bulanan
keluarganya perlu ditambah di samping beliau anak-beranak mengambil langkah
berjimat-cermat.
GST telah dilaksanakan di beberapa buah negara
seperti Australia, Hong Kong, New Zealand dan Singapura.
Austalia melaksanakan GST dengan kadar sepuluh
peratus. Sistem cukai ini diperkenalkan oleh pentadbiran Howard pada Julai 2000
bagi menggantikan sistem cukai jualan sedia ada.
Pengenalan sistem cukai yang baru di Austalia
telah dimulakan pada pertengahan tahun 1980-an namun mendapat bantahan beberapa
pihak khususnya insitusi kebajikan dan persatuan perniagaan. Idea ini
dicetuskan kembali oleh Pakatan Liberal-Nasional yang dipimpin oleh John Hewson
dan GST menjadi fokus atas perjuangan “Fightback!” dalam pilihan raya 1993.
Pembangkang menghadapi masalah untuk menerangkan
dasar GST ini membolehkan perdana menteri dari Parti Buruh, Paul Keating
mengeksploitasi isu ini. Pada tahun 1994, Parti Liberal memutuskan untuk
membatalkan sisa-sia perjuangan “Fightback!” dan Alexander Downer menggantikan
Hewson sebagai pemimpin Parti Liberal.
Seterusnya John Howard dipilih semula bagi
menggantikan Hewson sebagai pemimpin Liberal pada tahun 1995. Beliau berikrar
“sama sekali tidak” untuk melaksanakan GST dan memimpin Pakatan
Liberal-Nasional memenangi pilihan raya 1996.
Bagaimanapun sebelum pilihan raya 1998, Howard
mencadangkan GST yang menggantikan semua sistem cukai sedia ada. Padahnya,
dalam pilihan raya tersebut parti beliau hanya menang “cukup-cukup makan”
tetapi masih mengekalkan majoriti di dewan rendah. Howard menyifatkan
kemenangannya sebagai mandat untuk melaksanakan GST di Australia.
Kerajaan yang berkuasa di Australia menghadapi
cabaran dalam menjayakan GST. Kesan politik ke atas parti-parti bertanding
sangat jelas. Parti Buruh melancarkan kempen “GST rollblock” tetapi tidak cukup
kuat untuk mempengaruhi pengundi. Akhirnya GST dilaksanakan juga.
Dalam kesan ekonomi dan sosial, pelaksanaan
GST memberi kesan segera dan ketara ke atas mereka yang berpendapatan rendah.
Walau bagaimanapun selepas pengurangan dalam cukai pendapatan, cukai perbankan,
cukai borong persekutuan dan sesetengah cukai bahan api, sebenarnya masyarakat
Australia tidak pun membayar cukai tambahan.
Reaksi awal sebelum pelaksanaan GST adalah
orang ramai berpusu-pusu membeli barangan keperluan kerana dikhuatiri harga
akan meningkat selepas GST. Sebaik sahaja sistem cukai in dikuatkuasakan,
perbelanjaan pengguna berkurangan dan pertumbuhan ekonomi merosot. Keseluruhan
ekonomi Australia mencatat pertumbuhan negatif untuk kali pertama selepas
sepuluh tahun. Dalam tempoh dua tahun pelaksanaan, keadaan kembali normal.
Kajian yang dilakukan oleh Curtin University
of Technology, Perth pada tahun 2000 mendapati pelaksanaan GST memberi impak
negatif ke atas pasaran hartanah iaitu kos rumah baru meningkat sebanyak lapan
peratus dan permintaan berkurangan sebanyak 12 peratus. Selepas dua tahun,
harga rumah dan permintaan terhadap hartanah meningkat secara mendadak.
Di Hong Kong pula, GST diperkenalkan pada
tahun 2006 di sebalik wujud pelbagai halangan dan kontroversi. Kerajaan Hong
Kong mengatakan cukai yang sedang dilaksanakan ketika itu akan menjurus kepada
penyempitan, justeru GST berupaya memberi pilihan kepada Hong Kong untuk
meluaskan asas percukaian dan jaminan keselamatan ke atas hasil simpanan cukai
bagi memenuhi keperluan perbelanjaan masyarakat awam dalam jangka masa panjang.
Cadangan pelaksanaan GST di Hong Kong dibantah
oleh banyak parti politik. Bantahan pertama oleh Parti Liberal yang dihadiri
seramai 6000 orang manakala bantahan kedua oleh Parti Demokrat yang dihadiri
seramai 500 orang.
New Zealand mengenakan GST pada kadar sepuluh
peratus pada tahun 1986, dinaikkan kepada 12.5 peratus pada 1989 seterusnya 15
peratus pada tahun 2010.
Di Singapura, GST diperkenalkan pada April
1994 pada kadar tiga peratus, dinaikkan kepada empat peratus pada Januari 2003,
lima peratus pada 2004 dan tujuh peratus pada 2007. Pengenalan kepada GST di
negara ini bukannya untuk menjana pendapatan negara sebaliknya membolehkan
orang ramai menyelaraskan cukai masing-masing, di samping mencari peluang
pelaburan baru.
Bersama-sama pengenalan GST, kerajaan
Singapura turut menyediakan bajet kepada orang ramai untuk tidak merasai beban
cukai baru itu. Penduduk yang berpendapatan kecil merasai lebih banyak faedah
daripada peruntukan ini.
Sesetengah pasar raya menyerap dua peratus GST
selama sebulan hingga enam bulan. Antara pasar raya ini ialah Carrefour, Cold
Storage, Giant, Sheng Siong dan Shop ‘n Save. Kerajaan juga membentuk Committee
Against GST Profiteering (CAP) untuk menyiasat aduan dan memberi maklum balas.
Impak pelaksanaan GST adalah golongan
berpendapatan rendah dan menengah tidak lagi membayar cukai pendapatan yang
tinggi malah ada kalanya tidak perlu membayar. Golongan yang berpendapatan
tinggi perlu lebih banyak membayar cukai pendapatan. Kadar GST terus dinaikkan
kerana dapat membantu golongan berpendapatan rendah.
Pengalaman empat negara ini yang melaksanakan
GST sebagai sistem cukai yang berkesan boleh membantu kita untuk memahami
bagaimana mekanisme GST ini berjalan. Walaupun kerajaan akan mendapat sumber
baru dalam perbelanjaan, kadar GST yang tinggi tanpa ada kenaikan tahap
pendapatan menyebabkan orang ramai tertekan dan melihat GST sebagai satu cara
memeras wang rakyat.
No comments:
Post a Comment