Penulis: Muhammad Lili Nur Aulia
Tahun: 2015
Penerbit: Alam Raya Enterprise Sdn Bhd, Kuala
Lumpur.
Muka Surat: 100
Isteri Hasan Al Banna, Lathifah Ash Shuli
meninggal dunia selepas 36 tahun pernikahannya dengan Hasan Al Banna. Namun
dari rentang 36 tahun itu, hanya 18 tahun yang dia lalui bersama suaminya.
Buku kecil ini mengenengahkan peranan Lathifah
sebagai seorang isteri pendakwah yang terkenal, Hasan Al Banna. Tiga kesimpulan
penting yang disampaikan oleh penulis bagi menghuraikan peranan isteri Hasan Al
Banna adalah seperti berikut.
Pertama, aspek rabbaniyah sejak terbinanya
keluarga. Proses pembinaan rumah tangga Hasan Al Banna mencerminkan aspek
rabbaniyah sebagai landasannya. Kerabbaniyahan keluarga Hasan Al Banna bermula
seawal memilih calon pasangan. Baik Hasan Al Banna atau isterinya, mereka
benar-benar mengutamakan keikhlasan, ketaqwaan, ketawakkalan dan semangat
dakwah sebagai aspek paling penting dan mendasar sebagai landasan dalam membina
keluarga.
Awal yang baik itu ternyata sangat membikai
perjalanan keluarga yang diiringi dengan kesolehan mereka. Inilah saham
terbesar dalam proses pendidikan anak-anak dan penciptaan suasana rumah yang
islami dan tunduk taat kepada Allah swt. Tidak hanya dengan itu, rumah tangga
Hasan Al Banna juga menjadi tempat yang subur bagi perkembangan dakwah yang
diserunya.
Kedua, peranan isteri sebagai ratu rumah
tangga. Ini soal pilihan yang sesuai dengan keadaan keluarga Hasan Al Banna.
Tingkat kesuburan dakwah yang begitu padat dari Hasan Al Banna hampir menutup
ruang bagi isterinya untuk turut berperanan di luar rumah yang boleh
menyebabkan kekosongan pendidik sekali gus penjaga anak-anak di dalam rumah.
Tanggungjawab Lathifah memenuhi urusan rumah sangat mempengaruhi stabiliti,
kepercayaan dan ketenangan Hasan Al Banna. Apa yang dilakukan Lathifah juga
termasuk dalam lingkup pengertian dakwah itu sendiri.
Ketiga, kuatnya dukungan keluarga besar. Bagi
Hasan Al Banna, keluarga adalah objek dakwah pertama yang mesti disampaikan
dakwah kepada mereka. Hasan Al Banna membina jaringan kelurga dakwah yang tidak
terbatas pada lingkungan diri dan isterinya sahaja malah mencakupi seluruh
keluarga besarnya dan keluarga besar isterinya.
Ungkapan yang sangat hebat dalam buku ini yang
boleh dikongsi oleh keluarga dakwah ialah kata-kata anak perempuannya, Sana
iaitu, “ Tidak ada suara keras di rumah kami”.
No comments:
Post a Comment