Pelarian hanyut dari Mynmar yang membawa etnik
minoriti Rohingya menjadi isu rentas negara ketika ini. Hampir tiga ribu pelarian
Rohingya mendarat di Langkawi, Malaysia dan Aceh, Indonesia dalam tempoh tiga
minggu ini selepas kawasan penempatan haram di Satun, Thailand dimusnahkan oleh
pihak berkuasa Thailand.
Isu Rohingya sudah berlarutan sekian lama.
Puncanya dari Mynmar kerana negara itu enggan mengiktiraf Rohingya sebagai
warganegara. Kini, sebahagian daripada masalah itu dibebankan pula kepada
negara-negara Asean iaitu Thailand, Malaysia dan Indonesia.
Pengerusi Asean 2015, Malaysia, sudah mula
bersuara memberi tekanan kepada Mynmar untuk menghentikan tindakan membiarkan
Rohingya menjadi masalah kepada negara Asean yang terlibat. Timbalan Menteri
Dalam Negeri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Asia Tenggara akan berhadapan
dengan pertambahan masalah pelarian kerana cara Mynmar menguruskan masyarakat
muslim minoriti Rohingya.
“Sudah tentu ada masalah di Mynmar dengan cara
mereka melayan Rohingya.
“Justeru, inilah yang menyebabkan kenapa kita
memberi mesej keras kepada Mynmar untuk melayan warga mereka sendiri dengan
baik. Mereka patutu dilayan seperti manusia, bukannya ditekan”.
Melayan masalah Rohingya menggunakan konsep “tidak
masuk campur dalam hal ehwal negara anggota Asean” sudah tidak boleh diamalkan.
Dengan lebih 1.3 juta Rohingya, keadaan komuniti itu disifatkan menerima
layanan paling buruk dalam mana-mana negara oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu.
Oleh kerana Mynmar sudah “buat lebih”, Menteri
Luar Malaysia, Anifah Aman berkata masalah Rohingya telah menjadi
“antarabangsa” dan perlukan perbincangan.
Selain Malaysia yang tidak berpuas hati dengan
tindakan Mynmar, negara jirannya, Indonesia turut dilihat menghadapi beban yang
sama. Ada gesaan kepada kerajaan negara itu untuk mengambil tindakan keras
terhadap Mynmar.
“Indonesia sebagai negara yang disegani Myanmar seharusnya
boleh menekan Myanmar, kalau mereka tidak mahu, Indonesia menuntut Myanmar
keluar ASEAN,” kata Koordinator Advokasi Pengungsi dari SNH Advocacy Center,
Heri Aryanto.
Masalah
yang berlaku ke atas Mynmar perlu diselesaikan oleh semua negara Asean
sepertimana yang dilakukan ketika berhadapan dengan pelarian Vietnam suatu masa
dahulu. Kerajaan Malaysia dan Indonesia pernah berhadapan dengan situasi yang
sama untuk menyelesaikan pelarian tersebut dan boleh mengambil pendekatan yang
sama.
Jaminan perdana menteri Malaysia, Najib Tun
Razak terhadap penyelesaian segera krisis Rohingya dapat memberi gambaran
terhadap tindakan Malaysia.
“Kita
sedang berhubung dengan semua pihak berkenaan, yang kita sampaikan hasrat kita
agar satu penyelesaian kepada krisis ini ditemukan”.
Malaysia
juga tidak mahu menampung lebih ramai pelarian dari Mynmar kerana bilangan
pendatang asing dari negara itu juga sudah ramai.
"Terdapat
implikasi dalam soal ini. Seperti yang anda tahu, Malaysia sudah ada 120,000
pendatang tanpa izin dari Myanmar di dalam negara”, kata perdana menteri lagi.
Penyelesaian
kepada Rohingya terletak pada Mynmar. Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2015
perlu bersama-sama negara Asean yang lain seperti Indonesia, Thailand dan
Filipina memberi tekanan kepada Mynmar untuk menghentikan kekerasan dan
kezaliman kepada Rohingya.
Seterusnya
Asean boleh bergabung dengan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat meningkatkan
tekanan dalam konteks antarabangsa supaya negara itu sedar bahawa masalah lebih
besar jika mengambil sikap sedia ada terhadap Rohingya.
Setiausaha
Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki Moon berkata isu pelarian Rohingya
adalah satu malapetaka kemanusiaan yang perlu ditangani segera.
No comments:
Post a Comment